Geely Boyue catat jualan sejuta unit di pasaran global

Geely Boyue catat jualan sejuta unit di pasaran global

Pengeluar kereta terkemuka China, Geely, telah mengumumkan model Boyue berjaya mencatatkan jualan mencecah satu juta unit di pasaran global sejak ia diperkenalkan pada akhir tahun 2016. Dinamakan sebagai “SUV paling cantik” oleh media China dan pengguna di negara berkenaan sewaktu pertama kali diperkenalkan, Boyue turut dipasarkan di lebih 17 buah negara di seluruh dunia, termasuk Rusia, serta pasaran di Eropah Timur, Amerika Selatan, Afrika dan Asia Tenggara.

Di beberapa buah pasaran berkenaan, Boyue turut dikenali sebagai Atlas, Emgrabd X7 Sport atau Azkarra, tetapi di Malaysia, ia dikenali sebagai Proton X70. Malah sejak dilancarkan pada Disember 2018, SUV berkenaan mendapat sambutan yang cukup menggalakkan di sini, sekaligus menyumbang kepada angka jualan global bagi Boyue. Sejak itu, X70 yang sebelum ini hadir sebagai model import sepenuhnya (CBU) telah pun menjadi model pemasangan tempatan (CKD), apabila Proton mula memasangnya di kilang di Tanjung Malim.

Menurut Geely, Boyue juga menjadi salah satu model pertama di China yang dilengkapi dengan ciri ketersambungan pintar, yang membenarkan pemiliknya untuk berinteraksi dari jauh dengan model ini dan bertanyakan soalan serta arahan menggunakan frasa pengaktifan “Nihao Boyue.”

Ciri ini telah diadaptasi pada X70 selepas Geely dan Proton memeterai perjanjian pada tahun 2017, dengan frasa “Hi Proton”. Ia dikatakan mampu membantu Proton untuk menjadi jenama yang lebih bernilai dan berteknologi di Malaysia serta dapat memperluaskan lagi pasaran ASEAN, termasuk mengeksport model berkenaan di negara lain seperti Brunei dan Indonesia.

Jualan bagi Boyue dianggarkan mencecah 20,000 unit sebulan dalam tempoh tiga tahun setengah sejak ia dilancarkan, dan pada tahun 2019, Boyue telah dipertingkatkan menjadi Boyue Pro (atau lebih dikenali sebagai Azkarra), dengan menambah sistem mild hybrid 48-voltan dengan enjin 1.5 liter pengecas turbo tiga-silinder. Malah ada juga versi pikap bagi Boyue, yang dikenali sebagai Farizon FX.

Pada Ogos lalu, syarikat ini telah meraikan kejayaan pengeluaran unit yang ke sejuta dengan memperkenalkan Boyue edisi istimewa yang ditampilkan dengan gril Infinite Weave yang direka oleh Proton.

Geely turut menyatakan walau pun Boyue dilahirkan sebagai SUV pasaran domestik China, namun kejayaannya di luar negara itu telah menjadikannya pusat kuasa global dan syarikat itu mengharapkan banyak perkara terbaik bakal berlaku untuk masa depan.

GALERI: Model meraikan satu juta unit Geely Boyue

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 
 

Add a comment

required

required