Lynk & Co Cyan Racing raih juara dunia WTCR 2019 kategori pasukan dalam percubaan tahun pertama

Lynk & Co Cyan Racing raih juara dunia WTCR 2019 kategori pasukan dalam percubaan tahun pertama

Pusingan terakhir World Touring Car Cup (WTCR) 2019 telah pun berakhir di Sepang semalam, dan selepas 10 pusingan serta 30 perlumbaan, pasukan Lynk & Co Cyan Racing berjaya menjadi juara dunia dalam kategori pasukan, menewaskan pasukan BRC Hyundai N Squadra Corse dengan kelebihan 14 mata, dan Münnich Motorsport Honda di tempat ketiga dengan ketinggalan 52 mata.

Ini bermakna, Lynk & Co Cyan Racing yang berlumba dengan sedan Lynk & Co 03 TCR berjaya merangkul gelaran tersebut hanya dalam percubaan tahun pertamanya, dan menjadi jenama dari China pertama yang berjaya dinobatkan sebagai juara dunia dalam pentas sukan permotoran antarabangsa.

Dalam kategori pemandu, pelumba pasukan BRC Hyundai N Squadra Corse Norbert Michelisz dinobatkan sebagai juara dunia, diikuti oleh Esteban Guerrieri yang memandu Honda Civic Type R TCR dari pasukan Münnich Motorsport.

Pemandu berpengalaman Cyan Racing, Yvan Muller berada di tempat ketiga, manakala juara WTCC 2017 juga masih memandu untuk Cyan Racing, Thed Bjork berada di tempat keempat secara keseluruhan – prestasi konsisten kedua-dua pemandu ini membolehkan pasukan yang berpengkalan di Sweden tersebut berjaya meletakkan mereka sebagai juara kategori pasukan.

Lynk & Co Cyan Racing raih juara dunia WTCR 2019 kategori pasukan dalam percubaan tahun pertama

Cyan Racing menempuh perlumbaan yang sangat mencabar dalam perlumbaan di Sepang yang berlangsung hujung minggu lalu. Selepas berjaya mendominasi perlumbaan di Macau sebelumnya, Yvan Muller tiba di Malaysia dengan penalti berat yang cukup tinggi – 130 kg lebih berat dari kereta paling ringan – ini adalah sebahagian undang-undang Balance of Performance (BoP) WTCR yang memerlukan pemenang perlumbaan sebelumnya diberikan berat tambahan bagi memastikan perlumbaan ini tidak didominasi oleh satu-satu pasukan dalam satu musim.

Ini menyebabkan Muller hanya mampu mencatatkan masa ke-16 terpantas dalam sesi kelayakan pertama, dan ke-13 terpantas dalam sesi kedua. Thed Bjork pula hanya mampu mencatatkan masa ke-28 antara 30 kereta yang bertanding (hanya satu petak di hadapan pelumba motoGP negara, Hafizh Syahrin) pada sesi pertama, dan ke-19 pada sesi kedua.

Walau bagaimanapun, hujan yang turun sepanjang perlumbaan satu, dua dan tiga di Sepang semalam memberikan kelebihan kepada ‘pakar hujan’ Yvan Muller. Pada perlumbaan pertama, Muller berjaya memotong 10 kereta di hadapan bagi menamatkan perlumbaan di tempat ke-6 bagi mengutip 11 mata.

10 mata lagi dikutip oleh Muller di perlumbaan kedua setelah sekali lagi berjaya berada di tempat ke-6. Muller bagaimanapun tidak berjaya mengutip sebarang mata di perlumbaan ketiga setelah hanya berada di tempat ke-11, tetapi Thed Bjork berjaya menyumbang 9 lagi mata tambahan untuk pasukan setelah berjaya mendapat tempat ke-7.

