UMW Toyota Motors (UMWT) sebelum ini telah mendedahkan perincian Toyota Camry 2019 yang bakal memasuki pasaran Malaysia. Model sama juga telah dilancarkan di Thailand bulan lalu. Terbaru, seperti yang diumumkan melalui akaun Instagram rasmi Toyota Malaysia, model ini akan membuat penampilan umum yang pertama ketika KLIMS 2018 minggu depan.

Hanya satu varian yang akan diperkenalkan terlebih dahulu, iaitu Camry 2.5V, dengan harga RM189,900 atas jalan tanpa insurans, seperti yang diumumkan ketika UMWT mula mengambil tempahan bagi model ini. Bagaimanapun, ini harga anggaran dan mungkin akan berubah.

Menggunakan platfrom Toyota New Global Architecture (TNGA), untuk pasaran Malaysia Camry 2019 ini dilengkapi enjin 2AR-FE 2.5 liter empat-silinder, yang sama dengan Camry semasa, dan digandingkan dengan transmisi automatik enam-kelajuan. Unit Dual VVT-i dan ACIS ini mampu memberikan kuasa 184 PS dan tork 235 Nm pada 4,100 rpm – memberikan tambahan 4 PS berbanding model semasa.

Luarannya pula didatangkan dengan kelengkapan seperti lampu utama projektor bi-LED dengan lampu isyarat LED. Juga lampu nyalaan siang, lampu kabus dan lampu belakang dari jenis LED. Lain-lain aspek luaran termasuk rim 18-inci, cermin sisi hydrophilic auto retractable (yang disambung ke memori), bilah pengelap cermin automatik dan dua corong ekzos.

Camry baru ini juga didatangkan dengan sistem Toyota Safety Sense, merangkumi sistem pra-pelanggaran, amaran pertukaran lorong dengan bantuan stereng, kawalan cruise dinamik dengan radar serta lampu tinggi automatik.

Ia juga ditampilkan dengan tujuh beg udara (dua di hadapan, sisi, tirai dan lutut pemandu), pemantauan titik buta dengan amaran trafik lintasan belakang, bantuan mula mendaki, pengesan parkir hadapan/belakang dan sistem pemantau tekanan tayar.

Enam warna ditawarkan iaitu Red Mica, Platinum White Pearl Mica, Silver Metallic, Graphite Metallic dan Burning Black CS GF. Kalau nak jadi antara yang terawal mendekati model ini, boleh berkunjung KLIMS 2018 yang akan bermula minggu hadapan.