UMW Toyota Motor (UMWT) ada satu lagi kejutan untuk KLIMS 2018. Selain model Camry terbaru yang akan dipertontonkan pertama kali ketika acara itu, model Vios paling baru juga akan mula diambil tempahan pada hari pertama acara itu berlangsung, 22 November 2018.

Di dalam satu post di Facebook rasminya, UMWT dalam satu video teaser ringkas memberi petunjuk bahawa Vios dalam penampilannya yang terbaru akhirnya akan sampai juga di Malaysia. Dan, bagi mereka yang berminat untuk menjadi yang terawal memandu uji dan mendekati model ini, pendaftaran minat boleh dilakukan melalui pautan ini.

Paling hampir, Toyota Vios generasi baru ini pernah dipertontonkan ketika Pameran Permotoran Singapura 2018 yang berlangsung Januari lalu. Dalam jelmaan terkini, Vios mengalami banyak perubahan yang membezakannya dari versi lama.

Kelengkapan standard lain yang turut ditawarkan untuk model pasaran Singapura ketika itu termasuk lampu utama halogen reflektor, lampu kabus depan, rim aloi 15-inci, sistem kunci pintar dengan butang penghidup enjin, cermin depan akustik, stereng larasan ketinggian dan teleskopik, tempat duduk fabrik, sistem Toyota Telematics dan kamera undur.

Vios G di sana turut menerima lampu utama projektor, DRL LED, lampu belakang LED, rim dwi-tona aloi 16-inci, stereng multi-fungsi balutan kulit, kawalan pendingan hawa zon tunggal, sistem tunjuk arah, kerusi belakang dengan nisbah lipatan 60:40 serta perehat lengan di tengah dengan pemegang cawan. Dari segi keselamatan, ia datang dengan tujuh beg udara, ABS dengan EBD dan Brake Assist, kawalan kestabilan VSC dan Hill-Start Assist.

Seperti juga model generasi sebelum ini, semua varian hanya ditawarkan dengan satu pilihan enjin iaitu enjin petrol 1.5 liter. Enjin 2NR-FE pada Vios baharu ini mampu menjana 105 hp pada 6,000 rpm dan tork maksima 140 Nm pada 4,200 rpm. Ia digandingkan dengan kotak gear CVT automatik bersama nisbah maya tujuh-kelajuan.

Bagi penawaran di Malaysia pula, masih belum ada perincian rasmi yang dikongsikan. Kami akan laporkannya sebaik sahaja ada maklumat dari sumber-sumber yang disahkan nanti. Sementara itu, boleh datang sendiri ke KLIMS 2018 di MITEC minggu depan untuk tahu lebih lanjut tentang model ini.

Toyota Vios generasi baru di Singapura