Ketika diperkenalkan pada Julai 2021, model terakhir Lotus dengan enjin pembakaran dalaman iaitu Emira disebut akan dijana oleh dua jenis enjin. Versi dengan enjin 3.5 liter V6 supercharged sudah pun mula dijual, manakala model dengan enjin produksi 2.0 liter empat-silinder turbo yang dihasilkan oleh Mercedes-AMG bakal didedahkan buat pertama kali di Goodwood Festival of Speed (GFOS) 2023 yang bermula minggu ini.
Secara spesifiknya, enjin AMG yang digunakan untuk Emira ini adalah unit M139 yang sama digunakan pada model-model ’45’ Mercedes-AMG seperti A45, GLA45 dan CLA45. Versi paling berkuasa enjin dengan lencana S pada model-model 45 AMG berkenaan menghasilkan 421 PS dan tork maksima 500 Nm.
Dengan kotak gear DCT lapan kelajuan dan sistem pacuan semua roda, Mercedes-AMG A45S mampu memecut dai 0-100 km/j dalam masa hanya 3.9 saat. Walau bagaimanapun spesifikasi enjin M139 yang akan disumbat pada Emira ini belum lagi didedahkan sepenuhnya, namun Lotus ada memberitahu bahawa ia akan menghasilkan kuasa berjumlah 360 hp dan hanya akan diberikan kotak gear DCT untuk memacu roda belakang.
“Enjin 2.0 liter ini merupakan enjin produksi empat silinder sebaris paling berkuasa di dunia digandingkan dengan DCT AMG yang terkenal bersama pedal penukar gear serta mod-mod pemanduan. Ia berprestasi tinggi, sangat efisien kerana teknologi yang canggih, serta memberikan kadar emisi rendah dan prestasi linear. Paling utama, ia telah ditala sendiri oleh jurutera di Hethel yang sangat berpengalaman bagi memberikan pengalaman Lotus sebenar,” kata Gavan Kershaw, pengarah atribut kenderaan di Lotus Cars.
Bagi model 3.5 liter V6, Emira masih menggunakan enjin Toyota yang sama seperti Exige dan Evora sebelum ini iaitu enjin Toyota 2GR-FE yang disuap dengan supercharger Edelbrock 1740. Ia menghasilkan kuasa 405 PS (400 hp) dan tork maksima 420 Nm.
Dua transmisi boleh dipilih untuk enjin V6 ini iaitu kotak gear manual enam kelajuan atau kotak gear automatik konvensional dengan torque converter juga enam-kelajuan (dengan tambahan tork 10 Nm). Versi manual untuk enjin ini mampu untuk memecut dari 0-100 km/j dalam masa 4.3 saat. Versi 1st Edition model ini telah pun diperkenalkan di Malaysia tahun lalu dengan harga RM1.13 juta
Emira 2.0L Turbo bukan hanya akan dipamerkan dipentas utama reruai Lotus di GFOS 2023 ini, bahkan ia akan turut serta merekodkan masa dalam Hill Climb ikonik acara berkenaan. Lotus turut akan membawa model-model baharunya yang sedang dijual dalam pasaran sekarang iaitu SUV elektrik Eletre dan juga Hypercar elektrik Evija.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.