Selepas Asia Cross Country Rally (AXCR) untuk edisi 2024 disahkan bakal berlangsung dari Thailand menuju ke Malaysia hujung tahun lalu, hari ini menerusi satu hantaran yang dibuat oleh laman Facebook rasmi perlumbaan tersebut sudahpun mengeluarkan peta laluan sebenar rali rentas negara berkenaan.
Ia bukanlah peta yang terperinci, namun sudah cukup untuk menggambarkan perjalanan rali tersebut yang akan berlangsung bermula 11 Ogos dan tamat pada 17 Ogos 2024. Perlumbaan selama enam hari dengan perjalanan sejauh 2,000 km berkenaan akan dibahagikan kepada enam Leg.
Bagi Leg 1 dan Leg 2, ia akan berlangsung sepenuhnya di Thailand melibatkan pengembaraan dan SS yang akan bermula di Surat Thani menuju ke Trang. Para peserta akan mula menuju ke Malaysia pada Leg 4 dengan menuju ke pintu sempadan di Bukit Kayu Hitam, Perlis dan ia diteruskan sehingga ke Pulau Pinang. Manakala Leg 5 dan Leg 6 akan membabitkan perjalanan melalui Ipoh sebelum tiba ke garis penamat di Kuala Lumpur.
Ini bukan kali pertama Malaysia menjadi sebahagian dari laluan perlumbaan rali tersebut di mana kita merupakan antara negara pertama menyertai penganjurannya bermula pada edisi pertama pada 1996 sehingga tahun 2000. Kali terakhir Malaysia terlibat sebagai salah satu lokasi rali ini adalah 20-tahun lalu iaitu pada tahun 2003.
Dalam hantaran yang sama, AXCR turut berkongsi peta laluan bagi edisi 2003 di mana ia melibatkan perjalanan sejauh 3,000 km yang bermula dari Bangkok dan berakhir di Kuala Lumpur.
AXCR merupakan rali rentas negara ala-Rali Dakar yang dilangsungkan merentas negara-negara Asia Tenggara dan diselia oleh Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA), menyajikan aksi off-road dengan cuaca panas dan lembab merentasi hutan dan kawasan pergunungan.
Selain dari penganjurannya yang kembali semula ke Malaysia, AXCR tahun ini turut akan ‘dipanaskan’ dengan penyertaan tiga jentera pasukan Malaysia, di mana dua daripadanya dipandu oleh pelumba negara yang pernah berlumba dalam Safari Rally di Kenya untuk Kejohanan Rali Dunia (WRC) iaitu Saladin Mazlan dan Karamjit Singh, dan sebuah lagi akan dipandu oleh atlit sukan permotoran wanita negara iaitu Leona Chin.
Manakala untuk kategori motosikal, pasukan negara akan diwakili oleh Tommy Lee – pelumba touring car yang bukan sahaja hebat di litar, malah kini aktif dengan pengembaraan motosikal rentas negara.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.