Ora Good Cat EV dilancarkan di M’sia — jarak 400 km RM140k, jarak 500 km RM170k; jaminan bateri 8-tahun

Ora Good Cat EV dilancarkan di M’sia — jarak 400 km RM140k, jarak 500 km RM170k; jaminan bateri 8-tahun

Akhirnya, selepas beberapa kali perincian dan berita mengenainya berlegar sebelum ini, Great Wall Motors (GWM) Ora Good Cat kini dilancarkan secara rasmi untuk pasaran tempatan di sini. Tempahan bagi kereta ini juga sudah mula dibuka pada pertengahan November lalu dan mencatatkan 100 unit tempahan bagi tempoh hujung minggu pertama ketika itu.

Ketika perlancaran yang berlangsung hari ini, dua varian yang diperkenalkan iaitu 400 Pro dan 500 Ultra, yang masing-masing dijual pada harga RM139,800 dan RM169,800. Ora Good Cat mempunyai ukuran dimensi 4,235 mm panjang, 1,596 mm tinggi dan 1,825 mm lebar.

Selain harga, kedua-dua varian berkenaan dibezakan oleh kapasiti bateri yang digunakan, dan dengan itu jarak perjalanannya juga berbeza. 400 Pro dilengkapi oleh bateri 47.8 kWh lithium iron phosphate (LFP) yang mampu memberikan jarak perjalanan 400 km, manakala varian 500 Ultra pula menggunakan bateri dengan kapasiti 63.1 kWh dengan jarak perjalanan 500 km.

Jarak yang dinyatakan ini adalah mengikut kitaran ujian NEDC. Ujian WLTP yang lebih dekat dengan penggunaan dunia nyata akan memberikan bacaan kurang 20% daripada itu. Di Eropah, model dikenali sebagai Funky Cat yang menggunakan bateri dengan kapasiti yang sama memberikan 310 km jarak WLTP bagi pek bateri 47.8 kWh yang sama.

Janaan kuasa yang dihasilkan antara keduanya pula adalah sama, iaitu 105 kW (143 PS) dan 210 Nm. Waktu pengecasan penuh bagaimanapun berbeza. Jika dengan pengecas biasa (AC, sehingga 6.6 kW), 400 Pro memerlukan masa hingga lapan jam untuk baterinya penuh, manakala 500 Ultra memerlukan 10 jam. Namun, dengan pengcesan pantas DC (sehingga 60 kW), tahap 0-80% bagi 400 Pro boleh dicapai dalam masa 46 minit (32 minit jika dari 30-80%), sementara bagi 500 Ultra pula ialah 60 minit dari 0-80% (40 minit jika dari 30-80%).

Antara kelengkapan yang ada pada model ini ialah lampu utama LED pintar, lampu belakang LED dengan lampu kabus belakang, larasan lampu tinggi automatik, cermin sisi automatik pengilap cermin automatik dan bumbung panoramik. Rim bersaiz 18-inci dengan tayar 215/50.

Di dalam, selain menampilkan kemasan dua-tona warna, kedua-duanya dilengkapi dengan paparan kluster intrumen digital tujuh-inci dan skrin sentuh infotainmen 10.25-inci serta penukar gear elektronik. Pembesar suara bagi 400 Pro ada empat, manakala bagi varian paling tinggi ada enam kesemuanya. Ciri Apple CarPlay dan juga Android Auto juga tidak ketinggalan. Sistem pendingin dan pengudaraan dalam kabin juga dilengkapi dengan penapis udara PM 2.5. Kerusi pemandu juga ada ciri urutan, serta sistem memori.

Ora Good Cat juga lengkap dengan sistem keselamatan aktif yang canggih. Antara yang perlu disebutkan adalah bantuan tiga mod untuk parkir, Wisdom Dodge System yang membolehkan pemandu mengekalkan jarak selamat daripada kenderaan besar, Cornering Brake Control, AEB dengan bantuan di persimbangan dan ketika mengikut perlahan, kawalan melayar adaptif dengan Intelligent Turning dan Traffic Jam Assist. Ia dilengkapi dengan 12 radar sonic dan enam kamera untuk tujuan ini.

Ada dua kelompok pilihan warna yang ditawarkan, iaitu warna tunggal dan dua-tona. Warna tunggal didatangkan dalam Coral Blue, Hamilton White dan Sun Black. Bagi dua-tona pula datang dalam Verdant Green dengan bumbung putih, Hazel Wood Beige dengan bumbung hitam, Mars Red dengan bumbung hitam dan Hamilton White dengan bumbung hitam.

Pelanggan juga akan sediakan dengan pengecas mudah alih dan di rumah secara percuma. Kereta EV ini diberikan jaminan lima-tahun atau 150,000 km, manakala jaminan bateri pula adalah untuk lapan-tahun atau 180,000km, serta dengan upah buruh percuma selama lima kali. Ikuti juga pengalaman kami memandu uji kereta elektrik ini untuk mengetahui dengan lebih lanjut apa yang ditawarkan.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 
 

Add a comment

required

required