Lotus Emira diperkenal – tawar enjin 2.0L dan DCT dari Mercedes-AMG A 45, 3.5L V6 Toyota manual & auto

Lotus Emira diperkenal – tawar enjin 2.0L dan DCT dari Mercedes-AMG A 45, 3.5L V6 Toyota manual & auto

Selepas diumumkan pada Januari lalu dengan kod nama Type 131, akhirnya kereta sport terakhir Lotus yang dijana oleh enjin petrol sepenuhnya, yang juga pengganti untuk model Elise, Exige dan Evora yang akan dihentikan tahun ini, diberi nama Lotus Emira didedahkan secara rasmi.

Menurut Lotus, nama Emira (disebut “Eh-meer-ah”) ini adalah bahasa kuno yang ditafsirkan sebagai “komander” atau “ketua”. Nama tersebut disifatkan sesuai oleh Lotus kerana untuk meraikan Emira sebelum mereka beralih untuk menjadi pembuat kereta sport elektrik sepenuhnya menjelang akhir dekad ini. Sebelum ini Lotus sudahpun memperkenalkan kereta sport elektrik sepenuhnya, Lotus Evija (Type 130) sebagai permulaan kepada peralihan berkenaan.

Dua enjin petrol ditawarkan pada Lotus Emira. Yang pertama adalah enjin Toyota 2GR-FE 3.6 liter V6 yang disuap dengan supercharger, seperti yang terdapat dalam perut Exige dan Evora sebelum ini. Enjin tersebut akan menjana kumpulan produksi pertama Emira yang dihasilkan secara terhad dan diberikan lencana “First Edition. Ia digandingkan dengan piihan kotak gear manual dan juga automatik.

Lotus memberikan kejutan untuk pilihan enjin kedua – Emira akan menerima model yang dijana oleh enjin 2.0 liter empat silinder turbo yang dibekalkan oleh Mercedes-AMG, digandingkan dengan kotak gear klac berkembar automatik (DCT). Macam pernah dengarkan? Ya, ia adalah enjin M139 yang sama pada model Mercedes-AMG A 45, GLA 45 dan CLA 45 sedia ada, namun telah ditala semula oleh jurutera Lotus.

Lotus Emira diperkenal – tawar enjin 2.0L dan DCT dari Mercedes-AMG A 45, 3.5L V6 Toyota manual & auto

“Enjin 2.0 liter ini merupakan enjin produksi empat silinder sebaris paling berkuasa di dunia digandingkan dengan DCT AMG yang terkenal bersama pedal penukar gear serta mod-mod pemanduan,” kata Gavan Kershaw, pengarah atribut kenderaan di Lotus Cars.

“Ia berprestasi tinggi, sangat efisien kerana teknologi yang canggih, serta memberikan kadar emisi rendah dan prestasi linear. Paling utama, ia telah ditala sendiri oleh jurutera di Hethel yang sangat berpengalaman bagi memberikan pengalaman Lotus sebenar,” tambahnya lagi.

Walau bagaimanapun, model yang dijana oleh rangkaian kuasa dibekalkan oleh Mercedes-AMG berkenaan tidak akan ditawarkan ketika Emira mula dijual, sebaliknya hanya akan muncul bermula musim panas 2022 nanti.

Jumlah sebenar kuasa yang dihasilkan oleh barisan enjin berkenaan masih belum diumumkan secara spesifik. Namun Lotus menyatakan bahawa bergantung pada varian, Emira akan dibekalkan dengan kuasa antara 360 hp dan 400 hp, bersama tork maksima 430 Nm. Ia juga didakwa mampu mencatatkan pecutan 0-100 km/j dalam masa kurang 4.5 saat, serta kelajuan maksima 290 km/j.

Lotus Emira diperkenal – tawar enjin 2.0L dan DCT dari Mercedes-AMG A 45, 3.5L V6 Toyota manual & auto

Emira masih lagi menampilkan bentangan enjin tengah-pacuan belakang, dengan enjin yang diletakkan melintang di belakang pemandu kemudian kuasa dihantar ke roda belakang. Untuk model yang dijana oleh enjin AMG yang pada asalnya direka untuk diletakkan di hadapan, ia akan menerima sistem kemasukan udara dan juga ekzos bagi “disesuaikan dengan karekter pada Emira”.

