Mitsubishi Triton Group T1 untuk Asia Cross County Rally 2023 didedahkan – bakal juara lagi tahun ini?

Mitsubishi Triton Group T1 untuk Asia Cross County Rally 2023 didedahkan – bakal juara lagi tahun ini?

Serentak dengan pendedahan sulung peringkat global bagi model generasi baharu Mitsubishi Triton di Thailand hari ini, sayap perlumbaannya iaitu Mitsubishi Ralliart turut memperkenalkan secara rasmi jentera rali baharu pasukan tersebut yang diasaskan dari model produksi Triton 2024 berkenaan, untuk perlumbaan Asia Cross Country Rally (AXCR) tahun ini yang akan berlangsung bulan hadapan.

Seperti Triton pasukan Ralliart yang menjuarai AXCR tahun lalu, jentera rali generasi baharu ini turut dibina berdasarkan spesifikasi FIA Group T1 bagi melayakkannya bertanding dalam perlumbaan kembara rentas negara tersebut. Jadi bermakna ia masih berkongsi sejumlah besar komponen dan peralatan yang sama seperti model produksi, dan dibekalkan dengan beberapa peralatan perlumbaan.

Model generasi baharu ini dipadankan dengan enjin turbodiesel 4N16 2.4 liter DOHC yang menjana 204 PS dan tork maksima 470 Nm. Enjin berkenaan telah dibina semula oleh HKS, tetapi sama seperti Triton Group T1 2022, enjin tersebut hanya diberikan sentuhan blueprinting bagi memberikan respon lebih baik serta menampilkan jumlah kuasa yang sama seperti versi produksi sebenar.

Penutup hud hadapan, sepasang pintu belakang dan juga bed kargo belakang jentera rali ini diperbuat dari gentian karbon. Ia turut dipasang dengan unit snorkel bagi membolehkan ia ‘menyelam’ merentasi sungai, manakala bed belakang diberikan sepasang tayar gantian dan unit winch elektrik.

Mitsubishi Triton Group T1 untuk Asia Cross County Rally 2023 didedahkan – bakal juara lagi tahun ini?

Pada sebelah dalam ia turut dilengkapi dengan rollcage, tempat duduk bucket Bride bersama tali pinggang keselamatan, pemadam api dan juga pelbagi kelengkapan keselamatan perlumbaan lain.

Menurut Mitsubishi, walaupun saiz model generasi baharu ini lebih besar, dengan pelbagai ubahsuai komponen yang dibuat membolehkan beratnya lebih kurang sama dengan jentera rali Triton AXCR tahun lalu.

Selain itu Triton 2023 Group T1 ini juga menerima unit LSD dari Cusco pada gandar hadapan dan belakang, set penyerap hentak boleh laras dari Cusco bagi disesuaikan dengan laluan off-road sepanjang rali berkenaan, set rim aluminium aloi dari Work bersama tayar Yokohama Geolander M/T G003.

Pasukan Mitsubishi Ralliart sudahpun menjalankan ujian ketahanan terhadap trak pikap tersebur dari 19 hingga 23 Jun lalu. Ujian yang dibuat di laluan off-road berhampiran Taman Negara Khao Yai, Thailand tersebut menghidangkan suasana dan keadaan yang menyerupai laluan yang akan digunakan di perlumbaan sebenar AXCR nanti.

Dalam ujian selama lima hari serta dengan jarak 800 km berkenaan, bukan hanya ketahanannya diuji, malah pasukan Mitsubishi Ralliart turut dapat melakukan talaan muktamad yang akan digunakan dalam perlumbaan sebenar kelak.

Seperti tahun lalu, pasukan Mitsubish Ralliart untuk AXCR 2023 diketuai oleh pengarahnya iaitu bekas juara Rali Dakar dua kali, Hiroshi Masuoka. Manakala tugas prinsipal pasukan dipikul oleh Chayut Yangpichit dari Tant Sport Thailand. Pembentukan pasukan juga masih sama di mana pasukan tersebut dimiliki oleh Tant Sport Thailand, dan bantuan teknikal diberikan oleh jurutera dari Mitsubishi Motors Japan.

