Albert Biermann mahu sumbat enjin 2.5L Turbo pada Hyundai Elantra N ketika jenama lain sibuk dengan EV

Albert Biermann mahu sumbat enjin 2.5L Turbo pada Hyundai Elantra N ketika jenama lain sibuk dengan EV

Sama seperti kebanyakkan pengeluar lain, Hyundai kini turut sedang beralih ke arah elektrifikasi. Malah divisi prestasi dan perlumbaannya iaitu Hyundai N juga turut bergerak ke arah yang sama dengan memperkenalkan EV prestasi pertamanya, Hyundai Ioniq 5 N.

Namun ini bukan bermakna enjin pembakaran dalaman dilupakan terus – untuk sedan prestasi Hyundai Elantra N, Penasihat Teknikal Eksekutif Hyundai Motor Group (HMG), Albert Biermann mahukan enjin lebih besar disumbatkan pada model tersebut berbanding enjin 2.0 liter empat-silinder turbo sedia ada.

“Secara teknikalnya, kami bersedia untuk meneruskan pembangunan [kereta N dengan enjin pembakaran dalaman]. Sebelum saya meninggalkan Namyang, saya sudah pastikan Elantra boleh disumbat dengan enjin 2.5 liter turbo. Ia muat dan sesuai dengan semuanya,” kata Biermann dalam laporan portal Australia, CarExpert.

Biermann sebelum ini merupakan Presiden dan Ketua Jabatan Pembangunan dan Penyelidikan (R&D) HMG. Beliau bersara dari memegang jawatan tersebut tetapi kemudiannya dilantik sebagai Penasihat Teknikal Eksekutif pada akhir 2021. Sebelum menyertai Hyundai, Albert Biermann merupakan naib presiden kejuruteraan BMW M dan beliau adalah antara individu utama dalam mewujudkan Hyundai N serta menyelia pelbagai projek model-model produksi jalan raya N sebelum ini.

Albert Biermann mahu sumbat enjin 2.5L Turbo pada Hyundai Elantra N ketika jenama lain sibuk dengan EV

Menurutnya lagi walaupun banyak pasaran yang kini sedang menumpukan kepada teknologi kenderaan elektrik penuh (EV), ada lagi beberapa pasaran seperti Australia dan Amerika Utara yang dilihat masih sukakan kereta dengan enjin pembakaran dalaman.

“Australia selamat, AS selamat, tetapi seseorang perlu buat keputusan, bukan? Dan pasaran selain dari Australia, lupakan mereka. Mereka semua impikan awan EV, syurga EV, mereka tak peduli pasal kereta dengan enjin pembakaran dalaman.

“Saya rasa dalam tahun ini akan ada keputusan sama ada kami akan teruskan Elantra generasi baharu dengan N atau tidak, secara teknikalnya ia boleh dibuat,” katanya dan menambah keperluan menggunakan enjin lebih besar ini adalah kerana undang-undang emisi mungkin boleh mengurangkan kuasa enjin sedia ada.

“Dengan enjin 2.5 liter turbo dengan undang-undang emisi yang semakin ketat, saya rasa kami masih boleh dapat tahap kuasa yang sama, mungkin sama tahap dengan sekarang, tetapi enjin tersebut perlu terlebih dahulu mendapat sentuhan N,” jelas Biermann.

Buat masa sekarang enjin 2.5 liter turbo berkenaan sudah pun berada dalam perut model-model seperti Hyundai Sonata N-Line dan trak pikap Hyundai Santa Cruz, menghasilkan kuasa 290 hp dan tork maksima 422 Nm. Walaupun belum disentuh oleh divisi N, ia sudahpun lebih berkuasa dari enjin Elantra N sedia ada yang menghasilkan 280 PS dan tork maksima 392 Nm.

Albert Biermann turut menberitahu selain dari enjin, sistem penyejukan juga perlu dipertingkat sekiranya Elantra N menggunakan enjin 2.5 liter turbo kelak. Hyundai Elantra N membuat kemunculan sulungnya pada Julai 2021, dan kemudiannya hadir dalam versi facelift 2023 dengan sedikt perubahan dibuat pada bahagian muka dan beberapa perincian lain.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required