Asyik keluar gambar dengan pelekat penyamaran, jadi bila sebenarnya Toyota Supra generasi baharu akan diperkenalkan sepenuhnya? Belum ada kenyataan rasmi dari Toyota, namun ahli dari forum SupraMkV mendedahkan bahawa satu balasan dari Toyota Germany di laman facebook rasmi mereka menyatakan Supra A90 bakal didedahkan awal tahun hadapan.

“Pededahan sulung peringkat dunia akan dilakukan di Detroit Motor Show pada Januari. Kita masih lagi perlu bersabar…” tulis balasan dari Toyota Germany berkenaan.

Balasan ini ditulis pada satu hantaran video menampilkan Supra A90 yang seperti biasa mengenakan pelekat penyamaran dengan warna Toyota Gazoo Racing -merah, putih, hitam- dipandu di Litar Jarama. Menerusi hantaran yang sama, Toyota Germany turut menjemput mereka yang berminat untuk mendaftarkan minat masing-masing secara dalam talian.

Pendaftaran tersebut adalah berhubung pengumuman Toyota di Paris Motor Show yang kini sedang belangsung, mengesahkan pra-tempahan untuk 900 unit pertama Supra kini sudahpun dibuka pada pasaran Eropah terpilih.

Mereka yang berjaya memiliki 900 unit pertama ini bukan sahaja akan menerima kereta mereka seawal musim panas tahun hadapan, malah secara automatik akan diserap ke Supra 900 Club, membolehkan mereka mendapat akses kepada perkara-perkara eksklusif, ganjaran dan juga pengalaman sebelum kereta itu dihantar kepada mereka.

Dalam pengumuman sebelum ini, Toyota mengesahkan bahawa Supra A90 akan dijana enjin petrol 3.0 liter enam-silinder dengan pengecas turbo twin-scroll, bersama sistem suntikan terus dan injap kawalan bervariasi, menghasilkan kuasa lebih dari 295 hp dan tork maksima 450 Nm. Digandingkan dengan kotak gear lapan-kelajuan automatik, Toyota mendakwa Supra generasi kelima ini mampu memecut dari 0-100 km/j dalam masa tidak sampai lima saat.

Kuasa hanya akan dialirkan ke gandar belakang, yang lengkap dengan unit LSD kawalan elektronik aktif. Kereta ini direka dengan nisbah berat hadapan dan belakang 50:50 dan ia turut dibekalkan dengan sistem suspensi adaptif bervariasi (AVS). Perkara lain yang turut disahkan adalah ia bina dengan diatas casis aluminium dan logam komposit, pusat graviti yang lebih rendah dan jarak roda yang lebih pendek dari Toyota 86.

Model konsep Supra yang dikenali sebagai Toyota FT-1 turut didedahkan di Detroit Auto Show (dikenali secara rasmi sebagai North American International Auto Show atau NAIAS) pada tahun 2014, membuatkan kemunculannya model produksinya pada acara yang sama pada tahun hadapan sebagai sesuatu yang bersejarah.