Mazda MX-5 RF 2022 di M’sia – kini dengan Kinematic Posture Control; varian auto, manual; dari RM264k

Mazda MX-5 RF 2022 di M’sia – kini dengan Kinematic Posture Control; varian auto, manual; dari RM264k

Mazda MX-5 RF bagi model tahun 2022 telah pun berada di pasaran Malaysia, dengan Bermaz Motor terus menawarkan versi Retractable Fastback sama ada pilihan transmisi automatik atau manual enam-kelajuan.

Barisan MX-5 turut menerima Kinematic Posture Control (KPC) pada Disember tahun lalu dan kini juga diberikan untuk model spesifikasi tempatan. KPC ialah satu teknologi seperti G-Vectoring syarikat itu, tetapi telah diubah suai dan berfungsi sedikit berbeza. Ia boleh membrek sedikit roda bahagian dalam (roda sebelah kiri apabila membelok ke kiri dan roda kanan apabila membelok ke kanan) apabila membelok, dan bukannya roda bahagian luar seperti G-Vectoring.

Apabila ini dilakukan, suspensi pada roda bahagian dalam itu juga akan tertekan lebih ke dalam, sekaligus mengurangkan olengan badan dan meningkatkan stabiliti di selekoh – pemilik tidak perlu memasang spring atau penyerap lebih keras yang boleh menjadikan kereta kurang selesa.

Mazda MX-5 RF 2022 di M’sia – kini dengan Kinematic Posture Control; varian auto, manual; dari RM264k

Selain KPC, ciri lain ada pada MX-5 RF masih dikekalkan seperti sebelumnya. Di bawah bonetnya, ia masih menggunakan enjin SkyActiv-G 2.0 liter naturally-aspirated empat-silinder petrol dengan hamburan kuasa 181 hp pada 7,000 rpm dan tork 205 Nm pada 4,000 rpm yang disalurkan ke roda belakang. Enjin ini turut menampilkan teknologi idling stop dan sistem i-ELOOP brake-energy regeneration.

Kelengkapan standard untuk kedua-dua varian manual dan automatik termasuklah roda aloi 17-inci, lampu utama LED automatik, lampu nyalaan siang LED, lampu belakang LED, kemasukan tanpa kunci dan butang penghidup enjin, kawalan kelajuan, paparan pelbagai-info TFT LCD 4.6-inci, pendingin hawa automatik zon-tunggal dan upholstery kulit. Untuk infotaimen, ia turut diberikan dengan sistem Mazda Connect dengan skrin sesentuh tujuh-inci, sokongan Android Auto dan Apple CarPlay serta sistem bunyi Bose dengan sembilan pembesar suara.

Bagi aspek keselamatan, ia masih diberikan enam beg udara, ABS, EBD, bantuan brek, Dynamic Stability Control, traction control, Hill Launch Assist, Isofix untuk tempat duduk penumpang hadapan, Adaptive LED Headlights, Blind Spot Monitoring, Lane Departure Warning System, Driver Attention Alert dan Smart City Brake Support (hadpaan dan belakang). Pilihan warna yang diberikan termasuklah Deep Crystal Blue, Jet Black, Machine Grey, Polymetal Grey, Snowflake White Pearl dan Soul Red Crystal, sama seperti dahulu.

Harga bagi MX-5 RF untuk 2022 juga mengalami kenaikan daripada model yang dipertingkatkan pada tahun lalu. Dengan varian manual, kini ia berharga RM264,029, sementara automatik pula dengan harga RM265,964. Ia adalah harga atas jalan tanpa insurans dan termasuk dengan 50% pengecualian cukai jualan untuk kenderaan import sepenuhnya (CBU). Ia juga diberikan waranti lima-tahun/100,000 km dan pakej penyelengaran percuma untuk setiap pembelian MX-5 RF di sini.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 
 

Add a comment

required

required