Porsche Cayenne Turbo GT diperkenal – 640 PS/850 Nm, 0-100 km/j 3.3 saat, kelajuan maksima 300 km/j

Porsche Cayenne Turbo GT diperkenal – 640 PS/850 Nm, 0-100 km/j 3.3 saat, kelajuan maksima 300 km/j

Selepas mencatatkan rekod SUV produksi terpantas di Nurburgring Nordschleife dengan masa 7 minit 38.925 saat sebelum ini, akhirnya varian prestasi terbaharu untuk Porsche Cayenne Coupe diperkenalkan secara rasmi. Ia tidak digelar sebagai Turbo S seperti jangkaan ramai, tetapi secara rasmi varian paling pantas untuk SUV ini dikenali sebagai Cayenne Turbo GT.

Model ini dijana oleh enjin V8 4.0 liter dengan dua pengecas turbo, menghasilkan 640 PS dan tork maksima 850 Nm. Jadi berbanding Cayenne Turbo Coupe, versi ini adalah 90 PS/80 Nm lebih berkuasa. Ia juga menghasilkan kuasa 40 PS/50 Nm lebih besar dari Audi RS Q8, tetapi masih kurang 10 PS berbanding Lamborghini Urus.

Menurut Porsche, enjin yang dipadankan pada Cayenne Turbo GT berkenaan adalah enjin lapan-silinder paling berkuasa pernah dihasilkan oleh mereka setakat ini. Ia menerima peningkatan komponen dalaman seperti aci engkol, rod penghubung dan omboh, timing chain, serta penyerap getaran torsi yang direka bagi menahan bebanan lebih tinggi bagi memperbaiki dinamik pemanduan, menurut Porsche.

Selain itu, enjin ini juga menerima tingkat taraf pada sistem lain seperti pengecas turbo, sistem suntikan bahan api terus, sistem induksi dan juga unit intercooler bagi menghasilkan kuasa yang lebih besar. Secara standard, Cayenne Turbo GT ini menerima sistem ekzos unik hanya untuknya, menampilkan susun atur yang lebih tertumpu ke tengah, dihasilkan dari titanium untuk paip dari bahagian tengah sehingga ke peredam bunyi belakang. Tiada peredam tengah pada sistem ini untuk menyisihkan berat.

Porsche Cayenne Turbo GT diperkenal – 640 PS/850 Nm, 0-100 km/j 3.3 saat, kelajuan maksima 300 km/j

Enjin ini digandingkan dengan kotak gear automatik Tiptronic S lapan-kelajuan, bersama sistem pacuan semua roda. Kotak penghantar untuk sistem AWD tersebut menerima sistem penyejukkan cecair tambahan, manakala sistem Porsche Traction Management (PTS) juga telah diubahsuai.

Berbanding Cayenne Turbo Coupe, model Turbo GT ini adalah 17 mm lebih rendah, dengan komponen-komponen casis pasif dan sistem kawalan aktif turut menerima talaan unik hanya untuknya. Menurut Porsche, suspensi udara dengan tiga-kebuk pada SUV tersebut kini 15% lebih keras, bersama karekter penyerap hentak, suspensi aktif PASM, Power Steering Plus dan stereng gandar belakang juga telah menerima talaan semula.

Perisian kawalan olengan aktif PDCC juga kini telah diprogramkan kearah “orientasi-prestasi”, dan kesemua ini memberikan kestabilan olengan serta cengkaman jalan raya serta kebolehan masuk ke selekoh kelajuan tinggi yang lebih tepat, dakwa Porsche.

Manakala sistem Porsche Torque Vectoring pada Cayenne Turbo GT ini juga telah dilaras bagi membolehkan nisbah agihan tork yang lebih tinggi, bersama gandar hadapan yang juga disentuh semula.

Porsche Cayenne Turbo GT diperkenal – 640 PS/850 Nm, 0-100 km/j 3.3 saat, kelajuan maksima 300 km/j

Cayenne Turbo GT ini menerima rim 22-inci G Design dalam kemasan Neodyme. Rim istimewa ini bukan hanya untuk kosmetik semata-mata – ia adalah satu inci lebih lebar di hadapan berbanding Cayenne Turbo Coupe. Ukuran berkenaan untuk disesuaikan dengan larasan sudut camber yang ditingkatkan kepada 0.22 darjah bagi membolehkan tayar Pirelli P Zero Corsa yang membaluti rim berkenaan memberikan sentuhan jalan yang lebih luas.

Bagi penggayaan luaran, Cayenne Turbo GT ini menerima berberapa perincian unik termasuk apron hadapan dengan spoiler bawah bampar dan liang pengambilan udara sejuk pada setiap sisi, bumbung dan penutup cermin sisi gentian karbon dan juga kemasan ruang roda berwarna hitam.

Model ini masih diberikan spoiler belakang adaptif, tetapi ia 25 mm lebih lebar dari Cayenne Turbo Coupe bagi memberikan downforce 40 kg tambahan. Ia juga menerima diffuser belakang yang turut diperbuat dari material gentian karbon.

Pada bahagian dalaman pula, Cayenne Turbo GT menerima balutan-balutan Alcantara untuk upholsteri pada bahagian seperti panel tengah untuk kesemua tempat duduk. Tempat duduk hadapan boleh dilaras lapan hala dengan bantuan elektrik, manakala di belakang pula diberikan dua tempat duduk individu, bersama elemen kontras dalam kemasan Neodyme atau Artic Grey bersama sulaman lencana Turbo GT pada perehat kepala.

Pemandu pula menerima roda stereng sports pelbagai fungsi dengan penanda pukul 12 berwarna kuning. Untuk hiburan, model ini diberikan sistem infotaimen Porsche Communication Management (PCM) 6.0 yang menyokong Android Auto dan Apple CarPlay, serta integrasi mendalam bersama Apple Music dan Apple Podcasts.

Tempahan untuk model ini telah pun dibuka dan ia dijangka akan sampai ke bilik-bilik pameran pasaran Eropah pada pertengahan September tahun ini. Untuk Amerika Syarikat, tempahannya juga sudah mula diambil dengan jangkaan unit pertama akan tiba ke pengedar di negara tersebut pada awal 2022, dan dijual pada harga bermula US$180,800 (RM751,133).

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required