Pelumba rali negara, Saladin Mazlan sekali lagi naik ke podium pemenang di Kejohanan Rali Thailand RAAT 2023 minggu lalu selepas memenangi tempat kedua dalam kelas Super 4WD dan kedua secara keseluruhan untuk pusingan ke-4 kejuaraan tersebut.
Perlumbaan yang berlangsung di Kanchanaburi bermula 16 hingga 17 September tersebut melibatkan enam SS dengan jarak sejauh 75 km, diadakan di sekitar kawasan latihan ketenteraan di wilayah itu. Namun disebabkan laluan gravel yang begitu mencabar, hanya 30 kereta dari 58 kereta yang memulakan perlumbaan berjaya menghabiskan pusingan terakhir kejuaraan berkenaan.
Malah Saladin yang hanya memandu Subaru Impreza WRX Version 3 yang sudahpun berusia 27-tahun perlu berhadapan dengan lawan bersama jentera lebih moden dan berkuasa bukan hanya dari Thailand, malah dari negara lain termasuk Jepun, India dan Indonesia.
Beliau yang memandu untuk pasukannya sendiri iaitu Saladin Rallying dibantu oleh juruarah dari Thailand, Ittipon Simaraks berhadapan dengan masalah elektrikal pada SS kedua, namun ia berjaya diselesaikan sendiri oleh pasangan tersebut. Impreza WRX GC8 dengan livery perlumbaan Northwestern Energy tersebut kemudiannya berjaya menamatkan perlumbaan tanpa sebarang masalah mekanikal.
Rali ini dimenangi oleh pasukan Fast Forward Sport dari Thailand dengan jentera Toyota CH-R AP4 2.0 liter Turbo 4WD yang jauh lebih moden binaan Cusco Japan, dipandu oleh Mana Pornsiricherd bersama juruarah Thanyaphat Meeniii.
Turut memandu dibawah pasukan yang sama, anak Saladin sendiri iaitu Ibrahim Saladin yang baru berumur 21-tahun sekali lagi tidak berjaya menghabiskan perlumbaan di kejohanan rali nasional di Thailand ini. Ia berikutan driveshaft pada jentera Proton Satria Neo yang dipandunya patah seawal SS pertama dan terpaksa menamatkan saingan.
Ibrahim masih dibantu oleh juru arah berpengalaman, Arish Qutb yang sebelum ini sudah lama bergandingan dengan ayahnya. Walaupun gagal menamatkan perlumbaan, Ibrahim mempamerkan corak pemanduan yang meyakinkan sebelum insiden itu berlaku. Prestasi Ibrahim akan terus dipantau oleh mentornya iaitu Saladin sendiri bagi membolehkan ia beraksi lebih cemerlang pada masa akan datang.
Saladin Mazlan mula mencipta nama pada era 90’an, dan pernah memandu dalam pasukan Proton PERT. Namun untuk peringkat antarabangsa, Saladin meneroka jalannya sendiri dengan mendapat tempat memandu Subaru Impreza WRX GC8 untuk pasukan Subaru Rally Team Japan di WRC Safari Rally pada tahun 2000.
Pada 2001, Saladin bertanding dalam WRC untuk kategori Super 1600, memandu Ford Puma 1600 dengan pasukannya sendiri, Saladin Rallying. Manakala pada 2002, Saladin memandu Hyundai Accent WRC untuk pasukan Hyundai MSD Team Asia di beberapa pusingan Kejohanan Rali Asia Pasifik (APRC).
Namun setelah 12 tahun menyepi dari sebarang kejohanan rali peringkat antarabangsa, Saladin kembali untuk bertanding di Thailand Julai lalu dengan menyertai pusingan ketiga Kejohanan Rali Thailand RAAT 2023. Kemunculan semulanya itu terus memberikan impak apabila muncul juara kategori Super 4WD dan naib juara keseluruhan dengan memandu Subaru Impreza WRX yang disediakan oleh Secret Service Garage (SSG) tersebut.
Untuk keputusan yang diraih kali ini, Saladin mendedikasinnya kepada mendiang Jagdev Singh yang baru meninggal dunia bulan lalu. Selain dari menjadi juru arah kepada Karamjit Singh, Jagdev juga merupakan juru arah yang sering bersama Saladin ketika kedua-duanya berada dalam pasukan Proton PERT.
Menurut pengurus pasukan Saladin Rallying, pasukannya kini sedang merancang untuk kembali bertanding Kejohanan Rali Thailand RAAT untuk musim 2024, serta pelbagai rali di Indonesia termasuk pusingan APRC yang akan berlangsung di republik berkenaan.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.