Toyota GR Yaris sudahpun berada sekitar tiga tahun dalam pasaran selepas ia membuat kemunculan sulung global di Tokyo Auto Salon 2020. Jadi kalau ikut hayat produksi, ia sepatutnya bakal muncul dalam versi facelift tidak lama lagi.
Menurut laporan portal automotif Jepun BestCar Web, GR Yaris facelift 2024 ini akan muncul tahun hadapan dan mungkin akan digelar sebagai GR Yaris Evolution II. Di Jepun, tempahan bagi GR Yaris sedia ada sebenarnya sudah ditutup sejak Julai tahun lalu, dan ia untuk memastikan pelanggan yang menempah model tersebut mendapat kereta mereka sebelum produksi model Evo II ini bermula selepas Januari 2024.
Portal itu turut menyebut bahawa tempahan untuk GR Yaris Evolution II ini mungkin akan dibuka pada musim luruh tahun ini, dan penghantaran untuk pelanggan terawal yang menempahnya mungkin akan dibuat pada musim bunga tahun hadapan.
Untuk spesifikasi mekanikal, BestCar menyatakan GR Yaris 2024 ini masih lagi dijana oleh enjin G16E-GTS 1.6 liter tiga-silinder turbo. Namun ia mungkin akan menerima talaan kuasa yang sama seperti pada enjin G16E-GTS pada GR Corolla yang menghasilkan kuasa 304 PS dan tork maksima 370 Nm, lebih berkuasa dari versi sedia ada yang menerima talaan kuasa 272 PS.
Buat masa sekarang GR Yaris hanya ditawarkan dalam versi kotak gear manual enam-kelajuan (tidak termasuk versi ‘kosong’ GR Yaris RS dengan enjin 1.5 NA dan kotak gear CVT untuk pasaran Jepun), namun untuk model Evo II nanti BestCar melaporkan bahawa ia turut datang dengan pilihan kotak gear automatik.
Kotak gear berkenaan bukan dari jenis klac berkembar (DCT), sebaliknya adalah kotak gear automatik konvensional menggunakan torque converter lapan kelajuan (8AT) yang dibekalkan bersama pedal penukar gear dan juga sistem lock-up yang baharu dibangunkan Toyota, dedah BestCar lagi.
Dengan enjin lebih berkuasa, portal tersebut menyatakan GR Yaris facelift ini turut akan menerima tingkat taraf suspensi, brek dan juga kerangka badan yang lebih tegar dari versi sedia ada.
GR Yaris Evolution II ini turut akan menerima penyegaran rupa. Laporan ini menyatakan ia akan menerima rekaan bampar baharu pada sebelah luar bersama pilihan spoiler belakang yang lebih besar dari sebelum ini. Manakala dalam kabin, versi facelift ini turut akan diberikan pilihan paparan instrumen digital buat pertama kali.
Musim bunga di Jepun sebenarnya sudah pun bermula, mungkin pengumuman rasmi dari Toyota berkenaan GR Yaris Evolution II ini akan dibuat tak lama lagi?
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.