GWM Malaysia siar teaser Ora 07 – pencabar Tesla Model 3 dan BYD Seal bakal dilancar tak lama lagi

GWM Malaysia siar <em>teaser</em> Ora 07 – pencabar Tesla Model 3 dan BYD Seal bakal dilancar tak lama lagi

GWM Malaysia baru sahaja menyiarkan teaser bagi EV fastback yang bakal dilancarkan pada pasaran tempatan tidak lama lagi iaitu Ora 07. Ini merupakan model kedua sub-jenama Ora dari Great Wall Motors yang bakal dijual di sini selepas Ora Good Cat yang telah pun dilancarkan pada penghujung 2022.

Di China, model ini dikenali sebagai Lightning Cat dan ia telahpun dilancarkan di Thailand pada awal bulan ini dengan nama Ora 07. Sebelum itu model ini telah pun dipertontonkan di Thailand pada Disember 2022, ketika itu dikenali sebagai Ora Grand Cat.

Secara asasnya Ora 07 merupakan sedan empat-pintu dengan bahagian belakang yang direka landai membolehkan ia digelar sebagai fastback, dan seolah-olah sebuah Ora Good Cat yang ‘dipanjangkan’. Dengan rupa Good Cat itu sendiri ada inspirasi dari Volkswagen Beetle, Ora 07 ini kelihatan seperti Porsche Panamera dalam versi lebih mampu milik.

Dengan dimensi panjang 4,871 mm, lebar 1,862 mm dan 1,500 mm tinggi, 07 sudah tentu akan berhadapan terus dengan sedan EV lain terutamanya Tesla Model 3 serta lawan senegara, BYD Seal yang juga akan dilancarkan di sini sedikit masa lagi.

Di Thailand Ora 07 ini ditawarkan dalam dua varian iaitu model asas Long Range dijual pada harga 1.299 juta baht (RM174,648), dan varian lebih berkuasa dikenali sebagai Performance yang dijual pada harga 1.499 juta baht (RM201,655).

Model Long Range menerima hanya satu motor elektrik berkuasa 204 PS (201 hp atau 150 kW) dan tork maksima 340 Nm yang diletak pada gandar hadapan bagi memacu kedua-dua roda hadapan, membolehkan ia mencapai kelajuan maksima 170 km/j. Manakala untuk model Performance pula, ia dibekalkan dengan dua motor elektrik yang masing-masing diletak pada gandar hadapan dan belakang bagi memberikan pacuan semua roda.

Ini membolehkan Ora 07 Performance tersebut dibekalkan dengan kuasa keseluruhan 408 PS (402 hp atau 300 kW) dan tork maksima 680 Nm. Dengan kuasa lebih besar dan lebih cengkaman dari pacuan semua roda, Ora 07 ini mampu untuk memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 4.3 saat sebelum mencapai kelajuan maksima 180 km/j.

Walau bagaimanapun, kedua-dua varian tersebut dibekalkan dengan bateri ternary lithium 83.5 kWj yang sama. Jadi model Long Range dengan hanya satu motor elektrik boleh bergerak sejauh 640 km (kitaran NEDC) dengan satu cas penuh, sementara model Performance dengan kuasa lebih besar hanya boleh dipandu sejauh 550 km dengan kapasiti bateri yang sama.

Menerusi pengecas pantas DC, cas bateri Ora 07 ini boleh dipenuhkan dari 30% hingga 80% dalam masa 30 minit. Ia turut menyokong fungsi Vehicle-to-Load (V2L) untuk membolehkan ia bertindak sebagai ‘powerbank gergasi’ bagi membekalkan kuasa kepada pelbagai peralatan elektrik.

Tiada lagi sebarang petunjuk harga diumumkan oleh GWM Malaysia berkenaan model ini. Berdasarkan harga Good Cat di Malaysia sekitar 30% lebih mahal dari Thailand, mungkin 07 ini dijual pada harga bermula RM200k di sini?

GALERI: Ora 07 pasaran Thailand

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required