Selain model Chery Omoda 5, ada beberapa lagi model lain yang dipertontonkan oleh jenama itu sebagai menandakan kembalinya mereka ke pasaran Malaysia secara rasmi. Antaranya barisan model SUV Tiggo: ada tiga model berlainan yang ditunjuk, tetapi untuk artikel ini kita akan memberi tumpuan kepada Tiggo 7 Pro.

Merupakan SUV dalam segmen C, Tiggo 7 dibangun menggunakan platform Chery T1X dan mempunyai ukuran dimensi 4,500 mm panjang dan jarak antara roda 2,670 mm. Ini saiz yang hampir sama dengan SUV Geely Boyue (Proton X70), yang mempunyai 4,519 mm panjang dan jarak antara roda yang sama, 2,670 mm. Tiggo 7 — dengan lima tempat duduk — menyediakan ruang but seluas 475 liter, atau hingga 1,500 liter dengan kerusi belakang dilipat.

Reka bentuk Tiggo 7 cukup segak: ia langsung lari jauh daripada Tiggo lama yang pernah dijual di Malaysia lama dahulu. Wajah depan misalnya nampak sangat kekinian, dengan gril hexagon dan corak jaringan rinci mutiara, lampu LED nipis dan DRL bentuk T dan perumah lampu kabus.

Dari sisi, tiang D hitam mengingatkan kita terhadap SUV X70, dengan garis bahu yang nampak lebih menonjol. Di belakang, Tiggo 7 Pro menerima jalur LED melintang penuh dengan tulisan Chery di atas. Bahagian ini juga nampak kosong tetapi elegan, seperti yang pernah dilihat pada Volvo XC40.

Unit pamer ini menggunakan rim 18-inci dua-tona, lengkap dengan tayar 225/60. Sebagai kontras kepada warna badan, angkup brek depan dan belakang dihadirkan dalam warna merah, serta lencana T merah di sayap depan.

Papan pemuka Tiggo 7 Pro menerapkan rekaan hampir sama dengan model lain dalam barisannya, menampilkan rekaan utama yang tirus dan melintang dengan konsol tengah yang tinggi. Bahagian ini juga nampak kemas dengan sentuhan rekaan kontemporari yang cantik. Corong pendingin pula tidak ketara tersambung, tetapi ada kemasan kulit dengan jahitan untuk memberikan kesan premium.

Seperti juga Tiggo 8 Pro, terdapat tiga skrin, termasuk panel instrumen digital dan untuk infotainmen dengan Apple CarPlay, Android Auto dan peninjau sekeliling 360-darjah. Di bawahnya pula ada skrin monokrom untuk kawalan pendingin dua-zon (dengan penapis N95) dengan butang sentuhan. Untuk Tiggo 8 Pro, panel skrin pendingin ini berwarna.

Lebih menarik, terdapat kawalan fizikal untuk kelajuan kipas dan suhu di kedua-dua sisi tuil gear. Untuk ciri kawalan fungsi yang kerap digunakan seperti ini, ia memang tidak sepatutnya tersorok dalam fungsi kendalian skrin sentuh.

Kerusinya, dengan larasan enam-arah untuk pemandu — dibalut oleh kulit hitam dengan jahitan kontras. Kawalan suara, pengecas tanpa wayar dan pilihan lampu suasana juga tersedia. Juga berada dalam senarai kelengkapannya ialah bumbung sunroof panoramik kaca, pintu ruang kargo kuasa elektrik dan set ADAS lengkap dengan enam beg udara.

Unit yang dilihat ini dikuasakan oleh enjin 1.5 liter empat-silinder turbo, yang menjana sebanyak 147 PS pada 5,500 rpm dan 210 Nm tork antara 1,750 dan 4,500 rpm. Kuasa dihantar ke roda depan melalui CVT dengan sembilan nisbah maya. Sama juga seperti Omoda 5, unit enjin 1.6L turbo dengan transmisi 7DCT juga boleh dipilih, serta ciri AWD juga. Apa pun, senarai kelengkapan ini belum tentu ditawarkan untuk pasaran Malaysia bila ia dilancarkan nanti — perancangan masih dibuat untuk ini.

Apa pandangan anda tentang Chery Tiggo 7 Pro ini? Nampak molek luar dan dalam? Dari segi kelengkapan dengan reka bentuk, nampak menarik dan moden, tetapi berapa pula harga jualannya nanti? Ini kelak akan menjadi model pesaing terbaru bagi Honda CR-V dan Mazda CX-5. Jadi, harganya perlu lebih rendah daripada dua model tersebut. Dan, jangan dilupa ada Proton X70 juga.