Geely Emgrand L dilancarkan di China – dijana enjin 1.4 liter turbo, kotak gear CVT, rekaan lebih garang

Geely Emgrand L dilancarkan di China – dijana enjin 1.4 liter turbo, kotak gear CVT, rekaan lebih garang

Geely secara rasminya melancarkan sedan segmen-B Emgrand L di China, iaitu satu lagi versi facelift siri Emgrand yang kini sudah enam tahun berada dalam pasaran berkenaan. Walaupun ia sebuah model facelift, Geely menyatakan bahawa Emgrand L ini telah menerima platform lebih terkini iaitu B-segment Modular Architecture (BMA) yang dikongsi bersama SUV segmen-B Geely Binyue, kembar kepada Proton X50 pasaran Malaysia.

Namun, ia masih menerima unit rangkaian kuasa yang sama seperti model sebelum ini iaitu enjin 1.4 liter turbo berkuasa 141 PS pada takat 5,200 rpm dan tork maksima 235 Nm antara 1,600 sehingga 4,000 rpm, digandingkan bersama kotak gear CVT. Tiada lagi kotak gear manual ditawarkan untuk versi kali ini.

Emgrand L menampilkan rekaan paling garang dan agresif berbanding versi-versi sebelum ini kerana ia menerapkan rekaan signatur terbaharu Geely yang digelar Energy Storm. Oleh itu ia menerima gril hadapan dan gril bampar yang sangat besar dengan elemen mesh, memberikan imej seakan huruf-X persis model-model Lexus.

Lampu hadapan juga kini direka lebih nipis dan tajam bersama jalur-jalur LED pada bahagian atas sebagai lampu nyalaan siang. Sepasang lagi jalur LED diberikan pada bampar yang disusun serong, bagi menyerlahkan lagi bentuk-X pada muka sedan ini.

Geely Emgrand L dilancarkan di China – dijana enjin 1.4 liter turbo, kotak gear CVT, rekaan lebih garang

Tiada sebarang perubahan dapat dilihat pada bentuk badan bahagian sisi Emgrand L ini, kecuali set roda baharu menampilkan rim aloi 17-inci dengan jejari turbin, dalam kemasan dua tona.

Manakala di belakang ia menerima lampu yang merentangi sepenuhnya bahagian tersebut, bersama grafik dengan nampak seakan tiga dimensi dan juga skrip ‘Geely’ diletakkan di tengah. Rekaan baharu ini memerlukan perumah nombor pendaftaran dialihkan ke bampar.

Tiada perubahan besar yang dibuat pada bahagian kabin Emgrand L ini. Ia masih menerima papan pemuka dengan liang penghawa dingin yang merentangi sepenuhnya, skrin sesentuh berdiri sendiri di tengah, suis-suis kawalan seakan kekunci piano. Namun model ini menerima kemasan-kemasan termasuk panel pintu yang lebih tersendiri.

Untuk sistem infotainment, skrin sesentuh 12.3-inci yang dibekalkan beroperasi menggunakan OS Geely Galaxy terkini, yang sebelum ini diperkenalkan buat pertama kali pada Xingyue L. Ia menggunakan System-on-Chip (SoC) E02 8-Core dari ECARX serta menampilkan kawalan arahan suara berasaskan AI, bersama kawalan gestur, kemaskini perisian OTA dan juga kawalan jauh menggunakan telefon pintar. Lapan pembesar suara yang ditala oleh DTS disambungkan kepada sistem berkenaan.

Geely Emgrand L dilancarkan di China – dijana enjin 1.4 liter turbo, kotak gear CVT, rekaan lebih garang

Kabin Emgrand L ini juga diberikan sistem penghawa dingin pintar dengan sistem pengurusan kualiti udara, serta lampu bumbung kawalan gestur, pengingat tempat duduk belakang untuk mengelakkan kanak-kanak tertinggal dan tempat duduk balutan sued yang diberikan titik-titik pemanas selari dengan poin akupuntur badan manusia.

Bagi aspek keselamatan, model ini diberikan enam beg udara serta sistem bantuan pemanduan seperti brek kecemasan automatik bersama pengesan pejalan kaki dan penunggang basikal, kebolehan pemanduan separa autonomi tahap 2, bantuan kekal lorong, pengenal papan tanda trafik dan lampu tinggi automatik.

Ok, pasti ramai yang membuat anggapan mungkin Emgrand L ini bayangan kepada Proton Persona generasi baharu bukan? Pada kami, ia mungkin separa benar. Ini kerana sebelum ini Proton disahkan telah diberikan kebebasan untuk membangunkan model-model tempatan mereka menggunakan platform BMA yang sama seperti Emgrand L dan Proton X50.

Jadi ada kemungkinan Proton Persona generasi baharu nanti hanya berkongsi komponen mekanikal yang sama dengan Emgrand, dan kerja-kerja penghasilannya bukan sekadar mengalihkan kedudukan pemandu dari posisi kiri ke kanan dan juga talaan semula terhadap suspensi, malah ia turut akan melibatkan rombakan semula secara besar-besaran terhadap rekaan luaran dan dalaman bagi menjadikan ia benar-benar sebuah Proton.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required