Walaupun sebelum ini Honda hanya menumpukan pada teknologi hibrid bagi pasaran ASEAN, namun minggu lalu Honda membuat pengumuman yang mengejutkan – jenama automotif Jepun itu telah pun memulakan produksi EV pertamanya di rantau ini menerusi SUV EV Honda e:N1.
EV dengan rupa seakan Honda HR-V berkenaan dihasilkan di kilang Honda yang terletak di Rojana Industrial Park, wilayah Prachinburi, Thailand. Menurut Honda model berkenaan bukan hanya dipasang di Thai, malah ia juga menggunakan komponen yang dihasilkan secara tempatan, serta mendakwa bahawa ia adalah jenama Jepun pertama yang memasang memproduksi model EV penuh di negara tersebut.
Walaupun nampak sama seperti HR-V, Honda menyatakan bahawa e:N1 ini diasaskan dari platform e:N Architecture F yang baru sahaja dibangunkan. Platform tersebut menampilkan satu motor elektrik yang diletakkan di hadapan bagi memacu roda hadapan bagi memberikan tiga karekter asas iaitu struktur badan khas dengan ketegaran tinggi, pusat graviti rendah serta bahagian aerodinamik bawah yang dihasilkan secara berhati-hati bagi memastikan faktor “pemanduan yang seronok dan diinspirasikan dari keyakinan” dengan “dinamik Honda yang dikenali”.
Honda telah membuat pra-pendedahan model ini menerusi model e:NY1 Prototype pada Mac 2022, dan ia juga merupakan kembar kepada Honda e:NS1 dan e:NP1 yang dihasilkan untuk pasaran China, perkenalkan jauh lebih awal iaitu pada 2021. Model produksi bagi e:NY1 ini sudahpun mula didedahkan di Eropah pada awal tahun ini. Bagi model e:N1 pasaran Thailand, spesifikasi penuhnya akan diumumkan ketika pelancarannya nanti pada suku pertama 2024.
Bagi e:NY1 pasaran Eropah, SUV EV ini menampilkan modul pacuan integrasi tiga dalam satu ringan mengandingkan motor elektrik dan kotak gear berkuasa 201 hp (150 kW) dan tork maksima 310 Nm. Modul tersebut digerakkan oleh pek bateri lithium-ion berkapasiti 68.8 kWj bagi membolehkan model ini bergerak sejauh 412 km dalam kitaran ujian WLTP. Sistem pengecas pantas DC pada SUV ini membolehkan kadar cas dipenuhkan dari 10% hingga 80% dalam masa 45 minit.
Tidak seperti pengeluar lain yang kini sudahpun memperkenalkan model-model EV ke pasaran Malaysia bagi mengambil kesempatan ke atas insentif pengecualian cukai yang ditawarkan oleh kerajaan, Honda Malaysia dilihat masih lagi tiada ‘calon’ EV yang akan diperkenalkan dalam pasaran tempatan dalam masa terdekat.
Namun dengan adanya e:N1 di negara jiran kelak, ada kemungkinan besar ia turut akan dibawa ke Malaysia sama ada secara CBU atau dihasilkan sendiri oleh Honda Malaysia dikilangnya di Pegoh Melaka – kilang yang sama menjadi kilang ketiga Honda dalam dunia yang memproduksi model-model hibrid jenama itu bermula dengan Jazz Hybrid pada 2012.
Ketika pelancaran Honda CR-V 2024 minggu lalu, Pengarah Besar dan CEO Honda Malaysia Hironobu Yoshimura ada menyatakan bahawa buat masa sekarang syarikatnya hanya akan menumpukan teknologi hibrid yang lebih praktikal di sini terlebih dahulu, tetapi tetap akan memperkenalkan model EV penuh bila sudah sampai masanya.
“Di Malaysia, buat masa sekarang kami sedang fokus terhadap hibrid terlebih dahulu kerana ia adalah solusi yang lebih praktikal. Pada masa tertentu, kami akan kembali ke pada elektrik penuh,” kata Yoshimura.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.