Honda Civic facelift 2025 – foto awalan disiar di Amerika Syarikat, seiras Civic RS Prototype di Jepun

Honda Civic <em>facelift</em> 2025 – foto awalan disiar di Amerika Syarikat, seiras Civic RS Prototype di Jepun

2025 Honda Civic Hybrid

Honda telah pun mendedahkan rupa sebenar versi facelift untuk Honda Civic generasi ke-11 yang bakal dilancarkan di Amerika Syarikat pada musim panas tahun ini. Imej berkenaan disiarkan menerusi pengumuman perancangan perniagaan 2024 jenama itu di pasaran negara tersebut.

Foto awalan ini mendedahkan bahagian hadapan Civic yang disegarkan tersebut menampilkan rupa hampir sepenuhnya sama dengan muka Civic RS Prototype pasaran Jepun yang muncul di Tokyo Auto Salon 2024 minggu lalu.

Gril hadapan model facelift ini diberikan elemen sarang lebah bersama kerangka yang dibina berbeza dengan bahagian muncung lebih tajam dan bawahnya nampak lebih lebar. Elemen sarang lebah yang sama turut dibawa ke gril bampar di bawah yang direka dengan bentuk heksagon, berbanding gril dengan elemen bar melintang dan bentuk trapezium pada model sedia ada.

Berbanding Civic RS Prototype yang dihasilkan dari badan hatchback, model facelift 2025 yang didedahkan di AS ini masih tampil dalam badan sedan. Secara asasnya bahagian belakang masih nampak sama seperti model sedia ada, tetapi diberikan perubahan pada bahagian grafik lampu.

Honda turut mengumumkan pasaran Amerika Syarikat akan menerima Civic dengan unit rangkaian kuasa hibrid menerusi versi facelift 2025 ini. Buat masa sekarang Civic hanya ditawarkan dalam versi petrol sepenuhnya di sana, dengan pilihan sama ada 1.5 liter turbo dan 2.0 liter NA.

Honda Civic <em>facelift</em> 2025 – foto awalan disiar di Amerika Syarikat, seiras Civic RS Prototype di Jepun

2025 Honda Civic Hybrid

Model hibrid tersebut dijangka akan menerima unit rangkaian kuasa hibrid dua motor elektrik intelligent-Multi Mode Drive (i-MMD) yang sama seperti Civic Hybrid e:HEV pasaran lain termasuk Malaysia. Unit tersebut menggandingkan enjin 2.0 liter empat silinder kitaran Atkinson dengan sistem suntikan bahan api terus berkuasa 143 PS (139 hp) dan tork maksima 189 Nm, bersama dua buah motor elektrik.

Enjin berkenaan dalam kebanyakkan masa hanya berfungsi sebagai generator untuk mengecas bateri. Sebuah motor bersaiz kecil dipadankan terus pada aci engkol berfungsi untuk menghidupkan enjin, manakala motor utama yang memacu roda hadapan pula dibekalkan kuasa 184 PS (181 hp atau 135 kW) dan tork maksima 315 Nm. Ada masa-masa tertentu motor elektrik berkenaan turut bergabung tenaga dengan enjin petrol, dan sebab itulah ia masih diberikan transmisi E-CVT.

Honda Amerika Syarikat menyatakan ia mensasarkan 40% dari jumlah keseluruhan Civic kelak adalah terdiri dari varian hibrid ini selepas ia dilancarkan nanti. Dalam kenyataan yang sama ia turut mengumumkan Civic turut bakal ditawarkan dalam versi hatchback di sana selepas ini, berbanding hanya versi sedan buat masa sekarang.

Sekiranya Civic facelift ini dilancarkan di Amerika Syarikat sekitar suku ketiga tahun ini, ia mungkin akan tiba ke pasaran ASEAN termasuk Malaysia bermula tahun hadapan. Dari segi rupa yang mana anda rasa lebih cantik? Model sedia ada atau facelift ini? Kongsikan pendapat anda pada ruang komen di bawah atau di laman-laman sosial kami.

GALERI: Honda Civic RS Prototype yang didedahkan di Tokyo Auto Salon 2024

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required