Mazda Spirit Racing Roadster 12R diperkenal di Jepun – Miata berkuasa 200 PS, 6MT, terhad hanya 200 unit

Mazda Spirit Racing Roadster 12R diperkenal di Jepun – Miata berkuasa 200 PS, 6MT, terhad hanya 200 unit

Mazda Spirit Racing iaitu sayap prestasi baharu jenama automotif dari Hiroshima bagi menggantikan Mazdaspeed sebelum ini sudahpun memperkenalkan model produksi prestasi terbaharunya – ini dia Mazda Spirit Racing Roadster 12R yang muncul di Tokyo Auto Salon 2025 hujung minggu lalu.

Roadster (atau dikenali dengan nama MX-5 atau Miata bergantung pada pasaran) istimewa ini menampilkan pelbagai tingkat taraf kosmetik, pengendalian dan juga kuasa, tetapi hanya ditawarkan sebanyak 200 unit sahaja. Ia diasaskan dari model Roadster dengan bumbung fabrik yang lazimnya hanya diberikan enjin 1.5 liter NA berkuasa 136 PS/152 Nm untuk pasaran JDM. Namun model 12R ini menerima enjin 2.0 liter empat-silinder NA, di mana ia sepatutnya hanya ditawarkan pada model Roadster RF (bumbung keras) di Jepun.

Enjin berkenaan kemudiannya diberikan lagi pelbagai tingkat taraf termasuk penggunaan kepala selinder, omboh dan aci sesondol yang berbeza, serta sistem ekzos dan penyejukan lebih baik. Ini membolehkan kuasa asal 184 PS/205 Nm pada enjin berkenaan melonjak kepada 200 PS. Model edisi terhad ini juga hanya ditawarkan dengan kotak gear manual enam-kelajuan bagi menghantar kuasa ke roda belakang.

Untuk pengendalian, Mazda Spirit Racing Roadster 12R ini diberikan penyerap hentak boleh laras dari Bilstein. Ia juga datang standard dengan dengan rim aloi forged Rays TE37 yang dibalut tayar Yokohama Advan Neova AD09. Di belakang set roda tersebut boleh dilihat ia menerima set brek Brembo dengan angkup empat-omboh berwarna merah di depan.

Pada bahagian luaran Roadster dengan prestasi lebih agresif ini menerima pakej aerodinamik yang direka berdasarkan pengetahuan Mazda Spirit Racing dalam perlumbaan Super Taikyu Endurance. Ia terdiri dari spoiler bawah bampar hadapan, skirt sisi, diffuser belakang dan juga spoiler ‘ekor itik’ pada penutup but belakang. Ia juga menerima pelekat badan istimewa dan hanya hadir dengan warna badan Aero Gray.

Manakala pada sebelah dalam kabin, Roadster ini diberikan tempat duduk bucket dari Recaro lengkap dengan tali pinggang perlumbaan empat poin. Ia juga menerima balutan Alcantara pada papan pemuka, konsol tengah, panel pintu, tombol gear, tuil brek tangan dan juga roda stereng.

Jika anda tidak berjaya untuk membeli Mazda Spirit Racing Roadster 12R ini, Mazda turut menawarkan model Mazda Spirit Racing Roadster biasa yang tidak dihasilkan dalam jumlah terhad. Sekali imbas model ini masih kelihatan sama dengan kit aero, rim Rays TE37, brek Brembo dan tempat duduk Recaro yang serupa, tetapi enjin 2.0 liter yang dibekalkan hanya menghasilkan kuasa 184 PS dan tidak diberikan tali pinggang perlumbaan.

Selain itu Mazda turut melancarkan pelbagai komponen prestasi dan aksesori Spirit Racing yang boleh dibeli oleh pemilik Roadster sedia ada, antaranya termasuk peredam bunyi sports, set bushing yang diperkuat, bump stops suspensi lebih pendek, cakera brek ditebuk dengan pad brek sports, tali pinggang perlumbaan dan juga tayar Yokohama Advan Neova AD09.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required