Mitsubishi Xpander 2024 facelift dibuka tempahan di Malaysia — wajah baru, masih 4AT, anggaran RM115k

Mitsubishi Xpander 2024 <em>facelift</em> dibuka tempahan di Malaysia — wajah baru, masih 4AT, anggaran RM115k

Selepas hampir empat tahun sejak mula dijual di sini sejak tahun 2020 dan setelah mencapai angka pengeluaran CKD ke-40,000, Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) kini memperkenalkan model facelift bagi MPV tujuh-tempat duduk keluarannya, Xpander 2024. Model pemasangan tempatan (CKD) itu kini sudah mula dikeluarkan dari kilangnya di Pekan, Pahang dan kini dibuka untuk tempahan dengan harga pengenalan RM115k yang sah untuk tempoh terhad sahaja.

Xpander 2024 akan dilancarkan dalam bulan ini, dan sempena pengenalannya ini, seramai 500 pelanggan terawal Xpander yang mendaftar tempahan secara dalam talian melalui Mitsubishi Online Showroom akan menerima Naturehike Camping Wagon bernilai RM400 secara percuma.

Jadi, apa yang baru dengan Xpander 2024? Pertama sekali, unit yang sedang anda lihat ini adalah varian Xpander Plus yang paling tinggi yang ditawarkan. Dan untuk bahagian luarannya, memang banyak pembaharuan yang diberikan.

Mitsubishi Xpander 2024 <em>facelift</em> dibuka tempahan di Malaysia — wajah baru, masih 4AT, anggaran RM115k

Wajah depannya secara keseluruhan adalah serba baru. Antara yang paling ketara ialah rekaan bamparnya baru, dengan ruang untuk nombor plat diturunkan ke bawah lagi. Bahagian bawah bamparnya pula menembatkan lampu kabus dengan kemasan perak. Untuk varian Plus, ia akan menggunakan banyak kemasan perak/krom di bahagian bamparnya sebagai perbezaan dari varian asas yang lebih banyak mengenakan kemasan dan perincian hitam.

Bahagian lampu utamanya di bampar juga lebih besar dengan bentuk ‘T’ yang lebih jelas, dengan adanya kemasan krom/perak juga. Lampu utama ini juga ada lima kluster yang menempatkan lampu LED automatik. Bahagian lampu DRL pula masih terletak di atas, dengan bentuk keseluruhan nipis dan memberikan imej tajam.

Bahagian gril yang menempatkan logo Mitsubishi juga tampil lebih ringkas dengan dua jalur kelabu gelap, sementara gril jaring di bawahnya meliputi kawasan yang lebih besar juga di bahagian bawahnya. Bahagian krom bentuk C di sekitar lampu utama pula kali ini lebih tebal visualnya. Secara keseluruhan, wajah depan Mitsubishi Xpander 2024 ini nampak lebih sibuk dan moden berbanding model lama.

Mitsubishi Xpander 2024 <em>facelift</em> dibuka tempahan di Malaysia — wajah baru, masih 4AT, anggaran RM115k

Dari sisi, ada beberapa penambahbaikan turut dilakukan, antaranya melibatkan penggunaan visor untuk setiap tingkapnya. Selain itu, rim 17-incinya (dengan saiz tayar 255/55) juga diberikan rekaan dua-tona yang baru. Di bahagian bawah pintu, kemasan atau bodykit yang disertakan menggunakan warna perak, yang tidak ada sebelum ini.

Bahagian belakang pula kini dipasangkan spoiler besar yang sedikit sebanyak dapat menyuntik imej lebih sporty bagi MPV bukan-nasional yang paling laris di Malaysia ini. Sama seperti di depan, rekaan bampar belakang juga baru, melibatkan elemen terkini seperti bahagian reflektor yang menegak, selain rekaan lampu belakang yang baru yang lebih kemas dalam perumah gelap.

Kedudukan nama Xpander juga kini lebih rendah di bawah. Bahagian bawah bampar, yang ditandai dengan warna perak itu juga rekaan baru, yang selari dengan rekaan wajah depannya. Tidak ketinggalan, daripada unit yang ditunjukkan ini juga dapat dilihat adanya ciri dashcam untuk Xpander.

