Lynk & Co Cyan Racing sapu bersih gelaran juara dunia untuk pemandu dan pasukan bagi WTCR 2020!

Lynk & Co Cyan Racing sapu bersih gelaran juara dunia untuk pemandu dan pasukan bagi WTCR 2020!

Tahun lalu, Lynk & Co Cyan Racing bersama jentera Lynk & Co 03 TCR menempa sejarah apabila menjadi juara dunia untuk kategori pasukan hanya pada tahun pertama mereka berlumba dalam World Touring Car Cup (WTCR), serta mengangkat jenama automotif pertama dari China yang merangkul gelaran juara dunia dalam perlumbaan. Tahun ini pasukan berkenaan terus mendominasi WTCR dengan merangkul kedua-dua gelaran juara dunia untuk pemandu dan pasukan!

Kemenangan ini disahkan pada pusingan terakhir WTCR musim ini yang berlangsung di Litar MotorLand Aragon, Sepanyol semalam. Pemandu Perancis, Yann Ehrlacher yang dinobatkan sebagai juara dunia WTCR tahun ini bukan sahaja mencatatkan sejarah buat Lynk & Co Cyan Racing, malah dia turut berjaya mencipta sejarah untuk diri sendiri dengan menjadi juara dunia paling muda untuk kejohanan itu dalam usia baru 24 tahun.

Cyan Racing merombak pasukan dan pemandu mereka tahun ini di mana Ehrlacher yang berpasangan dengan Andy Priaulx tahun lalu ditukarkan ke pasukan Cyan Racing Lynk & Co untuk bergandingan dengan pakcik kandungnya sendiri iaitu Yvan Muller. Manakala juara WTCC 2017, Thed Bjork mengetuai pasukan Cyan Performance Lynk & Co, berpasangan dengan pemandu baharu dari Uruguay yang juga baru berusia 24 tahun, Santiago Urrutia.

Strategi gandingan baharu ini ternyata menjadi untuk Lynk & Co Cyan Racing, dengan persefahaman yang begitu baik antara Ehrlacher dan Muller membolehkan pasangan anak saudara dan pakcik berkenaan berjaya naik ke podium dengan keputusan 1-2 sebanyak dua kali sepanjang musim 2020 ini.

“Kami mencapai sesuatu yang sangat besar tahun ini, bersama dengan Yvan kerana dia yang mengajar saya semuanya dari kosong, saya tak pernah pandu go-kart, atau apa sahaja, dan tujuh-tahun lalu saya tak berada dalam kereta lumba. Sekarang kami juara dunia dan ia sukar untuk di percayai,” kata Ehrlacher setelah disahkan sebagai juara dunia semalam.

Yann Ehrlacher mengutip mata keseluruhan 234 bagi dinobatkan sebagai “King of WTCR 2020”, diikuti juara dunia empat kali Yvan Muller di tempat kedua dengan 195 mata. Ini secara tidak langsung membolehkan Cyan Racing Lynk & Co sekali lagi mempertahankan gelaran juara dunia untuk kategori pasukan dengan pungutan keseluruhan 429 mata.

Lynk & Co Cyan Racing sapu bersih gelaran juara dunia untuk pemandu dan pasukan bagi WTCR 2020!

Pasukan ALL-INKL.COM Münnich Motorsport yang mempertaruhkan dua Honda Civic Type R TCR dipandu oleh Esteban Guerrieri dan Nestor Girolami berada di tempat kedua dengan ketinggalan 104 mata di belakang. Manakala pasukan kedua Lynk & Co yang di ketuai oleh Thed Bjork iaitu Cyan Performance Lynk & Co berada di tempat ketiga dengan 311 mata.

Perlumbaan pusingan terakhir yang berlangsung di Aragon hujung minggu lalu juga menyajikan pelbagai aksi luar jangkaan. Santiago Urrutia tiba-tiba menunjukkan taringnya di perlumbaan terakhir musim ini dengan mencatatkan masa terpantas untuk sesi kelayakan pertama dan ketiga, serta mencatatkan masa kedua terpantas ketika sesi kelayakan kedua.

