Selain dari GR Yaris Kalle Rovanperä Edition, Toyota turut mendedahkan satu lagi model edisi terhad hot-hatch berkenaan menggunakan nama juara Kejohanan Rali Dunia (WRC) yang memandu untuk pasukannya di Rally Monte Carlo 2024 semalam – ini dia, Toyota GR Yaris Sébastien Ogier Edition!
Berbeza dari model konsepnya yang didedahkan pada Tokyo Auto Salon 2023 yang masih menggunakan versi pre-facelift, versi produksi sebenar Toyota GR Yaris Sébastien Ogier Edition ini diasaskan dari GR Yaris facelift yang baru sahaja muncul pada awal tahun ini, dalam varian RZ High Performance.
Model edisi terhad sempena juara WRC Toyota untuk tahun 2021 ini tidak diberikan sebarang peningkatan kuasa, namun tampil dengan kit aero dan penggayaan luaran serta dalaman yang lebih unik, serta mod sistem pacuan GR Four yang dihasilkan khas hanya untuk versi edisi terhad ini.
Jadi ia masih dijana oleh enjin G16E-GTS 1.6 liter tiga silinder turbo yang menghasilkan 304 PS dan tork maksima 400 Nm. Toyota tidak menyatakan adakah model ini menerima kotak gear automatik 8AT GR DAT atau tidak, dan dalam gambar yang disiarkan ia hanya menampilkan tombol kotak gear manual enam-kelajuan.
Bagi sistem sistem pacuan semua roda GR Four, model edisi terhad Sébastien Ogier Edition ini diberikan dua mod istimewa iaitu mod ‘Morizo’ dan mod ‘Seb’ bagi menggantikan mod Gravel dan Track pada versi biasa. Untuk mod Morizo, ia dihasilkan bagi mendapatkan tahap cengkaman dan prestasi membelok yang tinggi dengan membuat larasan semula pada gandar hadapan dan belakang.
Menurut Toyota dalam kenyataan yang dikeluarkan, mod ini dinamakan sempena nama pengerusi Toyota yang juga “Toyota Master Driver”, Akio Toyota (juga dikenali dengan nama alter ego pelumbanya, Morizo), di mana Sebastien Ogier gemarkan agihan tork yang dihasilkan menerusi ujian berterusan yang dibuat sendiri oleh Morizo ini.
Manakala untuk mod Seb, ia akan memberikan prestasi membelok untuk kedua-dua roda hadapan, dan membolehkan kereta ini dikawal menerusi tork yang diagihkan lebih kepada pada gandar belakang. “Ini bukan sahaja akan memberikan rasa ‘bersatu dengan kereta’, tetapi dengan membolehkan kereta dikawal pada kelajuan tinggi, ia turut akan menyumbang kepada catatan masa perlumbaan yang lebih pantas”, kata Toyota dalam kenyataan yang dikeluarkan.
Pada sebelah luar GR Yaris Sébastien Ogier Edition ini menerima spoiler belakang istimewa yang diperbuat dari bahan plastik diperkuat gentian karbon (CFRP), seiras dengan spoiler model edisi terhad Yaris GRMN. Ia tidak diberikan grafik badan menyeluruh seperti edisi Kalle Rovanperä, sebaliknya kelihatan lebih matang dengan warna badan Matte Stealth Gray, serta diberikan angkup brek hadapan dalam kemasan biru.
Selain itu ia juga diberikan dekorasi bendera negara asal Sebastien Ogier iaitu Perancis pada gril hadapan, rim aloi 18-inci dari BBS yang diberikan logo Toyota Gazoo Racing serta bendera Perancis, pelekat memperingati kemenangan Ogier dalam WRC pada kedua-dua fender hadapan, pelekat Toyota Gazoo Racing pada kedua-dua pintu, serta emblem khas Sebastien Ogier Edition pada pintu hatch belakang.
Pada bahagian kabin pula, dapat dilihat pilihan mod GR Four diberikan posisi mod ‘Morizo’ dan ‘Seb’ turut terpapar pada skrin instrumen digital GR Yaris ini. Ia juga menerima jahitan benang biru, kelabu, dan merah (juga sempena warna bendera Perancis) pada roda stereng, sarung kulit tuil gear dan tuil brek tangan, serta pada tempat duduk. Sementara lencana khas memperingati kejayaan Sebastien Ogier dalam WRC dilekat pada papan pemuka sebelah penumpang.
Menurut Toyota kedua-dua model Sebastien Ogier dan Kalle Rovanperä ini dibangunkan atas keinginan Akio Toyoda bagi “melahirkan rasa hormat dan syukur terhadap pemandu-pemandu yang ‘membelasah’ dan membangunkan kereta-kereta Toyota dalam rali, kepada semua ahli pasukan yang membuka peluang seperti ini, dan kepada penganjur rali serta semua yang terlibat, dan juga untuk semua peminat.”
Toyota GR Yaris edisi terhad Sébastien Ogier dan Kalle Rovanperä ini hanya dihasilkan 100 unit untuk setiap satu model, pembangunannya diselia sendiri oleh kedua-dua juara dunia berkenaan dan ia hanya dijual untuk pasaran Jepun. Bagi memastikan semua orang mempunyai peluang sama bagi membeli kereta ini, Toyota akan membuat sesi cabutan loteri bagi memilih 200 pembeli yang mahu mendapatkan kereta tersebut.
Sebelum cabutan loteri itu dibuat, kedua-dua model berkenaan akan dipamerkan terlebih dahulu di JR Gate Tower, stesen tren Nagoya bermula 15 hingga 18 Februari ini. Toyota turut menawarkan pelbagai keistimewaan kepada pemilik yang berjaya membeli kedua-dua model ini, antaranya nama-nama mereka akan dipaparkan pada kereta WRC Rally1 Toyota pada pusingan-pusingan tertentu WRC.
Manakala ketika berlangsungnya pusingan ke-13 WRC musim ini iaitu Rally Japan 2024, pemilik-pemilik tersebut akan diraikan dengan diberikan pelaung untuk berinteraksi dengan pelumba-pelumba WRC Toyota serta ahli pasukan yang lain, di bawa untuk melihat kereta WRC dan pit pasukan tersebut, menyaksikan perlumbaan WRC di SS serta bakal diberikan pelbagai cenderamata WRC isitimewa.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.