Lamborghini Urus diperkenal di M’sia – 650 PS/850 Nm

Lamborghini Urus diperkenal di M’sia – 650 PS/850 Nm

Malaysia agak bertuah kerana turut menjadi pilihan Lamborghini bagi memperkenalkan Lamborghini Urus, SUV kedua yang dihasilkan oleh pengeluar jentera prestasi ini selepas LM002. Ia telah diperkenalkan di peringkat global iaitu pada Disember lalu di ibu pejabat pengeluar kenderaan itu di Sant’Agata Bolognese. Malah pada bulan yang sama, SUV ini turut diperkenalkan di negara jiran kita iaitu Singapura. Model yang dipamerkan di Malaysia ini adalah versi pemanduan sebelah-kiri.

Menerima jolokan sebagai “Super Sport SUV pertama dunia”, nama Urus adalah diambil daripada baka lembu besar di Sepanyol yang kerap digunakan dalam pertarungan. Urus dibina di atas platform MLB buatan Volkswagen Group, yang juga digunakan untuk Audi Q7, Bentley Bentayga dan Porsche Cayenne.

SUV lima-tempat duduk ini dijanakan oleh enjin 4.0 liter V8 turbo-berkembar yang mampu menghamburkan kuasa sehingga 650 PS pada 6,000 rpm dan tujahan tork 850 Nm pada 2,250 rpm. Dengan lonjakan kuasa ini, Urus mampu mencatatkan prestasi pacuan dari 0-100 km/j dalam 3.6 saat dan kelajuan maksimum mencecah 305 km/j. Dari kelajuan 100 km/j, Urus boleh berhenti sepenuhnya dalam jarak 33.7 meter.

Lamborghini Urus diperkenal di M’sia – 650 PS/850 Nm

Enjin ini dipadankan dengan kotak gear automatik lapan-kelajuan yang menampilkan klac slip-controlled converter lock-up dan torque converter yang dibangunkan secara spesifik untuknya. Transmisi ini ditala supaya dapat memberikan nisbah gear yang sangat rendah dan gear tinggi yang lebih panjang.

Padanan enjin dan transmisi ini membuatkan kuasa disalurkan ke semua-roda, dengan Differential Torsen memberikan nisbah 40/60 secara standard untuk gandar hadapan dan belakang, dan ia boleh berubah sehingga maksimum menjadi 70% di hadapan atau 87% di belakang, bergantung kepada keperluan.

Bagi pengendalian yang lebih mantap, Urus dipadankan dengan sistem suspensi udara adaptif yang boleh meninggi dan merendahkan kenderaan mengikut keadaan. Sebagai contoh dalam mod Strada, suspensi diubah lebih kepada keselesaan manakala dalam mod Sport, ia akan menjadi lebih rendah untuk memastikan kestabilannya.

Selain itu, Urus juga dilengkapi dengan active torque vectoring pada differential belakang, yang dapat menyalurkan kuasa kepada roda tertentu untuk meningkatkan cengkaman, dan juga bergantung kepada mod pemanduan yang dipilih serta keadaan jalan.

Lamborghini Urus diperkenal di M’sia – 650 PS/850 Nm

Selain brek seramik karbon yang diberi secara standard, Urus juga didatangkan dengan rear-wheel steering, yang boleh beroperasi dalam sebarang kelajuan. Sudut kecondongan tayar boleh berubah +/- 3.0 darjah bergantung kepada kelajuan kenderaan dan mod pemanduan.

Berkenaan dimensinya, mungkin ada yang terkejut kerana ia memiliki ukuran yang besar iaitu 5,112 mm panjang, 2,016 mm lebar dan 1,638 mm tinggi, manakala jarak roda pula adalah 3,003 mm. Panel badan berbentuk tajam inspirasi Aventador masih dikekalkan sama seperti model konsep tetapi saiz rimnya dikurangkan, dengan pilihan yang diberi adalah antara 21- hingga 23-inci.