Pada perlumbaan pertama di Aragon, pemandu Civic Type R TCR pasukan ALL-INKL.COM Münnich Motorsport, Esteban Guerrieri pula membuat kejutan – beliau muncul juara untuk Race 1 walaupun hanya bermula dari petak ke-16! Gelaran juara dunia untuk Enlarcher pula disahkan pada perlumbaan kedua semalam setelah Yvan Muller berjaya menamatkan Race 2 di tempat pertama.

Lynk & Co Cyan Racing sapu bersih gelaran juara dunia untuk pemandu dan pasukan bagi WTCR 2020!

Pada perlumbaan tersebut, kedudukan pungutan mata untuk Enlarcher sudah tidak tercabar setelah beliau menduduki tangga ke-enam untuk mengutip 10 mata, manakala pemandu kedua yang berpeluang mencabar kedudukannya iaitu Esteban Gurrieri gagal untuk menematkan perlumbaan kerana terlibat dalam kemalangan.

Manakala pada perlumbaan ketiga, Santiago Urrutia sekali lagi membuat kejutan dengan berjaya mengungguli Race 3 sekaligus mencatatkan kemenangan sulungnya sepanjang berada dalam cabaran WTCR yang hanya bermula tahun ini. Yvan Muller juga berjaya mengesahkan gelaran naib juaranya pada perlumbaan terakhir ini setelah menamatkan perlumbaan di tempat keempat.

Muller yang bermula di petak ke-10 berjaya untuk berada di kedudukan ke-enam, kemudian menerima bantuan dari Thed Bjork yang ketika itu berada di kedudukan ke empat. Bjork berjaya memperlahankan Cupra Leon Competición dipandu oleh Mikel Azcona yang berada di belakangnya, membolehkan Muller memotong kedua-dua mereka.

Dengan tindakan Thed Bjrok berkenaan, Yvan Muller berjaya mengutip 13 mata pada perlumbaan terakhir ini bagi bergelar naib juara dengan kelebihan hanya 1 mata berbanding Jean-Karl Vernay. Esteban Guerrieri yang sepatutnya menjadi pencabar utama Yann Enlarcher untuk gelaran juara dunia sebelum bermula pusingan terakhir ini hanya berjaya menamatkan musim 2020 pada kedudukan keempat dengan 188 mata.

Bagi Hyundai, segalanya seakan tidak menjadi untuk perlumbaan bagi musim 2020 ini. Setelah bergelut dengan pelbagai masalah dengan penganjur berkenaan Balance of Performance (BoP) pada awal musim sehingga kedua-dua pasukan mereka iaitu BRC Hyundai N LUKOIL Squadra Corse dan Engstler Hyundai N Liqui Moly Racing Team bertindak memboikot dan menarik diri dari perlumbaan di pusingan kedua di Nürburgring, juara dunia tahun lalu iaitu Norbert Michelisz hanya berada di tempat ke-13 tahun ini.

Perlumbaan terakhir di Sepanyol ini juga mencatatkan satu sejarah baru untuk pelumba Malaysia, Mitchell Cheah. Jika tahun lalu Mitchell hanya mendapat peluang sebagai peserta wildcard bagi pusingan terakhir yang berlangsung di Sepang, tahun ini Engstler Hyundai N Liqui Moly Racing Team memberikan tempat duduk sebenar untuknya bagi memburu mata pertama di WTCR.

Peluang yang diberikan untuk Mitchell Cheah ini adalah berikutan kejayaannya pada menggondol tempat kedua dalam perlumbaan pusingan terakhir TCR Jerman musim ini yang berlangsung Red Bull Ring Austria bulan lalu. Mitchell nyata tidak mensia-siakan peluang yang diberikan kali ini apabila berjaya menduduki tempat ke 13 dalam Race 2 sekaligus mengutip 4 mata pertamanya dalam perlumbaan TCR kelas dunia berkenaan.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required