Proton sah akan keluarkan PHEV pada tahun 2025

Proton sah akan keluarkan PHEV pada tahun 2025

Selain X70 facelift, Proton juga semalam mengesahkan bahawa model plug-in hybrid (PHEV) pertama mereka akan dilancarkan tahun hadapan, dalam lingkungan masa yang sama dengan kenderaan elektrik bateri pertama mereka.

Perincian lain tidak diberitahu, tetapi memandangkan masanya cuma tinggal satu tahun, kita boleh menjangkakan model ini akan menggunakan asas daripada model Geely. Besar kemungkinan dengan penggerak sistem plug-in hybrid NordThor BHE15 Plus yang menggunakan enjin empat silinder Atkinson-cycle 1.5L turbo berkuasa 163 PS/255 Nm.

Ia kemudiannya dipadankan dengan motor elektrik 145 PS/338 Nm serta transmisi hibrid khas (DHT) tiga kelajuan untuk memberikan kuasa keseluruhan 390 PS an tork 535 Nm. Bergantung kepada model dan varian, pelbagai pilihan bateri disediakan dan boleh memberi jarak gerak elektrik sehingga 90 km.

Proton sah akan keluarkan PHEV pada tahun 2025

Di China, penggerak NordThor PHEV ini sudah digunakan pada pelbagai model termasuk Galaxy L7, iaitu model versi plug-in bagi Boyue L yang menggunakan platform Compact Modular Architecture (CMA) – boleh ditawarkan sebagai X70 generasi baru di Malaysia. Tetapi memandangkan model generasi pertama akan diberikan facelift tahun ini, kereta itu mungkin dipasarkan dengan nama yang lain.

Jika Proton mahu menyertai segmen SUV yang sedang popular sekarang, L7 adalah pilihan utama, tetapi ia juga mempunyai versi sedan yang dipanggil sebagai L6. Tidak seperti S70, L6 ini adalah sebuah model segmen C yang sebenar yang lebih besar dan mungkin boleh dijual sebagai pilihan yang lebih premium.

Penggerak NordThor juga boleh ditemui pada model Geely yang lebih popular, dengan penjenamaan Hi-P. Setakat ini, model PHEV yang ditawarkan adalah termasuk Emgrand L dan Xingyue L, yang turut ditawarkan dengan versi jarak perjalanan jauh dengan jarak gerak elektrik sehingga 205 km.

Cara lain, Proton secara mudah boleh memasukkan motor elektrik dan bateri kepada enjin tiga silinder 1.5L turbo sedia ada, yang kini turut dipasang di Malaysia. Secara teorinya, pakej ini akan lebih mudah dipadankan pada model sedia ada dan ia juga boleh digabungkan bersama transmisi klac berkembar tujuh kelajuan mereka.

Satu cabarannya, pakej seperti itu hanya wujud pada Volvo XC40 T5 Recharge, yang bermakna Proton perlu bekerja sama dengan syarikat dari Sweden itu untuk membawa teknologi tersebut ke pasaran kita. XC40 T5 Recharge itu boleh menghasilkan kuasa 262 PS dan tork 425 Nm, bersama bateri lithium ion 10.7 kWh yang boleh memberikan jarak gerak elektrik sehingga 44 km.

GALERI: Geely Galaxy L7 di Auto China 2024


GALERI: Geely Galaxy L6
GALERI: Geely Emgrand L Hi-P
GALERI: Geely Xingyue L Hi-X

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya 'mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required