Walau bagaimana pun, daripada segi pandangan mata, Urus tidaklah nampak ‘gemuk’, hasil rekaan garis bumbungnya yang rendah, ditambah pula dengan lampu utama LED yang agak nipis. Mempertaruhkan imej luaran yang garang, sesuai dengan namanya, Urus turut dilengkapi dengan corong pengambilan udara yang besar disambung pada spoiler hadapan yang agak rendah bagi memberikan kesan aerodinamik yang lebih optimum.

Selain garisan bumbungnya yang rendah, tingkap tanpa bingkai dan bentuk cermin hadapan yang lebih tajam, membuatkan penampilan Urus ini lebih bergaya dan maskulin. Bahagian belakang pula disokong dengan lampu berbentuk-Y, panel perumah berwarna hitam dengan gril udara serta logo Lamborghini. Malahan diffuser belakangnya diinspirasikan dari jentera lumba Lamborghini, dengan disambung pada paip ekzos berkembar berbentuk bulat.

Lamborghini Urus diperkenal di M’sia – 650 PS/850 Nm

Menjengah bahagian kabinnya, material campuran kulit, Alcantara, aluminium, gentian karbon dan kayu menjadi pilihan. Bagi spesifikasi standard, ia hadir dengan kulit berwarna dan kombinasi trim sama ada Nero Ade atau Grigio Octans. Lima lagi warna lain disediakan sebagai pilihan, serta trim warna Bicolor Elegante dan Bicolor Sportivo.

Elemen serba mewah, sofistikated dan elegan menjalari segenap ruang, ia jelas kelihatan pada papan pemuka dengan kekemasan hitam berkilat dan brushed aluminium secara standard, manakala kemasan kayu dan gentian karbon disediakan sebagai pilihan tambahan. Panel instrumen adalah unit digital TFT sepenuhnya, manakala di konsol tengah, terdapat dua skrin – yang atas untuk fungsi berkaitan hiburan serta navigasi, telefon dan status kenderaan, manakala yang di bawah untuk kawalan pendingin hawa, pemanas tempat duduk serta fungsi papan kekunci dan tulisan.

Fungsi standard yang diberi pada Urus adalah pengecas telefon tanpa wayar, kawalan suara, sokongan Apple CarPlay dan Android Auto, sambungan Bluetooth, pemain DVD dan sistem bunyi lapan-pembesar suara, manakala barangan tambahan yang boleh dipiih adalah paparan TV, pembaca kad DAB dan CI, head-up display, skrin hiburan untuk tempat duduk belakang dan sistem bunyi Bang & Olufsen 21-pembesar suara.

Pada bahagian konsol tengah, terdapat tombol mod pemanduan. Secara standard terdapat empat mod iaitu Strada (Road), Sport, Corsa (Race) dan Neve (Snow), manakala melalui pakej tambahan Off-Road, pemiilk akan mendapat dua lagi mod tambahan iaitu Terra (Dirt) dan Sabbia (Sand). Melalui pakej ini juga pemilik akan mendapat bampar yang lebih tegar dan perlindungan di bahagian bawah kenderaan.

Untuk tempat duduk, bahagian hadapan mempunyai pelarasan kuasa 12-arah berserta memori DNA, dan pelanggan boleh memilih tempat duduk lebih mewah yang mempunyai corong udara serta fungsi mengurut. Dalam keadaan standard, tempat duduk belakang Urus boleh menempatkan tiga orang, dan ia boleh direndahkan untuk menjadikan ruang barangan lebih besar, dari 616 liter kepada 1,596 liter. Pilihan lain yang diberi adalah tempat duduk lebih eksklusif untuk dua orang di bahagian belakang.

Elemen keselamatan pula termasuk High Beam Assistant, pengesan jarak hadapan dan belakang, cruise control dan sistem PreCognition untuk mengelak perlanggaran. Sistem ADAS yang termasuk sistem pengurusan trafik, kamera pandangan atas dan mod sambungan treler pula disediakan sebagai pilihan tambahan.

Menurut Lamborghini Malaysia, Urus sudah boleh ditempah dengan harga anggaran lebih kurang RM1 juta (sebelum termasuk semua cukai) dan unit pertama yang ditempah kemungkinan boleh diterima oleh pembelinya pada Jun atau Julai ini.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 

Comments

 

Add a comment

required

required