Geely Emgrand 2021 dilancarkan di China – platform BMA seperti Proton X50, harga bermula RM56,800

Geely Emgrand 2021 dilancarkan di China – platform BMA seperti Proton X50, harga bermula RM56,800

Selepas didedahkan kepada awam ketika berlangsungnya Chengdu Auto Show, Geely secara rasmi melancarkan sedan segmen-B Emgrand 2021 di pasaran China. Model generasi keempat ini dihasilkan menggunakan platform BMA, iaitu platform yang sama seperti SUV segmen-B Geely Binyue/Proton X50.

Platform berkenaan sepatutnya memberikan fleksibiliti rekaan, ruang dalaman, keselesaan dan karekter pengendalian lebih baik kepada Emgrand baharu ini. Ia menampilkan dimensi 4,638 mm panjang, 1,820 mm lebar, 1,460 mm tinggi dan jarak roda sejauh 2,650 mm.

Walaupun dikelaskan sebagai sedan segmen-B, dimensi Emgrand ini sebenarnya adalah menghampiri saiz sebuah sedan segmen-C. Sebagai contoh, Emgrand hanya 10 mm lebih pendek berbanding Honda Civic FC serta 21 mm lebih lebar dari sedan Jepun berkenaan. Malah jika dibandingkan dengan pesaing terusnya iaitu Honda City generasi kelima, Emgrand adalah 85 mm lebih panjang dan 72 mm lebih lebar.

Platform BMA ini juga membolahkan jarak trek roda hadapan dan belakang direka lebih lebar bagi mendapatkan cengkaman tayar, kestabilan dan pengendalian lebih baik, dakwa Geely.

Geely Emgrand 2021 dilancarkan di China – platform BMA seperti Proton X50, harga bermula RM56,800

Casis kereta ini mendapat sentuhan talaan jurutera Geely di China dan Eropah bagi mendapat prestasi NVH pada tahap premium. Geely menyatakan bahawa bunyi yang dihasilkan di dalam kabin ketika kelajuan pepura enjin hanya pada tahap 37 desibel, manakala kadar geseran udara yang rendah pada tahap 0.27 juga menghasilkan bunyi yang senyap ketika kereta ini bergerak.

Emgrand generasi baharu ini dijana oleh enjin terbaharu Geely Auto iaitu unit 1.5 liter empat silinder dengan teknologi DVVT. Ia adalah enjin tanpa sebarang induksi paksaan, menghasilkan 114 PS dan tork maksima 147 Nm. Bagi menghantar kuasa ke roda hadapan, ia ditawarkan dengan kotak gear lima kelajuan manual atau transmisi CVT automatik bersama lapan kelajuan maya.

Model ini menampilkan rekaan sebuah sedan konvensional dengan lampu hadapan projektor bersama tiga lampu nyalaan siang LED, direka seakan bersambung dengan garis bahu membawa ke lampu belakang yang diberikan grafik berbentuk-N serta direka merentangi sepenuhnya penutup but. Selepas ini, Emgrand turut akan ditawarkan dalam versi Emgrand X yang menampilkan rekaan “Energy Storm” lebih garang.

Geely Emgrand 2021 dilancarkan di China – platform BMA seperti Proton X50, harga bermula RM56,800

Pada bahagian kabin, model ini menerima papan pemuka yang direka minimalis serta menampilkan paparan instrumen digital sepenuhnya dengan skrin 12.3-inci, dan juga skrin 10.25-inci untuk sistem infotainmen berdiri sendiri di bahagian tengah, berfungsi dengan GKUI Smart Ecosystem terkini menampilkan kemaskini OTA serta bantuan arahan suara AI.

Ia juga diberikan liang penghawa dingin yang merentangi sepenuhnya papan pemuka berkenaan bersama penapis udara kabin standard CN95 disebaliknya, serta menerima roda stereng lebih moden rekaan tiga jejari dan rata di bawah. Dengan platform BMA ini juga Geely mendakwa bahawa ia memberikan ruang belakang dan but paling luas dalam kelasnya, serta memberikan penglihatan lebih baik dan mengurangkan titik buta pada pemandu menerusi rekaan tiang-A yang ditambahbaik

Bagi keselamatan pula, model varian lebih tinggi akan diberikan sistem kamera sekeliling 540-darjah, kamera perakam berdefinasi tinggi, dan juga penutup but bukaan tanpa sentuh. Ia juga dilengkapkan dengan sistem kestabilan elektronik Bosch ESP 9.3 terkini yang membolehkan ia mencatatkan jarak terbaik dalam kelasnya untuk membrek 100km/j hingga 0 km/j, iaitu tidak sampai 36 meter.

Geely Emgrand 2021 dilancarkan di China – platform BMA seperti Proton X50, harga bermula RM56,800

Geely Emgrand 2021 ini dijual pada harga bermula 87,000 yuan (RM56,800) untuk model asas Premium, manakala model varian tertinggi Flagship pula dijual pada harga 92,000 yuan (RM60,000). Model ini akan diproduksi di kilang tercanggih Geely di Changxin, menampilkan stesen stamping dan kimpalan menggunakan robot sepenuhnya, serta proses mengecat tanpa sisa yang mesra alam.

Jika diikut hieraki model, Emgrand ini dilihat sangat sesuai untuk menggantikan sedan segmen-B Proton Persona yang kini sudah berada sekitar lima-tahun dalam pasaran – jadi, adakah Emgrand ini akan di rebadge terus kepada Persona seperti yang dibuat pada X50 dan X70?

Sebelum ini, Proton disahkan telah diberikan kebebasan untuk membangunkan model-model tempatan menggunakan platform BMA yang sama. Malah menerusi temuramah kami bersama ketua pereka Proton, Azlan Othman sebelum ini, bayangan yang diberi adalah Persona generasi baharu nanti mungkin hanya berkongsi komponen mekanikal yang sama dengan Emgrand tetapi diberikan rekaan badan yang lebih tersendiri dari Proton.

Anda pula bagaimana? Suka dengan rekaan Emgrand ini atau berharap Proton akan menghasilkan rekaan yang lebih sesuai dengan selera orang Malaysia?

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required