Lynk & Co Cyan Racing raih juara dunia WTCR 2019 kategori pasukan dalam percubaan tahun pertama

“Projek Lynk & Co 03 telah disiapkan dalam tempoh memecah rekod, bermula dari perancangan awal hingga kereta disiapkan dalam masa kurang dari 25 minggu, dengan hampir kesemua unit dari setiap negara kumpulan (Geely) memberikan sumbangan. Kami sangat berbangga dan gembira untuk menyaksikan Cyan Racing dinobatkan dengan gelaran juara hari ini, dan melakukannya dengan standard semangat kesukanan yang tinggi bermula perlumbaan pertama dan seterusnya,” kata Ketua Geely Group Motorsport, Alexander Murdzevski.

Bagi mereka yang masih belum mengetahui, Lynk & Co adalah divisi mewah Geely, seperti Lexus dari Toyota. Cyan Racing pula adalah rakan teknikal Volvo Polestar dan telah berlumba bersama sejak sekian lama – Thed Bjork telah bergelar juara Scandinavian Touring Car Championship (STCC) dari 2013 hingga 2015, dan juara dunia World Touring Car Championship (WTCC) 2017 – semuanya dengan Volvo S60 Polestar Cyan Racing.

Namun pada 2018, pelbagai perkara telah berlaku – FIA telah mengubah WTCC kepada WTCR di mana pengeluar perlu beralih dari jentera TC1 kepada jentera TCR dan Volvo belum membangunkan sebarang jentera TCR, manakala Polestar telah dipisahkan dari Volvo bagi menjadi sebuah jenama pengeluar kereta sport dengan teknologi elektrifikasi.

Nama Cyan Racing tidak muncul sepanjang musim WTCR 2018, tetapi mereka sebenarnya masim berlumba dalam pasukan Yvan Muller Racing dengan Hyundai i30 N TCR, dipandu Yyan Muller dan Thed Bjork – juga berjaya menjadi juara kategori pasukan untuk musim berkenaan.

Sedan Lynk & Co 03 hanya diperkenalkan dalam pasaran pada September 2018, manakala projek membangunkan kereta lumba TCR berkenaan bermula Oktober tahun yang sama, dan ia perlu siap sebelum bermulanya WTCR musim 2019. Ia diasaskan dari Lynk & Co 03+, dalam spesifikasi produksi menggunakan platform Compact Modular Architecture (CMA) Volvo/Geely (platform sama dengan Volvo XC40), dan dijana oleh enjin turbo 2.0 liter Drive-e menghasilkan 254 hp/350 Nm sama seperti yang terdapat pada model-model T5 Volvo.

Menurut Murdzevski, kereta lumba ini masih menggunakan kerangka produksi, dan menggunakan enjin yang sama – ia masih menggunakan komponen dalaman yang sama sepenuhnya seperti model produksi, cuma diberikan pengecas turbo lebih besar bagi menghasilkan kuasa 350 hp/450 Nm!

Kereta ini berjaya disiapkan dalam masa yang cukup singkat dan ia mula membuat ujian awalan di litar Mantorp, Sweden dan Estoril, Portugal pada Disember 2018, kemudian mula berlumba pada pusingan pertama WTCR 2019 di litar antarabangsa Moulay El Hassan, Maghribi April lalu.

Selain dari jentera perlumbaan sebenar ini, pasukan berkenaan turut menghasilkan versi konsep untuk kegunaan jalan raya Lynk & Co 03 Cyan Concept (seperti Volvo S60 Polestar Concept sebelumnya), dengan enjin 2.0 liter turbo yang sama, tetapi menghasilkan kuasa 528 hp dan tork maksima 504 Nm!

Kereta berkenaan kemudiannya berjaya mencatatkan rekod kereta empat pintu terpantas di litar “The Green Hell” Nürburgring Nordschleife Ogos lalu dengan catatan 7 minit 20.143 – 4 saat lebih laju dari rekod kereta empat-pintu sebelum ini, Jaguar XE SV Project 8 – dipandu oleh Thed Bjork.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required