Kereta sport terbaharu ini diasaskan dari platform Lotus Sports Car Architecture (digelar sebagai Elemental oleh pihak dalaman Lotus), yang dihasilkan dengan struktur aluminium terekstrud seperti diperkenalkan pertama kali pada Elise, dan produksi menerusi fasiliti baharu – Lotus Advanced Structures – di Norwich. Ia menggunakan suspensi jenis double wishbone di hadapan dan belakang, serta ditawarkan dalam dua jenis tetapan casis.

Tetapan casis pertama digelar Tour. Ia ditala untuk kegunaan seharian di atas jalan raya dan memberikan keseimbangan antara pengendalian dan juga keselesaan. Manakala tetapan kedua digelar Sports, yang turut boleh dipilih bersama opsyen Lotus Drivers Pack serta memberikan talaan lebih keras bagi memberikan rasa serta kemampuan dinamik yang ditambahbaik.

Lotus tidak menerapkan sistem stereng berkuasa elektrik pada Emira, sebaliknya ia masih menggunakan sistem hidraulik konvensional yang sudah tentu akan memberikan rasa stereng lebih baik seperti yang dimahukan purist – kelompok yang menjadi sasaran pertama Lotus untuk kereta sport mereka.

Dari segi rekaan, Emira kelihatan seperti “baby Evija” dengan pelbagai perincian diambil dari hypercar elektrik tersebut. Ia termasuk lampu hadapan rekaan bilah sayap berkembar dengan jalur-jalur LED melintang, bersama liang keluar udara bersepadu pada bonet bagi mengoptimakan kesan aerodinamik, serta logo baharu Lotus pada bahagian muncung.

Emira juga menerima rekaan kabin yang nampak seperti titisan air, menampilkan cermin hadapan ‘bulat’ yang memberikan pemandangan keluar lebih baik. Sisi kereta sport ini direka dengan garis badan yang memberikan kesan aerodinamik serta mampu mengalirkan udara ke liang kemasukan yang terletak di hadapan perumah roda belakang.

Ia juga menerima perincian halus pada tiang-C, bersama lencana Emira yang diletakkan berhampiran liang-liang pada penutup enjin. Emira menerima rim 20-inci secara standard bersama tayar Goodyear Eagle F1 Supersport. Pelanggan yang memilih Lotus Driver Pack pula akan menerima tayar Michelin Pilot Sport Cup 2.

Kereta sport ini diberikan liang keluar udara pada sudut belakang bagi membebaskan tekanan udara dalam ruang roda belakang, yang juga kelihatan seperti diinspirasikan Evija. Lampu belakang Emira ini direka nipis bersama kluster dan grafik LED berbentuk-C. Diffuser belakang turut direka agresif dan menempatkan dua tip ekzos bersaiz besar.

Lotus Emira diperkenal – tawar enjin 2.0L dan DCT dari Mercedes-AMG A 45, 3.5L V6 Toyota manual & auto

Menurut Lotus, dalam bentuk terakhir, badan Emira ini menghasilkan downforce pasif yang tepat antara gandar hadapan dan belakang dalam semua kelajuan, yang ditala sempurna terhadap pembahagian berat serta geometri suspensi kereta ini. Hasilnya, Emira tidak memerlukan sebarang komponen aerodinamik aktif atau saya belakang lebih besar untuk kesan yang sama.

Dari segi saiz, Emira dihasilkan dengan dimensi 4,412 mm panjang, 1,895 mm lebar, 1,225 mm tinggi dan jarak roda sejauh 2,575 mm. Berbanding tiga model lama yang digantikan, Emira adalah lebih besar dari Elise dan Exige, serta menampilkan jarak roda yang sama dengan Evora dengan saiz keseluruhan yang juga sedikit lebih besar.

Jadi dengan saiz berkenaan serta pelbagai kelengkapan moden yang lebih banyak, versi paling ringan Emira masih ditimbang pada 1,405 kg, jauh lebih berat dari Elise dan Exige serta hampir 200 kg lebih berat dari Evora.

