Selepas model generasi kelima Mercedes-Benz C-Class iaitu W206 didedahkan tahun lalu, kini giliran versi prestasi tinggi pertama dengan lencana Mercedes-AMG pula diperkenalkan – ini dia Mercedes-AMG C 43 4Matic W206! Model generasi baharu ini tidak lagi menggunakan enjin 3.0L V6 Turbo seperti versi generasi sebelum ini, tetapi kini menerima enjin 2.0L Turbo empat-silinder yang lebih kecil; namun kuasa yang dihasilkan adalah jauh lebih besar.
Enjin yang dimaksudkan adalah enjin M139l sama seperti pada model SL 43, iaitu enjin M139 (seperti terdapat dalam perut Mercedes-AMG A 45) tetapi diletakkan dalam posisi menegak ke belakang bagi memacu gandar belakang secara primari. M139l pada C 43 ini turut menghasilkan jumlah kuasa yang sama seperti M139 A 45 iaitu 408 PS (402 hp) dengan tork maksima 500 Nm.
Walaupun dengan kapasiti 1.0 liter lebih kecil, enjin ini sebenarnya menjana jumlah kuasa yang lebih besar berbanding enjin V6 turbo sebelumnya yang hanya mengerah 367 PS (362 hp) dan tork maksima 520 Nm. Juga anda perlu tahu, M139l pada SL 43 hanya menghasilkan kuasa 381 PS (375 hp) pada takat 6,750 rpm dan tork maksima 480 Nm.
Juga sama seperti A 45, enjin C 43 ini turut menerima pengecas turbo yang dibantu oleh motor elektrik, didakwa sebagai siri produksi pertama di dunia yang menggunakan teknologi diambil terus dari perlumbaan Formula 1 itu.
Menurut Mercedes-AMG, motor elektrik yang dihasilkan senipis 4 cm tersebut dipadankan secara bersepadu pada syaf tengah yang menghubungkan kipas turbin pada belah ekzos dan kipas pemampat pada belah ambilan udara. Motor tersebut akan memutarkan syaf berkenaan pada kadar putaran enjin rendah sebelum ia diputarkan oleh gas ekzos, yang bukan sahaja dapat menghilangkan turbo-lag, malah memberikan respon lebih baik bemula dari kelajuan pepura sehingga keseluruhan tahap rpm enjin.
Motor ini juga dihubungkan kepada sistem hibrid ringkas 48-volt, yang turut termasuk unit stater generator pacuan tali sawat (RSG), memberikan kuasa tujahan tambahan 14 PS (13 hp) bergantung pada situasi. Secara alternatif, ia turut menyumbang kepada operasi yang lancar untuk fungsi start-stop dan juga mod gliding.
Sama seperti SL 43, C 43 W206 ini juga menerima kotak gear automatik sembilan kelajuan AMG Speedshift MCT 9G. Dengan lencana 4Matic, sudah tentu model ini dipadankan dengan sistem pacuan semua roda AMG Performance 4Matic, dengan agihan tork lebih kepada gandar belakang (31% hadapan dan 69% belakang).
C 63 baharu ini bukan hanya diperkenalkan dalam versi sedan, malah ia juga tampil dalam badan wagon (S206). Bagi C 43 sedan, ia mampu memecut 0-100 km/h sedikit lebih pantas berbanding model W205 terdahulu dengan catatan 4.6 saat. Manakala versi wagon yang lebih berat, pecutan yang sama mengambil masa 4.7 saat.
Kedua-duanya mampu mencapai kelajuan maksima 250 km/j, tetapi jika pembeli memilih opsyen AMG Driver Package, ia mampu mencapai kelajuan maksima sehingga 265 km/j. Ia juga ditawarkan dengan opsyen AMG Real Performance Sound, yang memberikan bunyi enjin yang lebih baik ke dalam kabin.
Suspensi AMG Ride Control dibekalkan secara standard untuk C 43, dalam konfigurasi sistem double wishbone aluminium hadapan dan belakang, spring gegelung dan juga penggunaan penyerap hentak adaptif. Ia turut diberikan stereng gandar belakang dengan sudut putaran maksima 2.5 darjah.
Untuk brek, sistem AMG Sports turut diberikan secara standard menampilkan cakera berdiameter 370 mm bersama angkup tetap empat omboh di hadapan dan cakera 320 mm digandingkan dengan angkup terapung omboh tunggal di belakang.
Karekter sistem pada kereta ini boleh diolah sendiri oleh pemandu menerusi sistem AMG Dynamic Select, yang menawarkan lima mod pemandua iaitu Slippery, Comfort, Sport, Sport+ dan Individual. AMG Dynamics juga menawarkan tiga mod untuk sistem program kestabilan elektronik (ESP) iaitu Basic, Advanced, Pro. Setiap sistem kenderaan ini turut boleh ditala lagi secara individu bagi mendapatkan tetapan yang sesuai dengan kehendak pemandu.
Untuk rupa, C 43 ini menerima kit penampilan yang sama pada pakej AMG Line pada C-Class biasa, termasuk bampar hadapan dan belakang AMG, skirt sisi dan juga apron belakang yang berbentuk diffuser. Namun dengan brek lebih besar, gril Panamericana serta empat tip ekzos oval bersaiz besar di belakang, C 43 ini jelas nampak lebih ‘sasa’ berbanding C-Class biasa dengan kit badan AMG-Line.
Model ini diberikan set rim aloi ringan AMG bersaiz 18-inci secara standard, namun pembeli boleh menaik taraf dengan pilihan rim AMG lain bersaiz 19- atau 20-inci.
Manakala pada bahagian dalaman, kabin C 43 ini menerima tempat duduk AMG balutan kulit buatan Artico dan gentian mikro Microcut bersama serlahan jahitan merah. Pembeli juga boleh memilih upholsteri kulit sebenar atau kulit Nappa dengan tambahan kos.
Selain itu, kokpit C 43 ini turut menerima tali pinggang keladar merah, roda stereng AMG Performance, pedal penukar gear aluminium kemasan perak, perapi-perapi gentian karbon, set pedal AMG Sports, karpet kaki dengan logo AMG serta kemasan bendul pintu dengan nyalaan lampu.
Sistem infotainmen MBUX pada C 43 ini juga menerima fungsi dan paparan khas AMG, termasuk butang pintas untuk mod pemanduan AMG Dynamic Select dan AMG Track Pace bagi memudahkan pemandu yang mahu merekodkan data ketika mereka memandu di litar lumba.
Nak jual kereta anda? Jual dengan myTukar.