Satu lagi cadangan lebuhraya yang bakal dibina di Lembah Klang ialah Lebuhraya Kuala Lumpur Northern Dispersal Expressway (KL-NODE). Walau bagaimana pun, menurut Menteri Kerja Raya (KKR), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, cadangan projek Lebuhraya KL NODE masih di peringkat penelitian dan pelaksanaannya adalah tertakluk kepada kelulusan daripada Kerajaan.
“Bagi memastikan kelestarian sosial dan alam sekitar dalam perancangan Lebuhraya KL NODE, Syarikat Pencadang perlu mematuhi Carta Alir Proses Pembangunan Lebuhraya dan Infrastruktur Utama Negeri Selangor. Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA), Penilaian Impak Sosial (SIA), Penilaian Impak Warisan (HIA) dan Penilaian Impak Trafik (TIA) perlu diluluskan oleh Pihak Berkuasa yang berkenaan dan seterusnya perlu dibentangkan di dalam mesyuarat MTES untuk kelulusan di peringkat Negeri Selangor (sama seperti kelulusan lebuh raya lain) sebelum Perjanjian Konsesi dapat dimuktamadkan,” katanya menerusi kenyataan bertulis untuk persidangan Dewan Rakyat minggu lalu.
Ia adalah bagi menjawab soalan yang dikemukakan oleh Hajah Rodziah Ismail (PH-Ampang) yang meminta KKR menyatakan kemungkinan membatalkan projek KL NODE bersandarkan pembatalan projek PJD Link setelah pemegang konsesi gagal memenuhi enam daripada 11 syarat ditetapkan dan penduduk setempat membantah sekeras-kerasnya supaya guna tanah dapat dioptimumkan untuk membina rumah, menyediakan pengangkutan awam dan menangani perubahan iklim.
Alexander turut berkata, cadangan Lebuhraya KL NODE sepanjang 40.34 km akan menghubungkan Lebuhraya EKVE dan Lebuhraya LATAR adalah merupakan missing link untuk melengkapkan Lingkaran Luar Kuala Lumpur (KLORR) yang terdiri daripada rangkaian lebuhraya yang sedang beroperasi seperti Lebuhraya SILK, SKVE, ELITE dan GCE. Cadangan Lebuhraya KL-NODE ini dirancang untuk menjadi sistem penyuraian trafik yang berkesan di bahagian Lingkaran Luar Lembah Klang.
“Cadangan jajaran Lebuhraya KL NODE ini secara majoritinya akan mengguna pakai rizab jalan sedia ada seperti Jalan FR 01, Jalan Kuching, Jalan MRR2, Jalan Hulu Yam (B23) dan Jalan Persiaran Ukay Perdana yang antara lainnya akan dapat meminimakan pengambilan tanah untuk pembinaan lebuh raya ini. Seperti kebiasaan, perkara-perkara berkaitan pengambilan balik tanah akan diteliti dan disemak sewajarnya termasuk mendapatkan kelulusan daripada Kerajaan Negeri Selangor melalui Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) terlebih dahulu sebelum perjanjian konsesi dimuktamadkan,”jelasnya lagi.
Jajaran KL NODE adalah daripada Persimpangan Bertingkat Templer, Lebuhraya Kuala Lumpur-Kuala Selangor (LATAR) hingga ke Persimpangan Jalan Kuching, Lebuhraya DUKE akan dibina secara bertingkat (elevated) di atas jalan sedia ada sehingga ke Jalan Kuching. Ia dijangkakan akan dapat memberikan aliran trafik yang lancar terutamanya daripada Rawang/LATAR ke Pusat Bandar Kuala Lumpur.
Lebuhraya ini terbahagi kepada tiga seksyen iaitu Seksyen 1 yang bermula dari Lebuhraya EKVE ke Persimpangan Selayang sepanjang 22.51km, Seksyen 2 pula bermula dari Persimpangan Selayang ke Lebuhraya LATAR sepanjang 8.78km dan Seksyen 3 bermula dari Persimpangan Selayang ke Lebuhraya DUKE sepanjang 9.62km.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.