Chery Omoda 5 – 3,000 unit terjual dalam masa 10 hari

Chery Omoda 5 – 3,000 unit terjual dalam masa 10 hari

Chery Malaysia mengumumkan bahawa SUV segmen-B Chery Omoda 5 sudah pun terjual sebanyak 3,000 unit hanya selepas 10-hari dilancarkan di sini.

Menurut syarikat itu dalam kenyataan yang dikeluarkan, ini membuktikan bahawa Omoda 5 telah ‘melangkaui jangkaan’ pelanggan di sini dan ‘merupakan bukti permintaan pasaran yang kukuh dan keyakinan pelanggan terhadap penawaran produk Chery Malaysia.’

Jenama dari China berkenaan kembali ke pasaran Malaysia dengan melancarkan dua produk awalan serentak 6 Julai lalu iaitu Omoda 5 dan juga SUV segmen-D tujuh tempat duduk Tiggo 8 Pro.

Ketika dilancarkan Chery Malaysia menawarkan waranti tambahan untuk enjin selama 10 tahun atau 1 juta km yang mana sampai dulu untuk 3,000 pelanggan terawal. Oleh itu untuk pelanggan selepas ini, waranti enjin yang diberikan adalah sama dengan waranti kenderaan iaitu 7 tahun/150,000 km.

Chery Omoda 5 – 3,000 unit terjual dalam masa 10 hari

Namun sekiranya ada pelanggan yang mahukan waranti enjin 10 tahun/1 juta km berkenaan, mereka masih boleh mendapatkannya dengan bayaran tambahan RM2,000. Manakala servis percuma selama lima tahun (secara berselang-seli, hanya untuk kos buruh) masih diberikan standard untuk semua pelanggan.

Omoda 5 merupakan model yang berhadapan terus dengan dua SUV segmen-B yang menguasai pasaran Malaysia sekarang iaitu Proton X50 dan Honda HR-V. Ia menampilkan dimensi 4,400 mm panjang, 1,830 mm lebar, 1,585 mm tinggi serta jarak roda sejauh 2,630 mm, atau 70 mm lebih panjang dan 40 mm lebih lebar dari HR-V.

Model pasaran Malaysia ini dijana oleh enjin 1.5 liter empat silinder dengan pengecas turbo menghasilkan kuasa 156 hp dan tork maksima 230 Nm. Kuasa dialirkan sepenuhnya ke roda hadapan menerusi kotak gear CVT automatik yang diberikan sembilan kelajuan maya.

Chery Malaysia menawarkan dua varian Omoda 5 di sini yang dipasang secara tempatan (CKD), dijual pada harga bermula RM108,800 untuk varian asas Omada 5 C dan RM118,800 untuk varian tertinggi Omoda 5 H. Untuk pembeli Chery Omoda 5 C, ia hanya ditawarkan dalam tiga warna badan iaitu Khaki White, Dark Black dan Phantom Grey.

Chery Omoda 5 – 3,000 unit terjual dalam masa 10 hari

Untuk varian H pula, ketiga-tiga warna tersebut diberikan tambahan serlahan-serlahan merah. Varian tertinggi ini turut ditawarkan dengan tema warna dua tona (bumbung hitam) dan serlahan merah tetapi hanya untuk warna badan Khaki White tetapi memerlukan bayaran tambahan sebanyak RM2,000.

Walaupun baru dilancarkan semula ke pasaran Malaysia, Chery sudahpun mempunyai jaringan pengedar dengan 23 bilik pameran yang sudah pun beroperasi dan lapan outlet lagi akan memulakan perniagaan menjelang akhir Ogos ini. Jaringan servis selepas jualan juga kini sudah beroperasi dengan 22 pusat servis yang sudah beroperasi serta “alat ganti tersedia secara startegik ditempatkan di seluruh Semenanjung dan Malaysia Timur”, menurut Chery Malaysia.

“Sebagai pengeluar automotif dengan pengalaman pembuatan yang luas dan keupayaan inovatif, Chery berdedikasi untuk menyampaikan produk berkualiti tinggi yang memenuhi keperluan pengguna Malaysia. Kami sangat menitikberatkan kualiti, keselamatan dan prestasi produk, berinovasi dan menambah baik teknologi kami secara berterusan untuk terus mendahului permintaan pasaran,” kata Leo Chen, Naib Presiden eksekutif Chery Malaysia.

GALERI: Chery Omoda 5 H 2023

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required