Selain Omoda 5, SUV segmen C Tiggo 7 Pro dan model SUV flagship Tiggo 8 Pro tujuh tempat duduk, kini kita lihat pula model SUV paling kompak yang akan menjengah pasaran Malaysia nanti, Tiggo 4 Pro. Ia nampak kecil berbanding Omoda 5, mungkin ukuran dimensinya dapat membantu.

Tiggo 4 Pro adalah sebuah SUV segmen B, sama seperti Omoda 5. Ia hadir dengan dimensi 4,318 mm panjang dan 1,831 mm lebar, Tiggo paling kecil ini 82 mm lebih pendek dari Omoda 5, dan kedua-duanya hadir dengan kelebaran yang sama. Jarak antara roda Tiggo 4 Pro adalah 2,610 mm, dan ini 20 mm lebih pendek dari Omoda 5. SUV kompak ini nampak sama saiz dengan Omoda 5, dengan perbezaan juga tidak ketara. Sebaliknya rekaanlah yang meletakkan keduanya nampak berbeza.

Tiggo 4 Pro ini dikuasakan oleh enjin 1.5 liter turbocas empat-silinder yang menghasilkan 147 PS pada 5,500 rpm dan 210 Nm tork antara 1,750 dan 4,500 rpm. Ini enjin yang sama digunakan pada Tiggo 7 Pro dan digandingkan dengan CVT. Enjin peringkat kemasukan bagi mdoel ini ialah unit 1.5 liter NA empat-silinder dengan 111 hp/138 Nm, dengan kotak gear CVT atau manual lima-kelajuan.

Rekaan luaran Tiggo 4 Pro pula tidaklah seperti jelmaan dalam skala yang lebih kecil bagi model Tiggo 7 Pro, tetapi bahagian dalamannya agak sama: dengan tataletak melintang yang mirip serta suis kawalan di bawah corong pendingin. Rekaannya nampak kemas dan bergaya, dengan kontras perincian merah di papan pemuka, panel pintu dan kerusi — menyuntik elemen sporty dan muda-mudi.

Konsol tengahnya berbeza daripada Tiggo 7; ia lebih konvensional — tiada skrin besar untuk kawalan pendingin di sini, ia diganti oleh panel sentuh. Tombol gear dan ruang rata yang lebih ringkas. Kawalan pendingin dua zon dan ada suis untuk brek parkir elektronik dengan ciri Auto Hold.

Selebihnya, Tiggo 4 Pro juga datang dengan panel meter digital LCD (7.0-inci), skrin sentuh infotainmen 10.25-inci dengan Android Auto dan Apple CarPlay, peninjau sekeliling 360-darjah, corong pendingin belakang, kerusi balutan kulit dan larasan elektrik (untuk pemandu), dan tak lupa, sunroof. Dari segi keselamatan, ada enam beg udara dengan ADAS dan peninjau tekanan tayar.