Bagi barisan pemandu, juara AXCR 2022 Chayapon Yotha dari Thailand masih akan memandu untuk pasukan Mitsubishi Ralliart bagi edisi AXCR tahun ini, dibantu oleh juruarahnya juga dari Thailand iaitu Peerapong Sombutwong. Turut kekal adalah pemandu rali sensasi dari Indonesia iaitu Rifat Sungkar yang akan memandu sebuah lagi Triton T1 untuk memburu kejuaraan AXCR 2023.

Rifat sekali lagi akan dibantu juruarah dari Thailand Chupong Chaiwan. Tahun lalu Rifat menamatkan AXCR 2022 dikedudukan kelima setelah berhadapan beberapa cabaran getir termasuk tayar Triton yang dipandunya pecah pada SS kedua, dan turut menyebabkan kerosakan pada casis.

Mitsubishi Triton Group T1 untuk Asia Cross County Rally 2023 didedahkan – bakal juara lagi tahun ini?

Manakala Sakchai Hantrakul dari Thailand yang memandu Triton T1 ketiga pasukan Mitsubishi Ralliart tahun lalu telah digugurkan, dan digantikan dengan pemandu Jepun, Katsuhiko Taguchi. Berumur 51 tahun, Katsu Taguchi merupakan pemandu berpengalaman dan telah dinobatkan sebagai juara Kejohanan Rali Asia Pasifik (APRC) untuk musim 1999 dan 2010, serta juara kategori Group N di Jepun pada 2007.

Taguchi juga sangat berpengalaman dalam laluan SS di Asia Tenggara kerana selain memandu untuk pasukan rasmi Mitsubishi Ralliart, dia juga pernah memandu Proton Wira 4WD Evo III untuk pasukan Proton PERT dalam Kejohanan Rali Malaysia serta rali-rali antarabangsa lain pada era 90’an.

Apa yang menarik lagi, pasukan Mitsubishi Ralliart tahun ini juga dilengkapi dengan ‘pejabat bergerak’ menggunakan MPV Mitsubishi Delica D:5. Menurut Mitsubishi, Masuoka-san dan juga pasukan jurutera serta kru pasukan tersebut akan mengembara bersama sepanjang rali berkenaan menggunakan MPV itu.

Mitsubishi Triton Group T1 untuk Asia Cross County Rally 2023 didedahkan – bakal juara lagi tahun ini?

Segala kerja-kerja termasuk menganalisa keadaan perlumbaan, merancang strategi sehingga memberikan sokongan teknikal di service park akan dibuat di dalam MPV yang mempunyai kebolehan merentas laluan lasak tersebut. Lebih perincian berkenaan Mitsubishi Delica D:5 Ralliart ini pada PAUTAN INI.

“Kami sangat teruja kerana dapat bertanding dengan Triton serba baharu, yang telah direka bentuk semula sepenuhnya dan menampilkan peningkatan ketara untuk setiap aspek,” kata Hiroshi Masuoka.

“Jentera rali Triton ini telah menjalani ujian ketahanan sepanjang lebih 2,000 km di Jepun dan Thailand tanpa masalah besar, dan kami telah mengesahkan bahawa ia memberikan prestasi yang lebih baik daripada model tahun lepas dalam setiap peringkat, dari peringkat laluan atas permukaan tanah berkelajuan tinggi sehingga permukaan berlumpur kelajuan rendah.

“Kami akan sertai dengan tiga kereta rali, setiap satunya bersaing untuk merebut kejuaraan keseluruhan, dan kami mahu sekali lagi bergelar juara dan kekal di atas podium untuk kemenangan berturut-turut,” tambah Masuoka lagi.

AXCR 2023 akan bermula pada 13 Ogos sehingga 19 Ogos nanti. Berbanding tahun lalu yang menyajikan laluan sekitar 1,700 km, tahun ini semua peserta harus menghabiskan pengembaraan dalam jarak sejauh 2,000 km.

Sebanyak enam peringkat laluan perlu ditempuhi oleh kesemua pelumba yang bermula di Pattaya, Thailand, dan akan merentas Pachinburi, Surin, Ubonratchani seterusnya menuju ke sempadan Laos. Dua peringkat lagi akan dilangsungkan di Laos dan perlumbaan akan berakhir di Pakse juga di Laos.

GALERI: Sesi ujian jentera rali Mitsubishi Triton Group T1 generasi baharu untuk AXCR 2023

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required