Model edisi terhad Toyota GR Yaris Kalle Rovanperä Edition telah pun didedahkan secara rasmi ketika pembukaan pusingan pertama Kejohanan Rali Dunia (WRC) tahun ini iaitu Rally Monte Carlo 2024 yang berlangsung semalam. Seperti namanya, ini merupakan model istimewa yang dihasilkan menggunakan nama pemandu WRC pasukan Toyota Gazoo Racing dari Finland, Kalle Rovanperä yang merupakan juara dunia dua kali berturut-turut iaitu untuk musim 2022 dan 2023.
Versi produksi sebenar ini diasaskan dari GR Yaris facelift 2024 dalam varian RZ High Performance pasaran Jepun yang didedahkan di Tokyo Auto Salon pada awal bulan ini, berbeza dari model konsepnya yang didedahkan setahun sebelum itu yang masih menggunakan GR Yaris pre-facelift. Ia tidak diberikan sebarang peningkatan kuasa, namun tampil dengan kit aero dan penggayaan luaran serta dalaman yang lebih unik, serta mod sistem pacuan GR Four yang dihasilkan khas hanya untuk versi edisi terhad ini.
Jadi ia masih dijana oleh enjin G16E-GTS 1.6 liter tiga silinder turbo yang menghasilkan 304 PS dan tork maksima 400 Nm. Toyota tidak menyatakan adakah model ini menerima kotak gear automatik 8AT GR DAT atau tidak, dan dalam gambar yang disiarkan ia hanya menampilkan tombol kotak gear manual enam-kelajuan.
Model istimewa ini menerima LSD jenis constant-velocity pada gandar belakang, manakala sistem pacuan semua roda GR Four pula diberikan dua mod istimewa iaitu mod ‘Donut’ dan mod ‘Kalle’ bagi menggantikan mod Gravel dan Track pada versi biasa.
Bagi mod ‘Donut’, ia dihasilkan bagi memudahkan pemandu membuat aksi donut dan drift dengan membuat larasan semula pada gandar hadapan dan belakang. Menurut Toyota dalam kenyataan yang dikeluarkan, mod ini dihasilkan sempena peristiwa di mana Rovanperä yang sememangnya bagus dalam aksi donut, pernah memberikan donut sebenar kepada pengerusi Toyota yang juga “Toyota Master Driver”, Akio Toyota (juga dikenali dengan nama alter ego pelumbanya, Morizo).
Satu lagi mod GR Four yang diberikan digelar sebagai mod Kalle. Menurut Toyota, mod ini akan memaksimakan LSD constant velocity yang dipasangkan pada gandar belakang, membolehkan bahagian ekor kereta ini melibas secara agresif apabila masuk ke selekoh dan memberikan cengkaman yang lebih pada roda hadapan ketika memecut keluar dari selekoh, bagi menghasilkan catatan masa ketika berlumba yang lebih pantas.
Pada sebelah luar GR Yaris Kalle Rovanperä Edition ini menerima spoiler belakang istimewa yang diperbuat dari bahan plastik diperkuat gentian karbon (CFRP), seiras dengan spoiler model edisi terhad Yaris GRMN. Spoiler berkenaan bukan sahaja lebih besar dari versi standard, malah sudut sayapnya turut boleh dilaras menerusi pemegang ‘leher angsa’ yang dipasang pada sebelah atas.
Model yang dihasilkan dengan nama juara WRC paling muda dalam sejarah ini juga menerima rim aloi 18-inci dari BBS yang diberikan logo Toyota Gazoo Racing, grafik badan khas tiga tona (putih-merah-hitam) bersama nombor perlumbaan ’69’ Rovanperä, pelekat memperingati kemenangan Rovanperä dalam WRC pada kedua-dua fender hadapan, pelekat Toyota Gazoo Racing pada kedua-dua pintu, serta emblem khas Rovanperä Edition pada pintu hatch belakang.
Pada bahagian kabin pula, dapat dilihat pilihan mod GR Four diberikan posisi mod ‘Donut’ dan ‘Kalle’ turut terpapar pada skrin instrumen digital GR Yaris ini. Ia juga menerima jahitan benang biru dan kelabu (sempena warna bendera Finland) pada roda stereng, sarung kulit tuil gear dan tuil brek tangan, serta pada tempat duduk. Sementara lencana khas memperingati kejayaan Kalle Rovanperä dalam WRC dilekat pada papan pemuka sebelah penumpang.
Serentak dengan pelancaran edisi Kalle Rovanperä ini, Toyota turut melancarkan sekali edisi khas GR Yaris untuk seorang lagi juara WRC pasukannya iaitu pelumba lagenda Perancis, Sébastien Ogier. Menurut Toyota kedua-dua model ini dibangunkan atas keinginan Akio Toyoda bagi “melahirkan rasa hormat dan syukur terhadap pemandu-pemandu yang ‘membelasah’ dan membangunkan kereta-kereta Toyota dalam rali, kepada semua ahli pasukan yang membuka peluang seperti ini, dan kepada penganjur rali serta semua yang terlibat, dan juga untuk semua peminat.”
Toyota GR Yaris edisi terhad Kalle Rovanperä dan Sébastien Ogier ini hanya dihasilkan 100 unit untuk setiap satu model, pembangunannya diselia sendiri oleh kedua-dua juara dunia berkenaan dan ia hanya dijual untuk pasaran Jepun. Bagi memastikan semua orang mempunyai peluang sama bagi membeli kereta ini, Toyota akan membuat sesi cabutan loteri bagi memilih 200 pembeli yang mahu mendapatkan kereta tersebut.
Sebelum cabutan loteri itu dibuat, kedua-dua model berkenaan akan dipamerkan terlebih dahulu di JR Gate Tower, stesen tren Nagoya bermula 15 hingga 18 Februari ini. Toyota turut menawarkan pelbagai keistimewaan kepada pemilik yang berjaya membeli kedua-dua model ini, antaranya nama-nama mereka akan dipaparkan pada kereta WRC Rally1 Toyota pada pusingan-pusingan tertentu WRC.
Manakala ketika berlangsungnya pusingan ke-13 WRC musim ini iaitu Rally Japan 2024, pemilik-pemilik tersebut akan diraikan dengan diberikan pelaung untuk berinteraksi dengan pelumba-pelumba WRC Toyota serta ahli pasukan yang lain, di bawa untuk melihat kereta WRC dan pit pasukan tersebut, menyaksikan perlumbaan WRC di SS serta bakal diberikan pelbagai cenderamata WRC isitimewa.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.