Daihatsu Ayla EV Concept – kembar Perodua Axia di Indonesia berkuasa elektrik, didedahkan di GIIAS 2022

Daihatsu Ayla EV Concept – kembar Perodua Axia di Indonesia berkuasa elektrik, didedahkan di GIIAS 2022

Wakil Daihatsu di Indonesia, Astra Daihatsu Motor (ADM) telah pun mendedahkan model konsep Daihatsu Ayla EV di Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS) 2022 yang berlangsung di BSD City. Seperti namanya, ia adalah kembar Perodua Axia untuk pasaran Indonesia yang telah pun diubah menjadi kereta elektrik sepenuhnya (EV). Di negara berkenaan, hatchback segmen-A ini turut mempunyai satu lagi kembar iaitu Toyota Agya.

Model konsep ini dibangunkan di pusat R&D ADM di Indonesia. Bagi mengubah Ayla ini dari menggunakan kuasa petrol kepada kuasa elektrik sepenuhnya, tiga aspek utama perlu diubah iaitu enjin petrol 3NR-VE (Ayla pasaran Indonesia menerima enjin 1.2 liter berbanding Axia di Malaysia yang hanya dijana enjin 1KR-VE 1.0 liter) kepada motor elektrik, tangki minyak perlu diganti dengan bateri, manakala casis dan suspensi perlu diperkuat kerana dipadankan dengan bateri yang lebih berat.

Untuk itu, Ayla EV ini menerima motor elektrik berkuasa 60 kW atau 80.4 hp yang terus memacu roda hadapan tanpa kotak gear, manakala ruang yang sebelum ini menempatkan tangki petrol dan tayar gantian diganti dengan bateri EV berkapasiti 32 kWj bagi membekalkan kuasa elektrik kepada motor.

Daihatsu Ayla EV Concept – kembar Perodua Axia di Indonesia berkuasa elektrik, didedahkan di GIIAS 2022

Namun tiada perincian lanjut berkenaan unit rangkaian kuasa tersebut disebut oleh ADM. Jadi untuk membayangkan prestasinya, Ayla EV ini mungkin boleh dibandingkan dengan EV MINI Cooper SE yang sudahpun dilancarkan di Malaysia. EV dari MINI berkenaan menerima bateri berkapasiti 28.9 kWj bersama motor elektrik berkuasa 135 kW (184 PS), didakwa boleh bergerak sejauh 232 km (tidak sampai 200 km untuk pemanduan sebenar).

Daihatsu Ayla EV ini diberikan bateri dengan kapasiti sedikit lebih besar bersama motor elektrik yang kurang berkuasa berbanding MINI Cooper SE, dan tentu lebih ringan dengan saiz lebih kecil – faktor ini berkemungkinan dapat memberikan jarak gerak lebih jauh kepada Ayla EV berbanding EV MINI berkenaan.

Selain dari suspensi yang lebih kuat, ADM turut menyatakan bahawa casis hatchback elektrik ini turut diubah, namun sekali lagi ia tidak diperincikan. Pengubahsuaian yang dibuat berkenaan mungkin dibuat pada bahagian lantai model konsep ini dengan menutup sepenuhnya bahagian tersebut bukan sahaja untuk melindungi bateri dan komponen bervoltan tinggi yang lain, malah untuk memberikan aspek aerodinamik lebih baik.

Rupa asas Ayla EV ini masih lagi kelihatan seperti sebuah Ayla, tetapi diberikan penggayaan yang futuristik. Muka Ayla ini diberikan gril dan juga bampar tanpa sebarang liang udara seperti EV lain, manakala lampu hadapan menerima jalur LED yang kelihatan bersambung dengan jalur LED pada gril bersama logo Ayla di tengah yang turut bernyala – persis Volkswagen Golf Mk8.

Bahagian atas bampar Ayla ini diberikan corak seakan batu permata tetapi tidak mempunyai sebarang lubang, manakala pada bahagian sisi bampar menerima rekaan seakan Myvi facelift 2022 bersama lampu nyalaan siang yang juga diposisikan menegak. Cermin sisi Ayla EV ini juga digantikan dengan kamera ala-Honda e, dan ia diberikan set rim aero dengan kemasan dua tona.

Dalam kabin, ia masih mengekalkan asas papan pemuka Ayla, tetapi diberikan panel instrumen digital sepenuhnya bersama skrin pada sebelah kiri dan kanan untuk memberikan visual dari kamera sisi. Roda stereng pada Ayla EV ini dilihat diambil dari model-model terbaharu termasuk Daihatsu Xenia/Alza 2022.

Daihatsu Ayla EV Concept – kembar Perodua Axia di Indonesia berkuasa elektrik, didedahkan di GIIAS 2022

Adakah ini bermaksud Daihatsu/Perodua akan memperkenalkan model produksi Ayla EV/Axia EV tak lama lagi? Rasanya tidak, kerana model konsep ini hanya melalui proses seakan restomod yang hanya menggantikan enjin petrol kepada sistem motor elektrik.

Walau bagaimanapun, model konsep ini sebenarnya telah menunjukkan minat Daihatsu-Perodua terhadap teknologi EV, yang semestinya ia turut disertai dengan pelan jangka masa panjang untuk EV bagi rantau Asia-Tenggara.

“Dengan mempamerkan kenderaan ini, Daihatsu akan menyampaikan pendekatannya untuk mempromosikan penyebaran mampan terhadap kenderaan elektrik praktikal kepada pengunjung. Ia juga akan menyampaikan komitmen korporatnya untuk menyumbang kepada merealisasikan neutraliti karbon di Indonesia,” kata Daihatsu.

VIDEO: Daihatsu Ayla EV Concept didedahkan

GALERI: Daihatsu Ayla EV Concept

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required