Saladin Mazlan muncul juara kelas Super 4WD di pusingan ketiga Kejohanan RAAT Rali Thailand 2023!

Saladin Mazlan muncul juara kelas Super 4WD di pusingan ketiga Kejohanan RAAT Rali Thailand 2023!

Walaupun Malaysia kini sepi dari sebarang kejohanan rali, namun komuniti rali negara membuktikan bahawa antara pemandu-pemandu rali terbaik di ASEAN masih berada di Malaysia – tahun lalu Karamjit Singh berjaya menggegar Suwarnadwipa Nusantara Challenge 2022 di Indonesia dengan membawa balik tiga gelaran juara, dan minggu lalu seorang lagi pemandu rali lagenda tempatan, Saladin Mazlan berdiri megah di atas podium pusingan ke-3 Kejohanan RAAT Rali Thailand 2023!

Walaupun sudah 12 tahun tidak bertanding dalam mana-mana rali peringkat antarabangsa, dan 25 tahun tidak berlumba secara kompetitif di atas permukaan gravel, Saladin yang berlumba di bawah pasukannya sendiri iaitu Saladin Rallying masih berjaya muncul juara kategori RC1 (Super 4WD) dan naib juara keseluruhan dengan memandu Subaru Impreza WRX Version 3 yang berusia 27-tahun, disediakan oleh Secret Service Garage (SSG) dari Malaysia.

Selain dari perlu bersaing dengan jentera-jentera rali lebih baharu, Saladin bersama juruarahnya dari Thailand, IttIpon Simaraks berhadapan dengan pelbagai lagi cabaran lain bagi menghabiskan rali yang berlangsung di Wilayah Lopburi, utara Bangkok.

Sebanyak 65 kereta dari pelbagai pasukan dari pelbagai negara termasuk Thailand, Jepun, India dan Malaysia memulakan rali ini. Namun dengan cuaca yang tidak menentu yang menjadikan laluan SS basah, licin dan berlecak akibat hujan yang turun, hanya 41 kereta yang berjaya menamatkan perlumbaan.

Tujuh SS disediakan pada peringkat awal, tetapi SS pertama terpaksa dibatalkan kerana hujan yang turun terlalu lebat. Cabaran yang perlu dihadapi Saladin bermula seawal SS kedua kerana masalah kebocoran sistem penyejukkan enjin. Namun ia berjaya diperbaiki sendiri oleh Saladin dan Simaraks, seterusnya menghabiskan lima lagi SS tanpa sebarang masalah mekanikal.

Saladin bukan satu-satunya pelumba rali Malaysia yang bertanding di kejohanan rali ini hujung minggu lalu. Kontinjen dari Malaysia turut disertai oleh seorang lagi rali negara yang berpengalaman iaitu Hj. Sutan Mustafa Salihin memandu Subaru Impreza WRX STi Version 8 dan juga Ezamin Ezham Ismail memandu Perodua Myvi X4.

Kedua-dua mereka turut berjaya menghabiskan rali ini dengan Haji Sutan berada di kedudukan ke-6 dalam kategori RC1 dan ke-12 secara keseluruhan, manakala Ezamin pula berada di tempat ke-33 untuk keseleruhan.

Anak Saladin sendiri iaitu Ibrahim Saladin yang kini berusia 21-tahun turut menyertai rali kali ini, memandu Proton Satria Neo dalam kategori RC2.1. Ibrahim yang juga memandu untuk pasukan Saladin Rallying dibantu oleh juruarah yang sudah lama bergandingan dengan ayahnya iaitu Arish Qutb.

Namun nasib tidak baik, Ibrahim terlibat dalam kemalangan pada SS ke-4 ketika berada di kedudukan ke-9 dalam kelasnya, memaksanya menamatkan rali ini lebih awal. Menurut pasukan Saladin Rallying dalam kenyataan yang dikeluarkan, Ibrahim akan terus dilatih oleh ayahnya selepas ini bagi kembali semula dalam perlumbaan-perlumbaan lain.

Saladin Mazlan muncul juara kelas Super 4WD di pusingan ketiga Kejohanan RAAT Rali Thailand 2023!

Saladin Mazlan merupakan pemandu rali yang mula mencipta nama pada era 90’an, dan pernah memandu dalam pasukan Proton PERT. Namun untuk peringkat antarabangsa, Saladin meneroka jalannya sendiri dengan mendapat tempat memandu Subaru Impreza WRX GC8 untuk pasukan Subaru Rally Team Japan di WRC Safari Rally pada tahun 2000.

Pada 2001, Saladin bertanding dalam WRC untuk kategori Super 1600, memandu Ford Puma 1600 dengan pasukan Saladin Rallying. Manakala pada 2002, Saladin memandu Hyundai Accent WRC untuk pasukan Hyundai MSD Team Asia di beberapa pusingan Kejohanan Rali Asia Pasifik (APRC).

Menurut pengurus pasukan Saladin Rallying Nik Ammar Mohammed, pasukan itu akan aktif semula di peringkat antarabangsa selepas ini dengan menyertai pusingan-pusingan selebihnya dalam Kejohanan RAAT Rali Thailand 2023, serta mengintai peluang untuk bertanding di Indonesia dan kembali ke APRC tahun hadapan!

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required