Seperkara lagi yang membezakan Xpander facelift 2024 ini daripada model lama ialah ketinggiannya dari tanah — Xpander 2024 diberikan tambahan ketinggian sebanyak 20 mm, kini dengan jarak dari permukaan tanah ialah 225 mm. Jika dibandingkan dengan model pesaingnya yang lain, Xpander mempunyai kelebihan 5 mm berbanding Perodua Aruz. Bagi Toyota Veloz dan Perodua Alza pula, masing-masing mempunyai ketinggian 190 mm dan 160 mm — ini bermakna Xpander mempunyai kelebihan sekitar 65 mm ketinggian dari permukaan tanah.

Di dalam pula, antara penambahbaikan yang dibuat ialah pengenalan kawalan pendingin digital. Selain itu, ciri brek parkir (EPB) juga ada menggantikan brek tangan yang biasa sebelum ini. Kemasan ruang dalamannya juga lebih menarik dengan adanya bahagian balutan kulit buatan berwarna coklat seperti yang dapat dilihat di papan pemuka yang juga hadir dengan rekaan baru, serta di pintu dan juga perehat lengan di tengah.

Selain itu, penumpang belakang juga diberikan perehat lengan boleh lipat di tengahnya. Tersedia juga slot pengecas USB — satu USB-A dan satu USB-C — untuk digunakan di belakang. Corong blower pendingin juga ada untuk penumpang belakang di bumbung, dan boleh dilaras kekuatannya.

Bagaimanapun, dari segi mekanikal tidak banyak yang berubah. Xpander menggunakan enjin 1.5 liter Mivec DOHC 16-injap yang menghasilkan kuasa sebanyak 105 PS pada 6,000 rpm dan 141 Nm pada 4,000 rpm. Ini masih lagi digandingkan dengan transmisi automatik 4AT yang lama, walaupun versi facelift ini di pasaran luar sudah ditawarkan dengan CVT.

Bagi suspensi, bahagian depan menggunakan jenis MacPherson strut dengan palang penstabil, manakala di belakang menggunakan jenis torsion beam. Untuk brek pula ia menggunakan jenis cakera berliang di depan dan brek dram di belakang.

Sekadar makluman, Mitsubishi Xpander mempunyai ukuran dimensi 4,475 mm panjang, 1,750 mm lebar, 1,730 mm tinggi serta jarak roda 2,775 mm. Kapasiti tangki minyak ialah 45 liter. Bagi ruang untuk barangan, dengan kerusi barisan ketiga direbahkan, Xpander menyediakan kapasiti 495 liter. Untuk aspek keselamatan, Xpander dilengkapi antaranya dengan dua beg udara, ABS, Isofix, EBD, bantuan mula mendaki (HSA), sistem isyarat berhenti kecemasan (ESS) — masih belum ada sistem bantuan pemanduan canggih seperti AEB dan amaran penukaran lorong dsb.

Selain itu Xpander Plus 2024 ini turut dilengkapi dengan kamera tinjauan sekeliling (varian asas hanya diberikan kamera undur), perakam video digital DVR depan dan belakang, sensor undur, spoiler, scuff plate, balutan kulit buatan, dan karpet ruang kaki.

Mitsubishi Xpander Plus 2024

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 

Comments

  • Wark nut on Sep 12, 2024 at 4:38 pm

    Kena revise balik part saiz tayar tu. 255/55 tu mcm x betul

    Like or Dislike: Thumb up 1 Thumb down 0
  • Shazz on Sep 14, 2024 at 9:22 am

    Nasib baik saya tak tunggu ni dan dah beli Veloz, ingatkan akan datang versi CVT dan macam-macam ciri keselamatan baru. Alhamdulillah digerakkan hati untuk sambar stok Veloz yang telah sampai giliran.

    Kalau cruising 110 km/j dalam Veloz, RPM boleh turun sampai 2,100 RPM dan ianya senyap, relax dan menjimatkan minyak. Kalau Xpander berapa RPMnya?

    CVT tak reliable? Saya dah guna lebih 10 tahun pada Honda (2014), Alhamdulillah ok sangat.

    Like or Dislike: Thumb up 0 Thumb down 0
 

Add a comment

required

required