Desas-desus model Triumph 765 yang menggunakan fairing penuh akhirnya terjawab apabila pengeluar itu mendedahkan secara rasmi Triumph Daytona Moto2 765 Limited Edition. Ini adalah sebuah model keluaran terhad 765 unit untuk seluruh dunia, dan merupakan model yang paling dekat dengan jentera perlumbaan Moto2, tetapi boleh digunakan untuk jalan biasa.

Ia diserapkan dengan pelbagai kelebihan yang diperoleh oleh Triumph sebagai pembekal enjin untuk siri perlumbaan Moto2, dan enjin tiga silinder 765 cc yang digunakan mempunyai lebih kuasa berbanding Street Triple 765, iaitu 128 hp pada 12,250 rpm dan 80 Nm tork pada 9,750 rpm. Kotak gear menggunakan unit enam kelajuan, siap dengan quickshifter untuk naik dan turun gear.

Antara bahagian yang membantu peningkatan kuasa ini adalah termasuk injap titanium, piston yang diperkuat, pin gudgeon yang disalut dengan DLC mengikut spesifikasi MotoGP, profail cam baru, trumpet untuk bahagian intake, con rod, crank dan barrel yang diubah suai, serta nisbah mampatan yang lebih tinggi – dari 12.6:1 menjadi 12.9:1.

Sebagai sebuah model yang mendapat inspirasi daripada jentera lumba, Daytona 765 keluaran terhad ini cuma mempunyai tempat duduk untuk satu orang, dan menggunakan banyak panel badan yang dibuat daripada gentian karbon termasuk keseluruhan fairing, panel belakang, penghadang lumpur depan dan belakang serta pelindung rantai.

Pada bahagian kokpit, model ini menggunakan panel instrumen TFT warna penuh yang sama seperti Street Triple 765, dan di bahagian atas top yoke terdapat catatan nombor keluaran. Kelengkapan lain pada model ini adalah termasuk brek Brembo Stylema di hadapan, suspensi Ohlins boleh laras sepenuhnya depan dan belakang, lima mod tunggangan serta pencatat masa pusingan.