Mercedes-AMG C43 4Matic W206 dipertonton di M’sia – CKD, 2.0L turbo ganti V6 3.0L biturbo, 408 PS/500 Nm

Mercedes-AMG C43 4Matic W206 dipertonton di M’sia – CKD, 2.0L turbo ganti V6 3.0L biturbo, 408 PS/500 Nm

Selain dari melancarkan beberapa koleksi Mercedes-Benz Dream Cars 2024 hari ini ketika berlangsungnya acara ‘Luxury Like No Other’ di Bangsar, Mercedes-Benz Malaysia (MBM) turut membuat sesi pra-tonton bagi beberapa model baharu yang bakal dilancarkan pada pasaran tempatan tidak lama lagi. Salah satunya adalah versi prestasi AMG sebenar paling ‘rahmah’ dalam barisan model C-Class W206, iaitu Mercedes-AMG C43 4Matic.

Masih lagi bakal ditawarkan dalam versi pemasangan tempatan (CKD), model generasi baharu ini tidak lagi menggunakan enjin 3.0L V6 Turbo seperti versi generasi sebelum ini, tetapi kini menerima enjin 2.0L Turbo empat-silinder yang lebih kecil. Walau bagaimanapun, enjin bagi C43 untuk generasi W206 ini sudahpun dihasilkan dalam cara AMG sebenar iaitu satu enjin dipasang sepenuhnya oleh seorang pakar pemasangan enjin, dan kuasa yang dihasilkan juga adalah jauh lebih besar dari sebelum ini.

Menurut MBM, menerusi C43 W206 ini, Malaysia menjadi satu-satunya negara di luar Jerman yang memasang model AMG sebenar ini dengan kaedah tersebut.

Enjin yang dimaksudkan adalah enjin M139l sama seperti pada model SL43, iaitu enjin M139 (seperti terdapat dalam perut Mercedes-AMG A45) tetapi diletakkan dalam posisi menegak ke belakang bagi memacu gandar belakang secara primari. M139l pada C43 ini turut menghasilkan jumlah kuasa yang sama seperti M139 A45 iaitu 408 PS (402 hp) dengan tork maksima 500 Nm.

Mercedes-AMG C43 4Matic W206 dipertonton di M’sia – CKD, 2.0L turbo ganti V6 3.0L biturbo, 408 PS/500 Nm

Walaupun dengan kapasiti 1.0 liter lebih kecil, enjin ini sebenarnya menjana jumlah kuasa yang lebih besar berbanding enjin V6 turbo sebelumnya yang hanya mengerah 367 PS (362 hp) dan tork maksima 520 Nm. Juga anda perlu tahu, M139l pada SL 43 hanya menghasilkan kuasa 381 PS (375 hp) pada takat 6,750 rpm dan tork maksima 480 Nm.

Juga sama seperti A45, enjin C43 ini turut menerima pengecas turbo yang dibantu oleh motor elektrik, didakwa sebagai siri produksi pertama di dunia yang menggunakan teknologi diambil terus dari perlumbaan Formula 1 itu. Menurut Mercedes-AMG, motor elektrik yang dihasilkan senipis 4 cm tersebut dipadankan secara bersepadu pada syaf tengah yang menghubungkan kipas turbin pada belah ekzos dan kipas pemampat pada belah ambilan udara.

Motor tersebut akan memutarkan syaf berkenaan pada kadar putaran enjin rendah sebelum ia diputarkan oleh gas ekzos, yang bukan sahaja dapat menghilangkan turbo-lag, malah memberikan respon lebih baik bemula dari kelajuan pepura sehingga keseluruhan tahap rpm enjin.

Mercedes-AMG C43 4Matic W206 dipertonton di M’sia – CKD, 2.0L turbo ganti V6 3.0L biturbo, 408 PS/500 Nm

Motor ini juga dihubungkan kepada sistem hibrid ringkas 48-volt, yang turut termasuk unit stater generator pacuan tali sawat (RSG), memberikan kuasa tujahan tambahan 14 PS (13 hp) bergantung pada situasi. Secara alternatif, ia turut menyumbang kepada operasi yang lancar untuk fungsi start-stop dan juga mod gliding.

Sama seperti SL43, C43 W206 ini juga menerima kotak gear automatik sembilan kelajuan AMG Speedshift MCT 9G. Dengan lencana 4Matic, sudah tentu model ini dipadankan dengan sistem pacuan semua roda AMG Performance 4Matic, dengan agihan tork lebih kepada gandar belakang (31% hadapan dan 69% belakang). Dengan semua kelengkapan unit rangkaian kuasa berkenaan, Mercedes-AMG C43 W206 ini mampu memecut 0-100 km/h dalam masa 4.6 saat.

Menerusi spesifikasi yang dikeluarkan untuk pasaran global, C43 W206 ini mampu mencapai kelajuan maksima 250 km/j, tetapi jika pembeli memilih opsyen AMG Driver Package, ia mampu mencapai kelajuan maksima sehingga 265 km/j. Ia juga ditawarkan dengan opsyen AMG Real Performance Sound, yang memberikan bunyi enjin yang lebih baik ke dalam kabin.

Suspensi AMG Ride Control dibekalkan secara standard untuk C 43, dalam konfigurasi sistem double wishbone aluminium hadapan dan belakang, spring gegelung dan juga penggunaan penyerap hentak adaptif. Ia turut diberikan stereng gandar belakang dengan sudut putaran maksima 2.5 darjah.

Untuk brek, sistem AMG Sports turut diberikan secara standard menampilkan cakera berdiameter 370 mm bersama angkup tetap empat omboh di hadapan dan cakera 320 mm digandingkan dengan angkup terapung omboh tunggal di belakang.

Karekter sistem pada kereta ini boleh diolah sendiri oleh pemandu menerusi sistem AMG Dynamic Select, yang menawarkan lima mod pemanduan iaitu Slippery, Comfort, Sport, Sport+ dan Individual. AMG Dynamics juga menawarkan tiga mod untuk sistem program kestabilan elektronik (ESP) iaitu Basic, Advanced, Pro. Setiap sistem kenderaan ini turut boleh ditala lagi secara individu bagi mendapatkan tetapan yang sesuai dengan kehendak pemandu.

MBM masih masih belum mengeluarkan sebarang senarai kelengkapan rasmi bagi C43 AMG pasaran Malaysia ini. Namun berdasarkan unit yang dipamerkan ini, ia nampaknya dibekalkan dengan lampu hadapan Digital Light, rim AMG 19-inci pelbagai jejari dibalut dengan tayar Continental SportContact 7 dan juga sistem brek yang lebih besar.

Manakala dalam kabin, ia diberikan roda stereng AMG, tempat duduk sport balutan Alcantara, tali pinggang keledar berwarna merah, kemasan gentian karbon pada papan pemuka, set pedal aloi AMG, karpet kaki AMG, paparan head-up, sistem bunyi Burmerster dan juga bumbung panaromik.

Pakej bantuan pemanduan Driver Assistance Package Plus juga disertakan untuk model pasaran Malaysia ini. Buat masa sekarang MBM masih belum menyebut sebarang harga untuk model ini. Namun kami difahamkan ada pengedar sah Mercedes-Benz menganggarkan ia akan dijual pada harga sekitar RM400k.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required