Porsche Cayenne Coupe dalam varian prestasi yang bakal diperkenalkan selepas ini kini sah sebagai SUV paling pantas di litar ‘The Green Hell’ Nürburgring Nordschleife dengan mencatatkan masa satu lap 7 minit 38.925 saat. Model yang masih belum dilancarkan serta dijangka akan digelar sebagai Turbo S tersebut dipandu oleh pemandu rasmi Porsche, Lars Kern.

Rekod baharu yang dicatatkan ini telah memadamkan rekod lama 7 minit 42.253 saat yang dicatatkan oleh Audi RS Q8. Malah, SUV ini juga dilihat mencatatkan masa yang hampir sama dengan sedan BMW M5 dan juga kereta sport sebenar Porsche 911 Turbo generasi sebelum ini. Porsche juga menyatakan secara rasmi rekod baharu ini berada dalam kategori “SUV, kenderaan off-road, van dan pikap”.

“Pada berberapa meter pertama di Nordschleife dalam Cayenne ini, anda akan tergoda untuk mengambil selekoh bagi memastikan anda benar-benar berada dalam SUV yang besar. Ketepatan sterengnya yang tinggi serta gandar belakang yang sangat stabil memberikan saya keyakinan yang tinggi di seksyen Hatzenbach,” kata Kern.

“Ia dapat mengubah haluan sepantas kilat pada selekoh laju seperti antara Hohe Acht dan Eiskurve, dengan tiada goyang dan tiada kemungkinan untuk understeer. Walaupun dalam laluan teknikal ini, Cayenne merupakan kereta pemandu sebenar yang mudah untuk dikawal,” tambahnya.

Porsche masih belum mahu mendedahkan dengan lebih lanjut berkenaan varian prestasi baharu untuk Cayenne Coupe ini, dan hanya menyatakan bahawa ia diasaskan dari model Cayenne Turbo Coupe. Unit yang digunakan untuk mencatat rekod di Nürburgring ini dilengkapi dengan rollcage dan tempat duduk perlumbaan atas sebab-sebab keselamatan. Manakala rim 22-inci dengan tayar Pirelli P Zero Corsa yang dipadankan adalah kelengkapan yang sama dengan model produksi sebenar nanti.

Berdasarkan laporan-laporan sebelum ini, Cayenne Turbo S Coupe berkenaan dikatakan akan dijana oleh enjin V8 4.0 liter dengan dua pengecas turbo sedia ada berkuasa 640 PS (631 hp) dan tork maksima 850 Nm, tetapi akan ditingkat taraf. Ia digandingkan dengan kotak gear automatik lapan kelajuan dan kuasa dialirkan ke kesemua roda.