Setelah beberapa kali pernah dilihat sedang diuji dan berada di atas jalan raya negara ini, model EV Dongfeng Box sah akan dibawa masuk ke Malaysia. Buat pertama kalinya, sesi preview dilakukan secara rasmi awal minggu ini untuk membolehkan kita mendekati model ini serta mengetahui lebih banyak tentang perinciannya serta perancangan yang terlibat.
Akan dibawa masuk dan diedarkan oleh Central Auto Distributors Bhd (CADB), yang merupakan anak syarikat kepada Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (Pekema), model yang dikenali di China dengan nama Nammi 01 ini akan dipasarkan dengan nama Dongfeng Box di Malaysia. Ini juga sekaligus menjadi perkembangan baru bagi Pekema yang memperluas rangkaian perniagaannya sebagai pengedar kereta baru selain perniagaan kereta terpakai yang diceburi selama ini.
Unit yang sedang anda lihat ini juga merupakan antara unit terawal yang berada di Malaysia ketika ini: ada tiga unit semuanya, yang merupakan unit pra-produksi dan bertujuan untuk ujian dan pemerhatian bagi penggunaannya di negara ini.
Jadi, unit yang akan dilancarkan kelak akan melibatkan beberapa perubahan penampilan dan kemasan — misalnya tidak akan menggunakan nama Nammi (cabang kenderaan EV untuk Dongfeng di China) dan sebaliknya akan diselaraskan dengan jenama dan model Dongfeng Box.
Penting juga untuk dinyatakan, unit yang sedang anda lihat ini adalah pengenalan global pertama bagi versi pemanduan sebelah kanan (RHD), walaupun unit contoh dan ujian yang dibawa masuk ini didatangkan dari China yang menggunakan versi pemanduan sebelah kiri.
Perancangan CADB adalah untuk melancarkannya secara rasmi pada suku keempat 2024, dijangka pada Oktober, dengan memperkenalkan dua varian sebagai pilihan: Dongfeng Box E2 (kereta kuning) dan juga Dongfeng Box E3 (kereta ungu). Bagaimanapun, CADB memaklumkan yang varian E3 yang akan diberi tumpuan untuk jualan, dengan varian E2 akan dibawa masuk hanya sedikit bagi tujuan kajian pasaran.
Untuk pasaran tempatan, Dongfeng Box ini merupakan pesaing langsung bagi model BYD Dolphin. Box di Malaysia mempunyai ukuran seperti berikut: 4,000 mm panjang, 1,800 mm lebar, 1,540 mm tinggi dengan jarak roda 2,650 mm.
Dari spesifikasi ringkas yang ditunjukkan, model ini akan menggunakan bateri jenis lithium iron phosphate (LFP) dan menurut CADB, ini memberikan kemampuan janaan kuasa sebanyak 95 PS (70 kW) serta juga 160 Nm tork, dengan laju maksimum yang boleh dicapai ialah 140 km/j.
Kapasiti baterinya pula ialah 31.45 kWh bagi varian E2, dengan jarak yang boleh dicapai ialah 330 km, sementara varian lebih tinggi, E3 menerima kapasiti bateri 42.3 kWh dengan jarak yang mampu diberikan ialah 430 km (10 km lebih berbanding BYD Dolphin Standard Range) — semua ini mengikut kitaran ujian CLTC versi China.
Dongfeng tidak mendedahkan input maksimum bagi pengecasan DC bagi Box ini, dengan sekadar memaklumkan bahawa pengecasan dari 30%-80% akan mengambil masa 30 minit. Ini tempoh yang sama untuk E2 dan E3, dengan E3 boleh menampung kapasiti watt yang lebih — jika dilihat untuk pengecasan AC, memang benar: E2 dengan input 3.3 kW sementara bagi E3 dengan input 6.6 kW.
Dari segi penampilan, Dongfeng Box mempunyai ciri dan rekaan kompak hatchback yang sinonim untuk kegunaan urban, dengan jalur lampu depan LED (ada mirip rekaan EV smart), garis bumbung rata hingga ke belakang untuk memberikan ruang kabin yang luas serta pilihan warna yang pop (boleh dilihat dari warna ungu dan kuning menyerlah yang digunakan untuk dua unit pra-produksi ini) dengan pilihan bumbung putih kelak untuk lebih memikat.
Box antara lain menggunakan rim 17-inci dengan rekaan berbeza antara E2 dan E3. Di dalam, banyak juga kelengkapan yang mengisi ruangnya, antaranya konsol tengan apungan, pengecas tanpa wayar Qi, ruang simpanan dalam perehat lengan serta talam simpanan unik di ruang glove box. Ia juga hadir dengan kluster instrumen lima-inci, skrin sentuh untuk infotainmen pula bersaiz 12.8-inci, walaupun belum disediakan Apple CarPlay dan Android Auto.
Untuk harga, belum ada sebarang pengumuman atau pengesahan yang dibuat. Tetapi, memandangkan Box akan bersaing dengan Dolphin (yang hadir dengan sokongan lepas jualan dari Sime-Darby Motors), Box tentunya tidak akan dijual melebihi harga Dolphin ketika ini. Kami menjangkakan ia bahkan sedikit lebih murah berbanding Dolphin untuk membolehkannya bersaing. Ketika pelancarannya, BYD Dolphin diperkenalkan dengan harga RM99,900 bagi varian Dynamic Standard Range dan RM124,900 bagi varian Premium Extended Range.
Peringkat awal ini, unit Dongfeng Box akan dibawa masuk dari China secara CBU terlebih dahulu menuju pelancarannya. Dijangka 300 unit akan tiba sekitar September nanti, dengan CADB mensasarkan untuk menjual sebanyak 800-1,000 unit sepanjang baki tahun 2024 ini.
Jun lalu pula, berita tentang pemasangan tempatan bagi model Dongfeng di kilang pemasangan NexV Manufacturing yang terletak di Chembong, Rembau, Negeri Sembilan. Ini mungkin akan menyusul pada 2025, selepas kilang berkenaan siap dibina dan memulakan operasinya dijangka pada Mac tahun depan. Dan, tentulah, versi CKD ini juga nanti akan mempengaruhi penawaran harga Dongfeng Box yang mungkin akan menjadi lebih rendah berbanding harganya ketika pelancaran nanti.
Dongfeng Box E3
Dongfeng Box E2
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.