Asas kepada Proton S70 iaitu Geely Emgrand muncul buat pertama kali pada Mei 2021. Jadi tidak hairanlah rupa luaran model ini masih dipengaruhi dari model-model Volvo kerana ketika itu bekas pereka lagenda Volvo, mendiang Peter Horbury masih mengetuai jaringan studio rekaan Geely di seluruh dunia.
Ia menampilkan rupa sedan klasik tiga kotak tanpa sebarang usaha ‘try hard’ untuk nampak seperti coupe dan sebagainya. Jadi dengan garis-garis badan kuat dipengaruhi rekaan Volvo ini, sudah tentu S70 ini kacak kalau diterjemahkan dalam versi wagon bukan?
Anda tak perlu tutup mata untuk bayangkan bagaimana jika S70 dihasilkan sebagai V70 (ikut akronim Proton dan Volvo ‘S’ adalah untuk sedan, jadi Proton mungkin akan guna akronim ‘V’ untuk wagon sama seperti Volvo), kerana pakar manipulasi automotif tempatan Theophilus Chin sudahpun menghasilkan bayangan digital berkenaan.
Untuk menghasilkan V70 ini, Theo telah mengambil bahagian bumbung bersama rel dan juga tingkap suku belakang dari SUV EV Proton eMas 7 kemudian disesuaikan pada badan Proton S70. Tiada perubahan dibuat pada bahagian lampu dan bampar belakang kerana rekaan dari sedan nampak sangat ‘ngam’ dengan versi wagon ini.
Sejak kewujudannya, Proton pernah beberapa kali menawarkan model dengan badan khas yang tidak ditawarkan oleh model asal yang di’rebadge’. Contohnya versi Aeroback pada Proton Saga dan Proton Wira yang tidak pernah ditawarkan pada versi asal Lancer, dan juga versi trak pikap dari Proton Wira yang digelar Proton Arena yang memang tidak pernah dibuat oleh Mitsubishi.
Malah sebelum ini Proton sebenarnya sudah dilihat menghasilkan prototaip Proton Wira wagon dan juga Saga BLM wagon, namun ia tidak diteruskan untuk dihasilkan dalam versi produksi. Mungkin V70 ini merupakan asas yang bagus bagi menunjukkan unit R&D dan rekaan Proton masih lagi mempunyai ‘taring’ bagi menghasilkan sesuatu yang lebih menarik berbanding asas yang dibekalkan oleh Geely?
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.