Perbezaan kelengkapan antara Emira dan tiga model lama berkenaan yang menyebabkan ia lebih berat jelas kelihatan sekiranya anda masuk kabin Emira ini. Ia bukan lagi kereta sport yang ‘kosong’, sebaliknya menerima kemasan-kemasan dari material berkualiti tinggi, pelbagai teknologi baru, pemasangan yang lebih teliti serta lebih praktikal – namun prinsip tumpuan kepada pemanduan masih dikekalkan.

Lotus Emira diperkenal – tawar enjin 2.0L dan DCT dari Mercedes-AMG A 45, 3.5L V6 Toyota manual & auto

Papan pemuka Emira ini direka seakan bersambung dengan panel pintu bagi memberikan perasaan seperti berada dalam kokpit pesawat. Pemandu menerima roda stereng pelbagai fungsi dengan rekaan rata di bawah dan juga paparan instrumen digital sepenuhnya dengan skrin 12.3-inci.

Sistem infotainmen pada Emira ini juga jauh lebih canggih dari model-model sport Lotus generasi sebelum ini dengan menampilkan skrin sesentuh 10.25-inci yang diberikan sokongan Android Auto dan Apple CarPlay secara standard. Bunyi-bunyian disalurkan ke sistem bunyi premium 10-saluran dari KEF yang menggunakan teknologi Uni-Q.

Emira dibekalkan dengan tempat duduk sport yang boleh dilaras secara elektrik empat-hala, malah anda boleh memilih ciri opsyen dengan larasan elektri 12-hala.

Pendekatan rekaan yang “boleh digunakan setiap hari” ini turut menampilkan banyak ruang-ruang storan diberikan pada kabin Emira, termasuk dua pemegang cawan yang diletakkan pada di terowong tengah, bersama slot penyimpan telefon pintar. Papan pemukanya turut dilengkapi glove box, manakala ruang storan pada pintu pula mampu menempatkan botol 500 ml.

Lotus Emira diperkenal – tawar enjin 2.0L dan DCT dari Mercedes-AMG A 45, 3.5L V6 Toyota manual & auto

Anda juga akan menerima tray kecil yang diletakkan di bawah konsol kawalan sistem pendingin hawa, serta perehat tangan yang disertakan denga port USB dan port 12-volt, serta jaring konsol untuk meletakkan pelbagai barang lain. Perincian-perincian ini mungkin dilihat biasa pada kebanyakkan kereta, tetapi ini merupakan perubahan yang agak besar untuk Lotus memandangkan model-model sebelum ini dihasilkan seringan yang mungkin tanpa ciri-ciri praktikal kerana hanya untuk dipandu laju semata-mata.

Lotus juga mendakwa bahawa Emira mempunyai ruang kargo dengan kapasiti 208 liter terletak di belakang tempat duduk, serta 151 liter lagi ruang tambahan pada but yang terletak di belakang enjin. Ruang but tersebut juga didakwa boleh memuatkan beg penerbangan saiz standard atau satu set kayu golf.

Dengan teknologi drive-by-wire yang dapat mengurangkan banyak sistem mekanikal, pelbagai lagi ruang simpanan dapat disediakan di bawah konsol tengah yang direka tinggi. Tombol gear misalnya, diletakkan di atas konsol tengah tersebut bersama butang penghidup enjin (dilindungi penutup berwarna merah), pemilih mod pemanduan, butang lampu isyarat kecemasan dan juga kawalan media.

Lotus menyatakan bahawa untuk Emira yang dijana enjin V6 bersama transmisi manual, tuil penukar gear versi berkenaan diletakkan dalam posisi yang sama seperti Lotus Esprit, bersama penghubung-penghubung yang dibiarkan separa terdedah di bawahnya, sama seperti Elise dan Exige.

Lotus Emira diperkenal – tawar enjin 2.0L dan DCT dari Mercedes-AMG A 45, 3.5L V6 Toyota manual & auto

Peincian-perincian lain yang turut dibekalkan termasuk sistem kunci pintar bersama butang penghidup enjin, cruise control, pengelap cermin dengan penderia hujan, penderia parkir belakang (opsyen untuk hadapan) serta Launch Control (sebahagian dari ciri opsyen Lotus Driver Pack).

