Proton janji hasilkan rekaan badan berbeza dari model Geely, revolusi rekaan dalam 5-6 tahun akan datang

Proton janji hasilkan rekaan badan berbeza dari model Geely, revolusi rekaan dalam 5-6 tahun akan datang

Minggu lalu kami berpeluang untuk menemuramah orang-orang penting dalam unit rekaan Proton berkenaan halatuju masa hadapan Proton Design; bukan sahaja bersama ketua pereka Proton Azlan Othman, malah turut bersama adalah naib presiden Geely Design Shanghai, Guy Burgoyne.

Seperti yang kita tahu, buat masa sekarang dua model Proton yang diasaskan dari model Geely iaitu X50 dan X70 hanya dibezakan sedikit perincian dari Binyue/Coolray dan Boyue; yang nampak berbeza adalah pada gril hadapan dan juga gril pembesar suara. Namun Azlan sendiri mendedahkan bahawa Proton kini dalam proses untuk menghasilkan rekaan semula keseluruhan badan atas kereta mereka sendiri, memberikan imej yang berbeza dari Geely.

Memberikan respon kepada komen orang ramai berkenaan kurangnya rekaan tersendiri pada model-model SUV Proton berkenaan berbanding model asal dari Geely, Azlan berkata, “Apa yang ramai orang lupa adalah objektif utama projek ini. Mereka mungkin hanya nampak satu produk, manakala kami di sebelah sini, kami melihatnya dalam jangka masa panjang. Kami bermula dari hanya mengambil projek CBU, kemudian kami mulakan CKD dan tidak lama lagi kami akan mulakan perubahan rekaan sebelah atas, selepas itu saya rasa penghargaan akan menjadi lebih baik.”

Proton janji hasilkan rekaan badan berbeza dari model Geely, revolusi rekaan dalam 5-6 tahun akan datang

Azlan jga menambah bahawa Proton kini masih dalam fasa evolusi dari segi rekaan, yang mana ia adalah efektif untuk proses rebadge model-model Geely. Menghasilkan rekaan badan atas sendiri akan memberikan lebih kebebasan kepada pereka bagi membuat perubahan besar, dan Azlan menjanjikan bahasa rekaan yang lebih “revolusioner” – namun jangan pula berharap ia akan diperkenalkan dalam masa terdekat.

“Kami telah mulakan ‘Evolusi 1.0’ sebelum ini dan kami sekarang dalam fasa 2.0. Kami juga mempunyai visi, lima atau enam tahun akan datang, untuk rupa ‘Revolusi'”, jelasnya.

Antara sebab mengapa Proton tidak membuat banyak perubahan estetika kepada X70 dan X50 kerana banyak kekangan pada rekaan kereta-kereta tersebut – ia sudahpun siap sepenuhnya dari Geely sebelum diberikan pada Proton. “Secara jelasnya, jika kita lihat kepada konsep produk yang diberikan, kekangan adalah lebih banyak. Tapi setelah kami beralih arah tuju, contohnya rekaan atas baharu misalnya, ia tidak ada batasan,”kata Azlan.

Proton janji hasilkan rekaan badan berbeza dari model Geely, revolusi rekaan dalam 5-6 tahun akan datang

Azlan juga bersetuju dengan persepsi bahawa model-model asli dari Proton nampak sangat berbeza dengan model-model yang diasaskan dari Geely, namun dia menegaskan bahawa Proton perlukan masa bagi menghasilkan rekaan yang lebih baik.

“Saya bersetuju dengan semua warga maya dan orang ramai di luar sana. Adalah sangat kompleks untuk mendapatkan rupa yang sama antara model legasi dan model yang telah diberi. Kami perlu bermula dengan perkara kecil dulu, seperti pada bahagian gril, roda, sedikit bahagian dalaman dan konsep kemasan, dan ia akan berkembang [dari situ]. Saya minta orang ramai untuk memahami prespektif lebih besar, dan kemudian barulah ia jadi lebih baik,” ujar Azlan.

“[Kolobrasi kami] kini masih dalam peringkat awal, tiga tahun. Kami perlu bergerak selangkah demi selangkah, perlahan-lahan untuk serasi dengan gabungan ini, dan kemudian kami akan tunjukkan anda apa yang boleh kami lakukan,” jelasnya lagi.

Proton janji hasilkan rekaan badan berbeza dari model Geely, revolusi rekaan dalam 5-6 tahun akan datang

Walau bagaimanapun, menurut Azlan ia pasti ada perbezaan antara dua jenis Proton. “Untuk model yang kami terima, kami agak bergantung dengan rakan kami Geely untuk mendapatkan sebanyak mungkin nilai terbaik dari kolobrasi tersebut. Manakala untuk model-model legasi, kami mempunyai kebebasan. Saya rasa tidak akan ada persamaan keseluruhan antara kedua-duanya, tidak masuk akal bagi Proton untuk kelihatan sepenuhnya seperti Geely,” jelasnya.

Guy Burgoyne pula memberikan komen tambahan mengapa SUV Proton nampak sama dengan versi dari Geely; menurutnya syarikat kini sedang fokus untuk menawarkan nilai terbaik untuk pelanggan – sekiranya perubahan visual yang besar dibuat sudah tentu ia akan menelan kos lebih banyak dan ia akan terjejas dari sudut nilai.

“Kebanyakkan orang tidak memahami bahawa dengan produk yang mempunyai nilai terbaik, ia perlu ada imbangan antara keunikan dan kesamaan, dan kesamaan pula perlu tanpa menjejaskan keunikan jenama, kedua-duanya perlu ada bagi memberikan solusi yang baik dan nilai yang baik kepada pelanggan.

Proton janji hasilkan rekaan badan berbeza dari model Geely, revolusi rekaan dalam 5-6 tahun akan datang

“Bagi mendapatkan keseimbangan yang betul adalah permainan hampir semua pembuat kereta di seluruh dunia. Ia jelas adalah sebahagian dari perniagaan – jika anda buat setiap perkara unik untuk setiap pasaran berbeza ia akan membuatkan kos meningkat dan anda tak dapat menjual kereta atau anda akan membuatkan pelanggan tidak gembira.”

Sebelum ini, Proton telah disahkan akan mendapat kebebasan untuk menghasilkan model mereka sendiri berdasarkan platform B-segment Modular Architecture (BMA) dari Geely, iaitu platform yang sama dengan X50. Projek ini membolehkan Proton menghasilkan rekaan mereka sendiri terhadap badan atas sebelah luar, rekaan dalaman, dan bukan sekdar rebadge model Geely sedia ada.

Walau bagaimanapun, dengan asas BMA berkenaan, ia masih akan berkongsi kebanyakkan komponen mekanikal yang sama dengan Geely. Sebelum ini kita dah tengok Azlan dan pasukannya menghasilkan rekaan yang cukup menarik seperti Proton Satria Neo apabila diberikan kebebasan, mungkin selepas ini kejutan yang sama turut akan dipersembahkan oleh Proton Design selepas semua ‘senjata untuk berperang’ dibekalkan dengan secukupnya?

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required