Mitchell Cheah diumum sebagai pelumba Hyundai Motorsport Junior Driver, sebaris Oliver Solberg

Mitchell Cheah diumum sebagai pelumba Hyundai Motorsport Junior Driver, sebaris Oliver Solberg

Hyundai Motorsport hari ini mengumumkan bahawa pelumba muda negara yang berlumba dalam disiplin Touring Car, Mitchell Cheah kini disenaraikan dalam barisan pelumba Hyundai Motorsport Customer Racing Junior Driver untuk musim 2021.

Program yang masuk ke tahun ketiga berkenaan diwujudkan oleh Hyundai Motorsport bagi memberikan sokongan kepada pelumba-pelumba muda yang berlumba dalam kejohanan rali dan litar untuk pasukan-pasukan di bawah seliaan program perlumbaan pelanggan Hyundai.

Mitchell Cheah yang kini berumur 22 tahun dipilih oleh Hyundai atas prestasi yang ditunjukkan olehnya tahun lalu memandu jentera Hyundai i30N TCR dengan pasukan Engstler Motorsport. Mitchell membuat kejutan besar tahun lalu dalam Kejohanan TCR Jerman pusingan kelima di Red Bull Ring, Austria – walaupun hanya diletakkan sebagai pengganti kepada Nico Gruber, dia berjaya mencatatkan masa terpantas disesi kelayakan untuk bermula di petak pertama, kemudian berjaya menamatkan Race 1 di tempat kedua.

Mitchell Cheah diumum sebagai pelumba Hyundai Motorsport Junior Driver, sebaris Oliver Solberg

Dengan prestasi yang ditunjukkan Mitchell itu juga, tahun lalu Engstler Motorsport turut membawanya ke pentas tertinggi perlumbaan Touring Car iaitu di pusingan terakhir World Touring Car Cup (WTCR) yang berlangsung di Litar MotorLand Aragon, Sepanyol pada bulan November – Mitchell berjaya mengutip 4 mata pertamanya dalam WTCR setelah berjaya menghabiskan perlumbaan di tempat ke-13 dalam Race 2.

Mitchell adalah salah seorang pelumba di bawah program Litar Antarabangsa Sepang (SIC) untuk perlumbaan empat roda. Selain berlumba dalam musim penuh TCR Jerman untuk musim 2019, dia turut ditawarkan untuk berlumba di Kejohanan WTCR pusingan Malaysia 2019 juga dengan Hyundai i30 N TCR Team Engstler, dan juga menjadi juara Sepang 1000km tahun yang sama berpasangan dengan Farique Hairuman dengan jentera Proton Iriz pasukan Proton R3.

Selain Mitchell Cheah, Hyundai Motorsport turut menyenaraikan Jáchym Galáš yang berumur 19-tahun berlumba dalam kejohanan TCR Eropah dan juga dua pelumba berumur 16-tahun dari Amerika Syarikat, Tyler Maxson dan Tyler Gonzalez yang berkongsi Veloster N TCR pasukan Copeland Motorsport dalam perlumbaan IMSA Michelin Pilot Challenge.

Mitchell Cheah diumum sebagai pelumba Hyundai Motorsport Junior Driver, sebaris Oliver Solberg

Manakala untuk disiplin rali, anak kepada juara Kejohanan Rali Dunia (WRC) 2003 Petter Solberg iaitu Oliver Solberg yang kini berusia 19-tahun turut tersenarai dalam program Hyundai Motorsport Junior Driver ini. Oliver sudah pun mendapat kontrak dua tahun dengan Hyundai bagi memandu jentera i20 R5 (selepas ini akan bertukar ke i20 N Rally2) untuk mengejar kejuaraan kategori WRC2 bermula pada musim ini.

Namun pada hujung bulan lalu, prinsipal pasukan Hyundai, Andrea Adamo memberikan tempat kepada Oliver bagi memandu jentera kelas tertinggi untuk pusingan kedua WRC musim 2021, Arctic Rally Finland. Walaupun penyertaan pertamanya dalam kelas tertinggi berkenaan hanya dianggap sebagai ujian, Oliver Solberg terus membuat kejutan dengan mencatatkan masa dalam kelompok lima teratas pada 6 SS, dan menghabiskan rali di tempat ketujuh keseluruhan.

Selain Oliver Solberg, Hyundai Motorsport turut menyenaraikan berberapa lagi nama untuk program ini bagi kategori rali, antaranya Ole Christian Veiby, Jari Huttunen, Luxembourger Gregoire Munster dan Josh McErlean.

Mitchell Cheah diumum sebagai pelumba Hyundai Motorsport Junior Driver, sebaris Oliver Solberg

“Komitmen untuk memupuk bakat pelumba muda adalah perkara yang penting dalam divisi Perlumbaan Pelanggan, dan Hyundai Motorsport secara amnya,” kata ketua Operasi Perlumbaan Pelanggan Hyundai Andrew Johns.

“Menerusi inisiatif Customer Racing Junior Driver ini, kami boleh memberikan sokongan kepada pelumba muda yang berlumba bersama pasukan pelanggan Hyundai dalam kejohanan besar rali dan TCR di seluruh dunia.

“Dengan bekerja rapat bersama mereka dan pasukan mereka kami dapat menolong setiap daripada mereka untuk meningkat naik secara konsisten, supaya dapat memberikan keputusan terbaik dan membina karier sukan permotoran professional mereka ke arah tempat dalam WRC atau pada grid FIA WTCR,” tambah Andrew lagi.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required