Toyota reveals the FT-1 sports car concept at the North American International Auto Show in Detroit, Monday, January 13, 2014. FT-1 stands for “Future Toyota,” and the number “1” represents the ultimate. Photo: Joe Polimeni

Sebelum ini UMW Toyota (UMWT) telah mengumumkan bahawa dua model baharu mereka iaitu Toyota Camry dan juga Vios – kedua-duanya dari generasi baharu – akan di bawa ke Kuala Lumpur International Motor Show (KLIMS) 2018, yang akan berlangsung di Pusat Dagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia ( MITEC), minggu ini. Kini pengedar rasmi jenama Toyota di Malaysia tersebut mengesah bahawa model konsep Toyota FT-1 dan i-Road, serta kereta lumba hibrid Le Mans Prototype 1 (LMP1) TS030 turut akan di bawa pada acara berkenaan.

Ketiga-tiga kereta tersebut bukanlah perkara baharu, namun peluang untuk melihatnya secara dekat bukanlah perkara yang selalu muncul. Bagi mereka yang belum mengetahui, model konsep FT-1 berkenaan telah muncul buat kali pertama pada tahun 2014, dan ia sebenarnya adalah versi konsep untuk Toyota Supra generasi baharu yang akan didedahkan secara rasmi Januari tahun hadapan, di Amerika Syarikat.

Bagi kereta lumba LMP1 TS030 pula, ia adalah jentera lumba untuk musim 2012 dan 2013, dan merupakan pengganti kepada jentera Le Mans sebelum itu, Toyota GT-One (TS020) yang berlumba buat kali terakhir pada tahun 1999.

“TS030 merupakan bukti bahawa kegagalan adalah peluang untuk melakukan sesuatu dengan lebih baik, Temui model perlumbaan yang mengevolusikan jentera TS050, juara FIA World Endurance Championships 2018 di KLIMS 2018,” kata UMWT dalam laman sosial Facebook mereka.

“Kegagalan” yang di maksudkan oleh UMWT berkenaan adalah walaupun TS030 merupakan jentera yang tidak berjaya, menerusi kereta tersebut banyak yang Toyota pelajari dan akhirnya buat pertama kali Toyota bergelar juara pada perlumbaan tersebut, setelah kali terakhir jenama Jepun merangkul gelaran yang sama adalah menerusi pasukan Mazda dengan jentera 787B pada tahun 1991.

Manakala untuk model konsep Toyota i-Road, ia adalah kenderaan mobiliti ringkas dengan dua tempat duduk dan tiga roda, serta berkebolehan untuk mengambil selekoh seperti sebuah motosikal.

Teruja? Jadi jangan lupa luangkan masa anda ke acara ini yang akan berlangsung dari 23 November hingga 2 Disember 2018.