Toyota Yaris Wing Hin sertai Thailand Super Series 2024, dipandu Naquib Azlan dan Mitchell Cheah

Toyota Yaris Wing Hin sertai Thailand Super Series 2024, dipandu Naquib Azlan dan Mitchell Cheah

Wing Hin Motorsport telahpun mengesahkan penyertaan mereka untuk berlumba di Kejohanan Thailand Super Series (TSS) bagi musim 2024, di mana pusingan pertamanya akan berlangsung di Litar Antarabangsa Chang bermula 3 hingga 5 Mei ini. Pasukan berkenaan akan mempertatuhkan sebuah Toyota Yaris untuk berlumba dalam kategori Super Compact, dan ia akan dikendalikan oleh pasangan Mitchell Cheah dan Naquib Azlan.

Bagi pusingan pertama nanti, ia akan menampilkan dua perlumbaan masing-masing selama sejam berlangsung pada hari Sabtu (4 Mei) dan Ahad (5 Mei). Sebanyak 22 kenderaan sudah disahkan berlumba dalam ketegori tersebut, membariskan model-model seperti Toyota Altis dan Yaris, Honda CRZ, City dan Jazz GK serta Ford Fiesta.

Penampilan Wing Hin Motorsport ke negara jiran kali ini dilihat yakin berbekalkan kejayaan dalam perlumbaan 10-jam Idemitsu Super Endurance 600 Piala Asia Tenggara di sana tahun lalu, di mana ketiga-tiga jenteranya dapat menghabiskan perlumbaan pada kedudukan juara, keempat dan ke tujuh dalam kelas.

“Thailand telah terbukti menjadi medan yang sangat kompetitif untuk pasukan menunjukkan kebolehan, menghimpunkan gabungan ramai pemandu Thai dan antarabangsa serta pelbagai jenis kereta. Kami tidak akan jangkakan Siri Super Thailand ini menjadi kurang kompetitif dan mencabar memandangkan reputasinya sebagai perlumbaan yang rapat dan sengit serta kereta binaan yang sangat berkuasa,” kata Prinsipal Pasukan Wing Hin Motorsports William Loh.

Menurutnya lagi Wing Hin Motorsports juga sedang membuat persiapan untuk menurunkan pemandu Malaysia untuk bersaing dalam Kelas Supercar GT4 Thailand di pusingan kedua TSS yang diadakan di litar jalanraya Bangsaen pada 3 hingga 7 Julai nanti.

“Pendedahan perlumbaan di Thailand adalah langkah asas untuk meningkatkan daya saing keseluruhan pasukan dan kecekapan teknikal sebagai persediaan menghadapi acara tempatan, iaitu Siri Kejohanan Malaysia (MCS) dan perlumbaan utama seperti perlumbaan endurance Sepang 1000KM. Malah, Wing Hin Motorsports juga akan menurunkan Toyota Yaris kedua yang diterajui oleh Nabil Azlan dan Amer Harris pada pusingan pembukaan MCS pada hujung minggu yang sama kami bersaing di Thailand,” tambah Loh.

Toyota Yaris Wing Hin sertai Thailand Super Series 2024, dipandu Naquib Azlan dan Mitchell Cheah

Bagi Naquib yang merupakan juara Sepang 1000km (S1K) 2022, tanggungjawabnya untuk memandu dalam kesemua empat pusingan TSS 2024 ini pastinya adalah satu yang dia gemari dan berhasrat untuk memanfaatkannya.

“Saya sangat teruja untuk digandingkan dengan Mitchell sekali lagi. Perlumbaan pertama kami bersama adalah semasa perlumbaan ketahanan 10 Jam tahun lalu dan kami menunjukkan potensi yang besar. Kami berharap dapat membawa momentum ini ke TSS tahun ini,” kata pemain berusia 24 tahun itu.

“Matlamat saya sentiasa untuk menang. Saya tahu pasukan telah bekerja keras untuk memberikan kami kereta yang akan memberi kami peluang untuk menang. Saya tidak ragu-ragu bahawa pasukan di TSS akan menjadi kuat tetapi saya mempunyai keyakinan terhadap pasukan kami dan kami boleh berjuang demi mereka.

“Pastinya perlumbaan di peringkat antarabangsa adalah satu pengalaman yang berbeza dan pendedahan tahun lepas telah membantu saya menyesuaikan diri dengan lebih cepat bukan sahaja di trek yang berbeza tetapi kepada pelbagai gaya lawan yang berbeza. Pendedahan itu sememangnya penting dan ia memberi saya platform yang kukuh untuk mempercepatkan perkembangan saya sebagai pemandu,” tambahnya lagi.

Seperti Naquib, Mitchell Cheah juga merupakan bekas juara S1K. Malah pemandu yang berusia 26 tahun itu turut pernah berpeluang berlumba dalam World Touring Car Cup (WTCR) sebelum ini. Dengan pelbagai kejayaan yang telah dikecepi, Cheah masih lagi teruja untuk menyertai siri perlumbaan baharu dengan pasukan baharu ini.

“Wing Hin Motorsports sangat mengalu-alukan saya sejak menyertai pasukan itu Disember lalu dan serta-merta, saya diberi peluang dalam perlumbaan 10 jam serta menduduki tempat ke-4 hanya pada kali pertama pasukan itu bertanding dalam acara berkenaan. Harapan saya pastinya untuk memenangi kejuaraan Super Compact bersama Naquib. Kemenangan sentiasa menjadi matlamat saya dalam mana-mana kejuaraan yang saya saingi. TSS akan berdaya saing kerana saya tahu beberapa pemandu yang baik turut mengambil bahagian dalam kategori ini jadi mari kita lihat bagaimana ia dimainkan…Saya pasti akan melakukan yang terbaik dalam setiap perlumbaan.

“Pendedahan dalam TSS adalah besar daripada apa yang saya lihat dan alami kerana komuniti sukan permotoran di Thailand jauh lebih besar. Saya pastinya berharap untuk cemerlang di sana dan mungkin mempunyai lebih banyak peluang untuk melanjutkan kerjaya sukan permotoran saya pada masa hadapan,” kata Cheah.

Perlumbaan kategori Super Compacts dalam Kejohanan Thailand Super Series ini akan berlangsung bermula pukul 8.15 pagi (pukul 9.15 waktu Malaysia) pada 4 Mei, dan 10.55 pagi (11.55 waktu Malaysia) pada 5 Mei. Anda tidak perlu ke sana untuk menontonnya kerana siaran langsung akan dibawakan secara percuma untuk anda strim di laman web rasmi Thailand Super Series.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required