GIIAS 2023: Daihatsu Vision-F didedahkan – model konsep van Gran Max EV, jarak gerak 200 km

GIIAS 2023: Daihatsu Vision-F didedahkan – model konsep van Gran Max EV, jarak gerak 200 km

Jika tahun lalu mereka memperkenalkan model konsep Ayla EV, tahun ini Astra Daihatsu Motor (ADM) motor muncul dengan satu lagi konsep EV di Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS) – kali ini ia memperkenalkan Daihatsu Vizion-F, iaitu kenderaan komersil ringan berkuasa elektrik sepenuhnya (EV) yang diasaskan dari van Daihatsu Gran Max sedia ada.

Van ini masih menampilkan bentuk asas Gran Max, namun ia diberikan perincian lebih futuristik sama seperti Ayla EV sebelum ini. Pada bahagian muka, Vizion-F menerima lampu hadapan yang lebih nipis, dan tiada lagi sebarang liang udara diberikan pada gril dan bampar.

Begitu juga pada bahagian belakang, ia diberikan lampu nipis yang diletak melintang, dan pintu tailgate belakang direka rata sepenuhnya serta tidak diberikan cermin belakang. Mungkin ia diberikan kamera bagi membolehkan pemandu melihat belakang hanya menerusi skrin?

Rekaan ringkas juga diberikan pada bahagian sisi di mana tiada tingkap sisi belakang diberikan seperti van-van panel komersil lain. Manakala cermin tingkap sisi hadapan pula seakan bersambung dengan cermin hadapan menerusi kemasan hitam yang diberikan.

GIIAS 2023: Daihatsu Vision-F didedahkan – model konsep van Gran Max EV, jarak gerak 200 km

Juga sama seperti model konsep Ayla EV sebelum ini, badan Vizion-F ini menerima cat berwarna Metal Grey bersama serlahan jalur Electric Yellow di bawah kemasan hitam pada cermin. Ia turut menerima rim gaya-aero bagi melengkapkan rupa sebuah van komersil dari masa hadapan.

Pada sebelah dalam, Vizion-F ini diberikan papan pemuka yang direka semula. Bahagian tengahnya diberikan skrin utama bersaiz besar yang turut berfungsi memberikan pelbagai kawalan termasuk untuk ‘menukar gear D’. Liang penghembus udara dihasilkan nipis, dan roda stereng juga tampil dengan rekaan tersendiri.

Untuk bergerak, Vizion-F ini menerima motor elektrik berkuasa 48 PS (47 hp or 35 kW), yang menerima bekalan dari bateri 28 kWj. Daihatsu menyatakan bahawa bateri tersebut membolehkan van EV ini bergerak sejauh 200 km dengan satu cas penuh, dan ia boleh mencapai kelajuan maksima 100 km/j.

Jika menggunakan sistem pengecas pantas DC, bateri berkenaan boleh dipenuhkan dalam masa hanya sejam. Manakala dengan pengecas AC pula masa yang diambil untuk memenuhkan bateri adalah sembilan jam. Walau bagaimanapun Daihatsu tidak menyatakan kapasiti pengecas untuk kedua-dua cara tersebut.

Menurut ADM selain digunakan untuk mengangkut barang-barang, Vizion-F juga boleh digunakan dalam pelbagai kegunaan komersil lain seperti trak makanan, kenderaan bantuan tepi jalan dan juga menawarkan pengecas mudah alih bagi membantu kenderaan EV lain yang kehabisan cas ketika dalam perjalanan.

Malah Vizion-F turut boleh berfungsi seperti ‘powerbank gergasi’ bagi membantu membekalkan kuasa elektrik di kawasan yang ditimpa musibah.

Walau bagaimanapun, ADM tidak mengesahkan sama ada Vizion-F ini akan dihasilkan sebagai model produksi atau tidak. Apa pendapat anda pula? Adakah ini adalah idea yang baik untuk dibawa ke barisan produksi dan turut dijelmakan dalam versi Perodua dan diperkenalkan sebagai kenderaan komersil ringan seperti van Rusa satu ketika dahulu?

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required