Honda sekali lagi menayangkan kereta lumba konsep Honda Civic Type R-GT di Japan Mobility Show 2023 selepas ia didedahkan buat pertama kali di Tokyo Auto Salon pada Januari lalu. Kereta ini merupakan bayangan kepada jentera lumba Civic Type R FL5 yang akan menggantikan Honda NSX GT dalam perlumbaan Super GT untuk kelas GT500 yang akan direhatkan pada penghujung musim ini.
Jentera lumba sebenar Honda Civic Type R-GT ini sebenarnya sudahpun didedahkan pada Julai lalu dan ia sudahpun melengkapkan sesi ujian awalan. Civic menggantikan NSX dalam perlumbaan berkenaan kerana NSX generasi kedua tersebut sudah tidak lagi dijual dalam pasaran selepas produksinya dihentikan pada penghujung 2021.
Peralihan dari NSX ke Civic Type R ini juga dilihat lebih relevan kerana jentera-jentera GT500 kini sudahpun menggunakan undang-undang FIA Class 1 yang sama seperti perlumbaan DTM di Jerman. Menurut spesifikasi tersebut, semua dijana oleh enjin 2.0 liter empat-silinder sebaris yang diletak pada bahagian hadapan kereta.
Walau bagaimanapun ia tidak menggunakan kerangka asal Civic Type R FL yang dijual di bilik pameran, sebaliknya menggunakan casis monocoque karbon, dan kuasa dari enjin perlu memacu roda belakang.
Untuk pengetahuan anda juga, NSX-GT sebelum ini sudah pun dijana oleh enjin 2.0 liter dengan kedudukan enjin dialih dari tengah ke bahagian hadapan bermula pada musim 2020 bagi disesuaikan dengan undang-undang FIA Class 1 tersebut.
Honda tidak mengumumkan sebarang spesifikasi jentera ini, namun ia sepatutnya menggunakan enjin yang sama seperti NSX-GT sebelum ini yang menghasilkan sekitar 650 hp sama seperti jentera-jentara GT500 yang lain. Perlumbaan Super GT 2024 akan bermula pada April nanti dengan pusingan pertama akan berlangsung di Litar Antarabangsa Okayama.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.