Toyota Australia mengumumkan bahawa ia bakal bertanding dalam kejohanan touring car ikonik di negara itu iaitu Repco Supercars Championship bermula musim 2026. Dan untuk itu, Toyota telah membuat keputusan untuk memilih kereta sport tertinggi dalam barisan model Gazoo Racing buat masa sekarang iaitu GR Supra sebagai jentera untuk berlumba.
Kereta lumba tersebut akan direka oleh pasukan pereka Toyota Australia, dan pembangunannya dibuat dengan rakan kerjasama homologasi iaitu Walkinshaw Andretti United (WAU) – pasukan yang sebelum ini sudahpun mencatatkan rekod sebanyak 191 kemenangan, enam juara kategori pemandu dan tujuh kemenangan pada pusingan perlumbaan Bathurst 1000.
Dan untuk berlumba dalam kategori tertinggi kejohanan ini, kereta lumba GR Supra berkenaan akan dibina berdasarkan undang-undang GEN3 Supercars, bermakna ia perlu dijana oleh enjin V8 NA 5.0 liter.
Oleh itu Toyota Australia mengumumkan bahawa GR Supra GEN3 Supercars ini akan disumbat dengan enjin V8 empat-aci sesondol 2UR-GSE 5.0 liter NA yang diambil dari perut model produksi seperti Lexus IS 500 F Sport Performance, Lexus LC 500, Lexus GS F dan Lexus RC F.
Berdasarkan lakaran digital dan juga model skala kecil yang didedahkan, kereta lumba GR Supra GEN3 Supercars ini akan menampilkan banyak inspirasi rekaan dari model konsep asal Supra A90 iaitu Toyota FT-1. Ia termasuk pada bahagian ‘hidung’ dan lekuk pada bonet hadapan. Bentuk badan kereta lumba ini juga kelihatan sedikit berbeza dengan model produksi jalan raya GR Supra.
Sekurang-kurangnya empat GR Supra GEN3 Supercars akan dihasilkan oleh pasukan tersebut, dan Toyota Australia juga sudah mengesahkan bahawa ia akan dipandu oleh Chaz Mostert dan Ryan Wood. Toyota Australia juga mengumumkan komitmen mereka untuk berlumba sekurang-kurangnya selama lima musim dalam perlumbaan ini.
“Di Toyota, kami telah bermain dengan idea untuk bersaing dalam Supercars selama lebih daripada 20 tahun dan kini dengan kereta yang betul, pasukan yang betul, dan perkongsian yang sangat kuat dengan Kejuaraan Supercars Repco, masanya sudah pasti tepat,” kata naib presiden jualan Toyota Australia, Sean Hanley.
Repco Supercars Championship sebelum ini terkenal di seluruh dunia dengan nama Kejohanan V8 Supercars Australia, dan ia menjadi medan pertarungan antara dua ikon yang dibangunkan di benua itu iaitu kereta-kereta ‘muscle’ keluaran Holden dan juga Ford Falcon dalam beberapa generasi.
Ford masih kekal dalam kejohanan ini dengan menggunakan Mustang, sementara jenama Holden yang sudahpun berkubur kini diwakili oleh satu lagi jenama di bawah General Motors iaitu Chevrolet yang kini mempertaruhkan Camaro GEN3 Supercars.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.