Porsche Taycan Turbo GT 2024 – 1,108 PS, 1,340 Nm, EV produksi terpantas di Nurburgring, Laguna Seca

Porsche Taycan Turbo GT 2024 – 1,108 PS, 1,340 Nm, EV produksi terpantas di Nurburgring, Laguna Seca

Sejak muncul dalam pasaran, Tesla Model S Plaid telah meragut banyak gelaran “kereta elektrik produksi terpantas.” Tidak mahu mengalah, sekarang Porsche pula memperkenalkan Taycan Turbo GT. Model ini menggunakan asas daripada Taycan facelift, dan prestasinya ditingkatkan lebih lagi daripada varian Turbo dan Turbo S.

Sama seperti Cayenne Turbo GT, penggunaan nama “Turbo” dan “GT” itu menunjukkan Taycan Turbo GT ini menggabungkan prestasi padu Turbo dengan konsep serba ringan GT. Dengan itu, Porsche telah memeras lebih lagi kuasa daripada dua motor yang digunakan dan masih rasa tidak perlu untuk menggunakan tetapan tiga motor seperti Plaid dan Lucid Air Sapphire.

Apa yang dilakukan adalah memasukkan motor belakang yang lebih berkuasa (inverter dengan amp lebih tinggi dan silicon carbide semiconductor yang lebih cekap), mampu menghasilkan kuasa keseluruhan 789 PS (580 kW). Ini mungkin nampak rendah berbanding Taycan Turbo S yang mencatat 932 PS (685 kW) pada overboost, tetapi Turbo GT ini mempunyai semua kuasa pada setiap masa dan semasa menggunakan launch control, ia boleh naik sehingga 1,033 PS (760 kW) untuk masa dua saat.

Porsche Taycan Turbo GT 2024 – 1,108 PS, 1,340 Nm, EV produksi terpantas di Nurburgring, Laguna Seca

Secara maksimumnya, motor elektrik ini boleh menghasilkan 1,108 PS (815 kW) dan tork 1,340 Nm. Sebahagian daripadanya disimpan untuk ciri baru Attack Mode, yang dapat memberikan tambahan 163 PS (120 kW) sehingga 10 saat apabila butang khas ditekan atau pedal sebelah kanan ditarik.

Walaupun dengan prestasi yang meningkat sebegini, Turbo GT cuma lebih pantas 0.1 saat apabila melakukan pecutan 0-100 km/j, dengan catatan 2.3 saat. Peningkatannya lebih terasa pada kelajuan tinggi, dengan pecutan 0-200 km/j dapat dibuat dalam masa 6.6 saat, iaitu lebih pantas sekitar satu saat. Laju maksimum pula 30 km/j lebih tinggi berbanding Turbo S, iaitu 290 km/j.

Itu pada bahagian kuasa. Pergi pula kepada langkah meringankan kereta ini, Porsche antaranya telah menggunakan gentian karbon pada kemasan b-pillar, pelindung cermin sisi, plet tepi pintu serta tempat duduk. Kemasan pada bahagian but juga dijadikan lebih ringan manakala fungsi bukaan kuasa untuk penutup but itu telah dicabut.

Porsche Taycan Turbo GT 2024 – 1,108 PS, 1,340 Nm, EV produksi terpantas di Nurburgring, Laguna Seca

Kereta ini juga dipasang dengan rim aloi 21 inci dengan bentuk yang mengambil kira pengurangan berat dan penyejukan brek, serta brek karbon seramik yang direka semula dan menjadi dua kilogram lebih ringan. Yang sebenarnya, ia tidaklah begitu ringan lagi, kerana cuma kurang lima kilogram berbanding Turbo S, dengan catatan 2,290 kg.

Untuk menjadikannya lebih ringan, anda perlu mendapatkan Weissach Package. Dengannya, beberapa barang akan dicabut seperti tempat duduk belakang (diganti dengan penutup gentian karbon), jam Sport Chrono, penyerap bunyi serta alas kaki. Selain daripada itu, ia juga akan menggunakan kaca cermin/tingkap serba ringan serta sistem bunyi tanpa pembesar suara di belakang. Dengan semua ini, 70 kg lagi dapat dikurangkan, menjadikannya 2,220 kg.

Sudah tentu, dengan pengurangan ini, kereta yang dilengkapi Weissach Package adalah lebih pantas berbanding Taycan Turbo GT biasa. Pecutan 0-100 km/j dapat dilakukan dalam masa 2.2 saat, sementara 0-200 km/j pula dalam masa 6.4 saat. Laju maksimum menjadi 305 km/j.

Porsche Taycan Turbo GT 2024 – 1,108 PS, 1,340 Nm, EV produksi terpantas di Nurburgring, Laguna Seca

Spesifikasi inilah yang digunakan oleh pemandu pembangunan Porsche, Lars Kern untuk mencatat masa 7 minit 7.5 saat di Litar Nurburgring Januari lalu – 26 saat lebih pantas berbanding Taycan Turbo S biasa dan 17.7 saat lebih pantas berbanding Plaid. Kemudiannya pada bulan Februari dengan kereta sama, Kern memecahkan rekod kereta EV produksi paling laju di Laguna Seca dengan catatan masa 1 minit 27.87 saat.

Melihat kepada bentuknya, Taycan Turbo GT ini duduk rendah dan garang, dengan suspensi udara Porsche Active Ride. Ia juga mendapat splitter besar di hadapan serta sayap Gurney pada spoiler aktifnya. Apabila memilih Weissach Package, sayap ini diganti dengan jenis yang pegun, dan ditambah dengan pelindung angin bawah badan serta diffuser hadapan, memberikan tambahan daya tolak ke bawah sebanyak 220 kg.

Di dalam terdapat kemasan yang terdiri daripada kulit serta gentian mikro Race-Tex. Tempat duduknya mempunyai sulaman “Turbo GT” pada penyandar kepala dan di konsol tengah terdapat lencana khas untuk varian ini.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required