Ia juga dilengkapi dengan pelbagai sistem bantuan pemanduan keselamatan (ADAS) termasuk cruise control adaptif, brek kecemasan automatik, amaran kelesuan, informasi tanda jalan, pengehad kelajuan, amaran keluar laluan, amaran lintasan trafik belakang dan juga bantuan tukar lorong.

“Emira merupakan model yang merubah permainan Lotus. Ia adalah isyarat kepada semua yang telah kami capai sehingga kini dalam transformasi perniagaan, melambangkan kemajuan kami. Ia merupakan detik yang sangat signifikant dalam perjalanan kami untuk menjadi jenama kereta prestasi global sebenar,” kata pengarah urusan Lotus Cars, Matt Windle.

Produksi Emira ini akan bermula di fasiliti Lotus di Hethel, UK yang telah ditingkat taraf setelah menerima manfaat pelaburan lebih dari 100 juta pound British (sekitar RM576 juta) di bawah pelan Vision 80, iaitu pelan strategik yang akan menentukan halatuju Lotus kearah transformasinya menjelang ulang tahun ke-80 pada 2028 kelak.

Lotus Emira diperkenal – tawar enjin 2.0L dan DCT dari Mercedes-AMG A 45, 3.5L V6 Toyota manual & auto

Penstrukturan semula Lotus ini bermula setelah Zhejiang Geely Holding (ZGH) mengambilalih 51% saham dari Proton, manakala 49% saham lagi dimiliki oleh kumpulan automotif dari Malaysia, Etika Automotive.

Menurut Lotus, pelanggan-pelanggan pertama Emira dari serata dunia akan menerima kereta yang ditempah bermula musim bunga 2021, manakala mereka yang berminat sudahpun boleh memberikan deposit tempahan mereka kepada pengedar-pengedar Lotus.

Emira akan dijual pada harga kurang dari 60,000 pound (sekitar RM346,000) di UK atau 72,000 Euro (sekitar RM354,000) untuk pasaran Eropah yang lain. Untuk pasaran Malaysia, Lotus kini diuruskan oleh Lotus Karz, dengan pelancaran dijangka akan dibuat pada akhir tahun ini. Harga jualan di sini juga masih belum diumumkan, namun anda mungkin boleh buat congakan sendiri berdasarkan harga asas di UK bersama segala cukai dan duti yang lazimnya dikenakan di Malaysia.

Model yang didedahkan kali ini menampilkan warna Seneca Blue, salah satu enam warna lain iaitu Hethel Yellow, Shadow Grey, Magma Red, Nimbus Grey dan Dark Verdant. Lotus juga menawarkan tujuh tema untuk kabin termasuk kulit Nappa hitam, merah dan kelabu, bersama Alcantara hitam yang boleh digandingkan sama ada dengan jahitan benang kelabu, merah atau kuning.

Perincian individu lain yang turut boleh dibuat termasuk angkup brek dengan empat pilihan warna (hitam, merah, kuning dan perak), manakala rim 20-inci pada Emira ini boleh dipilih dalam rekaan 10-jejari, hitam berkilat 10-jejari, silver forged jejari-V, hitam berkilat jejari-V dan diamond cut forged jejari-V.

Dengan ciri-ciri yang jauh lebih praktikal serta penambahan elemen-elemen lebih mewah dari Elise, Exige dan Evora, serta fakta bahawa ini merupakan kereta sport terakhir Lotus dengan enjin pembakaran dalaman, Emira dijangka akan menarik lebih ramai pembeli selain pelanggan-pelanggan setia sedia ada mereka.

Dengan prestasi serta julat harga yang ditawarkan, Emira dilihat bakal ‘mencuri’ pelanggan-pelanggan dalam segmen yang sama dengan Porsche Cayman 718. Faktor ini mungkin akan membolehkan Lotus menjual kereta mereka jauh lebih banyak dari sebelum ini.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required