Lagenda rali tanah air, Karamjit Singh disahkan sebagai juara keseluruhan musim pertama Kejohanan Rali Nasional Malaysia (MNRC) yang diadakan tahun lalu. Beliau yang kini berusia 60 tahun ditabalkan sebagai juara kejohanan tersebut bersama juru arahnya, Jagdev Singh di satu majlis yang diadakan di Hotel Sama-Sama, Sepang hari ini.

MNRC dirancang untuk diadakan sebanyak lima pusingan untuk musim 2022. Namun dengan pelbagai kekangan, ia hanya sempat dilangsungkan dengan satu pusingan iaitu di Maran pada 30 dan 31 Julai tahun lalu. Dalam pusingan berkenaan Karamjit berjaya bergelar juara keseluruhan dan kelas P12 dengan memandu Proton Gen2 4WD Turbo yang sudahpun berusia 15 tahun untuk pasukan Cisco Racing Team.

Dia disaing rapat oleh seorang lagi pemandu rali berpengalaman negara iaitu Haji Sutan Mustafa Salihin yang memandu Subaru Impreza WRX STI, menamatkan perlumbaan tersebut di tempat kedua dengan hanya ketinggalan 58 saat di belakang. Manakala tempat ketiga untuk kelas P12 di menenangi oleh Mohd Shahbandi Bin Mohd Desa dengan memandu Subaru Impreza WRX GC8.

“Perlumbaan rali telah menjadi minat saya selama lebih 35 tahun. Dalam tempoh berkenaan, saya sentiasa melakukan yang terbaik kearah mencapai kejayaan untuk negara dan pasukan saya. Sekarang pada umur 60 tahun, apabila orang bertanya bila saya akan bersara, dengan mudah saya mengatakan saya akan bersara apabila saya dah tak boleh menang,” kata Karamjit Singh.

“Kembali ke kereta rali dengan Karamjit pada 2022, selepas lama bercuti berjaya seperti dirancang. Kami menerima tekanan untuk menang dalam penampilan semula di Maran dan kami lakukan dengan margin yang menakjubkan,” kata Jagdev Singh.

“Saya pertama kali berpasangan dengan Karam pada 1997 dan saya perlu katakan walaupun masa telah berlalu, dia masih mempunyai segalanya untuk bergelar juara, bukan hanya peringkat tempatan tetapi diperingkat antarabangsa. Walaupun umur gabungan kami sudah mencecah 116 tahun! Tahun ini, kami sasarkan untuk menggunakan segala kemahiran dan pengalaman dengan sasaran jelas untuk memenangi rali dan kejuaraan untuk pasukan dan negara,” tambah Jagdev lagi.

Dalam majlis yang sama, trofi turut diserahkan kepada juara untuk kategori 2WD iaitu Muhammad Ikhsan Husni yang memandu Proton Satria 1.6 kelas P10, bersama juruarahnya Teh Yie Sing.

MNRC akan diteruskan tahun ini untuk musim kedua dengan empat pusingan, dan pusingan pertama dirancang akan berlangsung di Selangor pada Jun 2023. Ia dijangka akan menarik penyertaan dari luar negara.