Chery Malaysia akan lancar model lebih mampu milik tahun ini – Tiggo 4 bakal lawan Ativa dan WR-V?

Chery Malaysia akan lancar model lebih mampu milik tahun ini – Tiggo 4 bakal lawan Ativa dan WR-V?

Tidak seperti penampilan pertamanya di Malaysia satu ketika dahulu, Chery Malaysia yang masuk semula ke pasaran tempatan buat kali kedua bukan sahaja agresif dalam pelan perniagaan, malah ia kini bertanding dalam segmen yang lebih premium dari sebelum ini.

Jenama dari China itu mula memperkenalkan SUV segmen-B Omoda 5 dengan rekaan yang sangat funky serta enjin berkuasa pada pasaran Malaysia tahun lalu, bersama SUV segmen-D Tiggo 8 Pro yang menampilkan pelbagai perincian yang lebih baik dari pesaing-pesaing terdekatnya.

Jadi buat masa sekarang, model paling murah yang dijual oleh Chery Malaysia adalah Omoda 5 dalam varian paling asas iaitu Omoda 5 C berharga RM108,800. Namun dalam pembentangan rancangan perniagaannya bagi 2024 pagi tadi, Chery Malaysia mengumumkan bahawa ia akan menawarkan model dengan harga lebih mampu milik pada pasaran tempatan pada suku ke empat 2024, disasarkan dijual pada harga di bawah RM100k.

Menurut pengarah produk Chery Auto Malaysia Michael Chew, model yang akan diperkenalkan tersebut disasarkan untuk dijual dalam jumlah yang banyak dengan mengambil kira harganya yang rendah serta ditawarkan dengan spesifikasi yang berbaloi, dan mungkin akan menjadi “model Chery pertama” dimiliki oleh sebahagian rakyat Malaysia.

Chery Malaysia akan lancar model lebih mampu milik tahun ini – Tiggo 4 bakal lawan Ativa dan WR-V?

Tiada sebarang perincian diumumkan bagi model tersebut, namun kami mengandaikan Chery mungkin akan membawa SUV dengan saiz lebih kurang Perodua Ativa dan Honda WR-V iaitu Chery Tiggo 4 Pro. Model ini pernah ditunjukkan di Malaysia oleh Chery pada 2022, dan ia merupakan SUV segmen-B yang lebih kecil dari Omoda 5, menampilkan dimensi 4,318 mm panjang, 1,831 mm lebar, dan jarak rodanya pula adalah sejauh 2,610 mm.

Dari segi rekaan, Tiggo 4 Pro menampilkan bentuk seakan versi lebih kecil dari ‘abang-abangnya’ yang lain seperti Tiggo 7 Pro dan Tiggo 8 Pro, serta tidak menerima sebarang unsur rekaan luar biasa seperti pada Omoda 5. Manakala untuk enjin, model ini digerakkan oleh enjin 1.5 liter empat-silnder NA berkuasa 111 hp/138 Nm, digandingkan dengan kotak gear CVT automatik.

Beberapa perincian yang diispirasikan dari Tiggo 7 Pro turut dapat dilihat pada sebelah dalam kabin, seperti rekaan papan pemuka dengan elemen melintang dan juga suis-suis kawalan seperti kekunci piano pada bahagian bawah liang penghembus tengah pendingin hawa.

Walau bagaimanapun tiada skrin berkembar diletakkan pada papan pemuka seperti Tiggo 7 Pro dan Tiggo 8 Pro, di mana Tiggo 4 Pro ini dilengkapi dengan skrin infotainmen berdiri sendiri bersaiz 10.25-inci di tengah papan pemuka, manakala skrin LCD tujuh-inci paparan instrumen digital pula terpisah dalam kluster.

Ia turut menampilkan kemasan-kemasan sporty yang sesuai bagi pembeli lebih muda seperti serlahan merah pada benang jahitan untuk upholsteri kulit pada papan pemuka perapi-perapi kemasan pada panel pintu dan balutan tempat duduk.

SUV kecil ini juga menerima pelbagai perincian canggih lain termasuk brek parkir elektrik dengan auto hold, sokongan Android Auto dan Apple Carplay, kamera pemantau 360 darjah, liang penghawa dingin belakang, tempat duduk pemandu larasan kuasa, bumbung suria, enam beg udara sebagai ciri standard, serta sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS).

Walau bagaimanapun, Micheal Chew menjelaskan bahawa model lebih mampu milik ini bukan semestinya model baharu sepenuhnya. Ada kemungkinan Chery Malaysia akan memperkenalkan model sedia ada seperti Omoda 5 atau Tiggo 7 Pro (yang disahkan bakal dilancarkan di sini pada suku kedua tahun ini) dengan perincian yang dikurangkan, bagi membolehkan ia dijual pada harga di bawah RM100k.

Chew turut menjelaskan bahawa keputusan untuk membawa model yang mana bagi mengisi tempat sebagai model Chery paling mampu milik di Malaysia itu juga masih belum dimuktamadkan, dan perincian lebih lanjut akan diumumkan selepas ini. Apa pendapat anda? Adakah jenama automotif China ini boleh menjual lebih banyak unit kenderaan di Malaysia sekiranya ia memperkenalkan model lebih murah di sini kelak?

GALERI: Chery Tiggo 4 Pro yang dipertonton di Malaysia pada 2022

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required