Kemunculan semula model sports kelas pertengahan Triumph Daytona memang ditunggu ramai dan sejak memasuki generasi 765, ia hanya keluar sebagai versi terhad, pada tahun 2019 dan 2022 (765 unit setiap keluaran) dipanggil sebagai Daytona Moto2 765 Limited Edition.
Sekarang akhirnya Daytona betul-betul kembali tetapi Triumph mengambil asas daripada model 660 (Trident/Tiger Sport) dan bukannya 765. Namun ini tidak bermakna Daytona 660 kurang berprestasi kerana Triumph bukan setakat menukar panel badannya, malah membuat beberapa peningkatan penting untuk menyesuaikannya dengan karekter motosikal sports.
Paling utama adalah di bahagian enjin, di mana unit tiga silinder DOHC 660 cc tersebut dipertingkat untuk menghasilkan 95 PS pada 11,250 rpm dan tork 69 Nm pada 3,125 rpm. Ini bersamaan kuasa 17% dan tork 9% lebih tinggi berbanding Trident 660. Ekzos juga ditukar untuk menghasilkan bunyi lebih sporty.
Enjin ini dipadankan bersama kotak gear enam kelajuan dengan klac jenis Torque Assist yang dikatakan dapat memberikan kendalian tuil yang lebih progresif dan ringan, sambil membantu kawalan roda belakang sewaktu mengurangkan kelajuan dengan agresif, manakala quickshifter (naik dan turun) ditawarkan sebagai pilihan tambahan.
Jika pada Trident cuma ada dua mod tunggangan (Rain dan Road), Daytona 660 mendapat tambahan satu lagi mod iaitu Sport yang memberikan maklum balas pendikit lebih “reaktif” untuk tunggangan lebih agresif termasuk dalam litar. Sistem kawalan cengkaman boleh ditutup melalui pilihan dalam menu instrumen.
Dengan kuasa yang sudah lebih tinggi, Triumph juga memberikan naik taraf kepada bahagian brek, dengan di bahagian roda hadapan Daytona 660 terdapat angkup empat piston untuk dua cakera 310 mm yang digunakan (pada Trident cuma dua piston). Brek belakang masih menggunakan padanan cakera tunggal 220 mm dan angkup satu piston, sementara ABS pula diberikan secara standard (dual-channel).
Tiada perubahan dibuat pada bahagian suspensi, dengan Daytona 660 masih menggunakan fork hadapan USD Showa SFF-BP 41 mm tanpa pelarasan, dengan jarak gerak 110 mm manakala di belakang terdapat monoshock Showa RSU dengan pelarasan pra beban dan jarak gerak 130 mm. Menyambungkannya kepada jalan adalah rim aluminium 17 inci yang dibalut tayar 120/70 di hadapan dan 180/55 di belakang.
Selain penggunaan panel badan dengan fairing penuh, Triumph juga membuat perubahan pada bahagian ergonomik dengan menggunakan pemegang jenis clip-on, kedudukan peletak kaki yang memberikan keseimbangan antara keselesaan dan kedudukan condong apabila mengambil selekoh, serta tempat duduk jenis berasingan yang berukuran 810 mm dari tanah.
Meter TFT pada Daytona 660 lebih menyerupai unit yang digunakan pada Street Triple 765, dan ia juga boleh disambungkan kepada My Triumph Connectivity System untuk memberikan fungsi navigasi dan kawalan muzik, melalui aksesori yang dijual berasingan. Tangki bahan api berkapasiti 14 liter manakala berat keseluruhan Daytona 660 adalah 201 kg (dengan minyak).
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.